Friday, August 26, 2022

SURAH AL-RUM 40

 AYAT 40

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 39

AYAT 40

 

Ada manusia memberi bantuan kewangan, disebalik bantuan yang diberikan itu dia berharapkan supaya mendapat keuntungan. Semua ini tidak baik. Yang baik di sisi Allah adalah memberi bantuan kewangan semata-mata mahu mendapat keredhaan dari Allah.

 

 

Manusia perlu ingat bahawa Allah mencipta manusia dan memberikan rezeki kepada mereka. Selepas manusia hidup di atas muka bumi, manusia akan dimatikan oleh Allah. Kemudian mereka akan dihidupkan semula.

 

Semasa dihidupkan semula, jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas kepada Allah tanpa syirik, mereka akan mendapat banyak faedah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

 

 

[1] Manusia memberi bantuan kewangan, apabila dia berharap balasan di dunia, mereka tidak nampak kelebihan alam akhirat.

 

[2] Justeru, Allah menjelaskan bahawa perlunya kejujuran dalam memberi bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan. Walaupun dalam beberapa keadaan, tidak mendapat habuan di dunia, tetapi di akhirat pasti akan mendapat habuan.

 

[3] Hal ini kerana, Allah itu maha berkuasa; manusia dari tidak ada pun, Allah yang bagi ada. Bukan sekadar bagi ada, bahkan diberikan rezeki. Selepas itu, dimatikan semula dan dihidupkan kembali.

 

Jika ini Allah mampu, sudah pasti sekadar memberikan balasan pahala di alam akhirat nanti adalah mudah bagi Allah.

 

[4] Semua ini tidak dapat dilakukan berhala. Ekoran itu, dalam pada mereka menyembah Allah, mereka menyembah juga berhala adalah sesuatu yang sia-sia.

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ

 

[1] Mencipta manusia dalam ayat ini dilihat dari 2 sudut;

(a)                            Mencipta daripada tanah. Ini melibatkan penciptaan Adam.

(b)                           Mencipta manusia dari air mani. Ini berlaku pada semua manusia.

 

[2] Ibnu Katsir menyatakan, maksud menciptakan dalam ayat ini adalah, menciptakan manusia bermula daripada mereka berada dalam rahim ibu. Yang semasa di dalam rahim ibu itu pun, Allah telah menetapkan rezeki kepada manusia. Justeru makna ثُمَّ رَزَقَكُمۡ adalah Tuhan menetapkan rezeki manusia semasa berada dalam rahim ibu lagi. (Kathir:6/319)

 

[3] Dari sudut bahasa, perkataan رزق yang diterjemah sebagai rezeki, asal maknanya adalah pemberian. Dalam Al-Quran, Allah ada berfirman;

 

وَإِذَا حَضَرَ ٱلۡقِسۡمَةَ أُوْلُواْ ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينُ فَٱرۡزُقُوهُم مِّنۡهُ وَقُولُواْ لَهُمۡ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا (8) - النساء

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

Jika dilihat dari sudut konteks makna bahasa, manusia diciptakan itupun adalah satu rezeki dari Allah; manusia dihidupkan selepas dimatikan juga adalah satu rezeki dari Allah dan sebagainya.

 

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

 

[1] Kehidupan selepas daripada mati adalah kehidupan yang tidak ada sebarang kebinasaan selepas dari itu. Iaitu kehidupan yang kekal abadi.

 

[2] maksud يحييكم adalah bermula dari alam kubur, alam mahsyar sehingga ke alam syurga atau neraka.

 

هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ

 

[1] Seakan-akan Allah bertanya: apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat menghidupkan dan mematikan?  Apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat mencipta dan memberi rezeki kepada kamu? (Sya'rawi:18/11468)

 

Berkenaan dengan ke tidak mampu berhala itu mencipta sudah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Nahl;

 

 وَٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَخۡلُقُونَ شَيۡـٔٗا وَهُمۡ يُخۡلَقُونَ  (20) - النحل

Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan.

 

Dan juga firman Allah dalam surah al-hajj;

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٞ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥٓۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخۡلُقُواْ ذُبَابٗا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُواْ لَهُۥۖ وَإِن يَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيۡـٔٗا لَّا يَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ (73) - الحج

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

 

[2] Kata Ibnu kathir, ayat ini sebagai bandingan yang Allah mahu lakukan dengan berhala-berhala yang disembah oleh manusia. Jika Allah boleh menghidupkan dan mematikan, serta menetapkan rezeki kepada manusia bermula dari alam Rahim lagi, apakah semua ini dapat dilaksanakan oleh segala berhala-berhala yang disembah oleh manusia itu? (Kathir:6/319

 

[3] Jika mereka menderma dan memberi bantuan kewangan kepada orang memerlukan dengan tujuan keduniaan, segala bantuan kewangan yang mereka lakukan itu tidak berfaedah untuk mereka di akhirat kelak.

 

Ada satu lagi penyebab kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia tidak berfaedah di akhirat kelak, iaitu mereka mati dalam keadaan melakukan syirik.

 

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

 

[1] Allah menyatakan bahawa Allah maha suci dari berhala yang mereka sembah. Ini menjadi dalil bahawa, mereka bukan tidak menyembah Allah, tetapi di samping mereka menyembah Allah mereka juga menyembah Tuhan yang lain.

 

[2] ungkapan سبحان yang dikaitkan dengan Allah memberi maksud Tanzih. Tanzih terhadap Allah adalah sesuatu yang dituntut dalam agama. Kandungan لا اله الا الله, secara tersirat mengandungi maksud tanzih. Semua muslim perlu tanzih Allah dari segala kekurangan.

 

PENGAJARAN

 

[1] Tidak syirik merupakan antara perkara utama untuk memastikan amal ibadat yang dilakukan semasa hidup mendapat manfaat di akhirat kelak.

 

[2] Apabila Allah yang telah memberikan rezeki kepada manusia, bermakna Allah adalah Tuhan yang telah berjasa. Justeru tidak layak bagi manusia tidak menyembah Allah.

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...