Saturday, April 1, 2023

SURAH AL-RUM 47

 

SURAH AL-RUM 30:47

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَى قَوْمِهِمْ فَجَاءُوهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَانْتَقَمْنَا مِنَ الَّذِينَ أَجْرَمُوا وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ (47)

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

HUBUNGAN AYAT

AYAT 46

AYAT 47

 

Nikmat di dunia diberikan oleh Allah untuk mewujudkan rasa bersyukur hamba kepadaNya. Dengan itu, manusia menyembahNya.

 

 

Nikmat di dunia juga adalah dengan kedatangan para Rasul. Mereka datang dengan bukti. Semuanya bertujuan untuk selamatkan manusia di akhirat kelak.

 

 

[1] Ayat ini sebagai menjawab bagi bandingan ayat 46. Iaitu, jika Allah menyebut bahawa Allah telah memberi nikmat angin yang pelbagai; semuanya bermanfaat kepada manusia seperti memudahkan pergerakan kapal bahkan ada kaitan dengan hujan yang boleh menggembirakan manusia, maka ayat ini juga sama, iaitu Allah telah utuskan RAMAI NABI (berdasarkan kaum masing-masing) yang membawa BAYYINAT, ia sebagai pemudah cara untuk manusia mendapat kebahagiaan di akhirat kelak.

 

[2] Allah datangkan para rasul sebelum nabi Muhammad lagi. Cuma, nabi dulu untuk kaum mereka sahaja, sedangkan Nabi Muhammad untuk semua manusia.

 

[3] para nabi termasuk nabi muhammad, mereka datang bukan tangan kosong. Mereka datang dengan mendakwa diri sebagai utusan Allah dengan disertakan sama bukti-bukti terhadap dakwaan mereka yang disebut sebagai BAYYINAT.

 

[] Dengan bukti-bukti itu, ada pihak yang melawan dan tidak menerima, walaupun sudah terbukti benar. Justeru, Allah berdendam dengan mereka.

 

[4] Walaubagaimana pun, terhadap orang mukmin Allah tetap akan bagi pertolongan.

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَى قَوْمِهِمْ

 

[5] Ayat ini menyebut bahawa para rasul itu diutuskan kepada kaum mereka sendiri. Hal ini berbeza dengan Nabi Muhammad saw yang diutuskan kepada semua manusia.

 

Dalam hadis—daripada Jabir bin Abdillah;

 

وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً – البخاري, 335

Nabi diutuskan kepada kaumnya sahaja, dan aku diutuskan kepada semua manusia

 

فَجَاءُوهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ

 

[6] Terdapat beberapa pentafsiran ulama berkenaan maksud البينات dalam ayat ini;

a.                  menurut USAIMIN, perkataan البينات disertakan dengan باء للمصاحبة. Justeru, makna البينات dalam ayat ini adalah SYARIAT. Iaitu, para rasul itu datang dengan membawa syariat[1].

b.                  Usaimin ada menyatakan bahawa ada sebilangan ahli ilmu menyebut bahawa BAYYINAT untuk para Nabi itu berdasarkan konteks masing-masing. Pada era Nabi musa, tersebar amalan sihir, makanya bayyinat bagi Nabi Musa itu adalah tongkat yang boleh membatalkan sihir. Begitujuga di era Nabi Isa yang baginda dapat ubati penyakit sopak. Bahkan lebih dahsyat lagi, dapat hidupkan orang mati pula. Justeru, ada ulama tafsirkan BAYYINAT adalah MUKJIZAT[2].

c.                   IBN AL-JAWZI pula kata, sebarang pembuktian untuk membuktikan bahawa mereka adalah benar[3].

 

فَانْتَقَمْنَا مِنَ الَّذِينَ أَجْرَمُوا

 

[7] Dalam konteks ayat, ketika ini Nabi saw berada di Mekah. Ketika ini, Nabi saw dan para sahabat mendapat tekanan hebat. Ketika ini juga, orang islam diremehkan oleh Quraish dengan anggap kekalahan rom adalah gambaran kekalahan islam.

 

Justeru, ayat ini diturunkan untuk tasliah (menghiburkan) hati Nabi saw yang kesedihan tersebut. Dengan memberi jaminan bahawa Allah dendam dengan orang Quraish. Tambahan pula, dalam sambungan Allah sebut bahawa Allah pasti memberi bantuan kepada orang mukmin.

 

[8] Perkataan انتقمنا dari kata نقمة yang merupakan lawan bagi kata نعمة

 

Dari kata ini, datang juga perkataan المنتقم yang ia salah satu dari nama Allah. SHIHAB terjemahkan sebagai DIA YANG TIDAK MENYETUJUI KEJAHATAN, TIDAK MENGENANGINYA SERTA BENCI DAN MURKA TERHADAP PELAKUNYA YANG TELAH BERULANG-ULANG KALI DIPERINGATKAN[4].

 

[9] Dalam ayat ini adalah disebut الَّذِينَ أَجْرَمُوا yang perkataan اجرموا itu ambil dari kata الجرم yang bererti MEMETIK, iaitu MEMOTONG BUAH DARI POHON. Perkataan ini tidak digunakan kecuali dalam konteks yang negatif. Dari situ, SHIHAB terjemahkan sebagai KEDURHAKAAN[5].  

 

Usaimin pula menyatakan, setiap perbuatan yang menjadi sebab kepada dosa, maka itu adalah جرم, yang maksud dengan جرم di sini adalah kekufuran[6]

 

[10] ayat ini selaras dengan ayat ke-22, surah al-Sajdah;

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ (22) – السجدة

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.

 

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ (47)

 

[11] Asal kata حقا adalah DUA SISI DARI SATU MATA WANG[7]. Dari sudut maksud ayat, Usaimin kata, haq adalah sesuatu yang sabit lagi lazim[8].

 

[12] Ayat ini dijadikan alasan SYED QUTB bahawa Allah pasti akan memberi kemenangan kepada orang mukmin[9].

 

[13] Ayat ini menyebut bahawa Allah pasti akan membantu orang mukmin. Namun, bagaimana pula kita dapati bahawa orang Islam di mekah mendapat tekanan hebat dari tuhan.

 

[14] Dalam ayat ke-4 dan 5, Allah menyebut bahawa kemenangan yang bakal Rom dapat nanti bersebabkan PERTOLONGAN DARI ALLAH;

فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

 

Justeru, Allah sudah memberi jaminan pertolongan kepada Rom, walhal mereka tidak beragama islam. Justeru, dalam ayat ini pula sebagai menghiburkan hati nabi, maka Allah bagi jaminan pertolongan Allah terhadap orang mukmin. Lebih menarik, jaminan itu menggunakan perkataan yang meyakinkan, iaitu apabila digunakan perkataan حَقًّا عَلَيْنَا; iaitu ada perkataan حقا dan علينا

 

Jika dilihat dari sudut jaminan tersebut, rom menang balik selepas 7 tahun, sedangkan Nabi saw menang itu adalah selepas setahun, iaitu menguasai Madinah. Bahkan, setahun selepas itu pula menang dalam perang badar. Lebih dari itu lagi, selepas Rom menang pada tahun 6 hijrah, umat Islam pula menguasai Mekah tahun 8 hijrah. Bahkan, selepas dari itu, Rom bertembung dengan umat islam dalam sejarah perang tabuk, umat Islam juga menang.

 

[15] Walaupun konteks ayat ini ketika Nabi saw sedih, tetapi ayat ini boleh difahami secara umum lafaz. Ekoran itu, ada hadis—daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah saw bersabda;

 

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يقول: "ما مِنَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَرُدُّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ، إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يَرُدَّ عَنْهُ نَارَ جَهَنَّمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ". ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ: {وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ} – ابن كثير, 6\322

Tidaklah dari mana-mana muslim yang membantu saudaranya kecuali tanggungjawab bagi Allah bahawa membantu dia dari masuk ke neraka pada hari kiamat nanti. Lalu, baginda pun membaca ayat ini.

 



[1] Usaimin:298

[2] Usaimin: 302.

[3] Zad:3/426.

[4] Shihab:11/86

[5] Shihab:11/87.

[6] Usaimin:299.

[7] Shihab:11/87.

[8] Usaimin:299.

[9] Shihab:11/87.

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...