Monday, April 10, 2023

SURAH AL-RUM 57

 

SURAH AL-RUM 30:57

 

فَيَوْمَئِذٍ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (57)

Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 56

AYAT 57

 

Orang yang berilmu dan beriman memberi teguran kepada AL-MUJRIM terhadap kepercayaan sesat yang mereka reka cipta bahawa azab kubur itu berlanjutan sampai ke hari kebangkitan.

 

 

Apabila sampai hari kebangkitan, mereka minta maaf pun tidak diterima lagi; mereka minta agar berhenti dari dikecam pun tidak dibenarkan.

 

[1] Setelah mereka diberitahu berkenaan azab di akhirat kelak, dengan pengetahuan itu menyebabkan mereka mahu minta uzur dan mahu bertaubat, semua itu tidak bermanfaat lagi[1].

 

[2] Pada hari kiamat nanti, orang zalim tetap diazab; kerana permohonan maaf mereka tidak diterima lagi.

 

[3] Mereka juga dikecam. Apabila mereka minta agar berhenti dari dikecam, permintaan itu diabaikan.

 

فَيَوْمَئِذٍ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ

 

Pada hari itu (ketika berlaku kiamat[2]), orang-orang zalim memberi alasan macam mana pun, ia tidak bermanfaat lagi.

 

[4] Perkataan مَعْذِرَتُهُمْ, HAMKA terjemah dengan “permintaan uzur mereka”[3], BASMEH terjemah dengan “sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri”.

 

[5] Ayat ini menyebut الَّذِينَ ظَلَمُوا, iaitu merujuk kepada يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ, iaitu kalangan pendosa yang mencipta bid’ah Aqidah; mereka kata, tidak lama dalam azab kubur[4].

 

[6] Mereka dianggap zalim bukan kerana mereka melakukan tekanan dan penindasan terhadap orang lain, tetapi mereka melakukan kezaliman pada diri mereka sendiri[5].

 

وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (57)

 

Dan tidaklah mereka itu dihentikan dari kecaman. (iaitu, mereka kena kecam di akhirat nanti sehingga mereka tidak tahan. Lalu mereka minta agar tidak dikecam, permintaan itu tidak dimakbulkan. Maka kecamana itu terus berlaku).

 

[7] perkataan يُسْتَعْتَبُونَ, HAMKA terjemah dengan “Mereka diberi kesempatan[6]. Menurut SHIHAB pula, perkataan itu berasal dari عتنى “utba” yang bermaksud MENHAPUS KECAMAN/DIBERIKAN PENGAMPUNAN. Perkataan “’itab” عتاب bermaksud KECAMAN[7]. Kata al-Razi, maksudnya adalah mereka minta agar kecaman terhadap mereka dihilangkan dengan cara mereka bertaubat pun, mereka tidak diberikan peluang[8].

 

[8] Menurut ASYUR, maksud يُسْتَعْتَبُونَ adalah mengakui dosa serta memohon maaf disebalik pengakuan dosa tersebut[9].

 

[9] Menurut HAMKA, apabila sudah mati, manusia berada dalam alam akhirat. Justeru, tidak mendapat sebarang kesempatan lagi, sebagaimana orang yang sudah tua yang menyesal, sudah tidak ada kesempatan lagi untuk mereka kembali ke dalam kandungan ibunya[10].

 

[10] Kata Ibn Abbas:

 

لا يُقْبَلُ من الذين أشركوا عذر ولا توبة

Tidak diterima sebarang keuzuran dan taubat dari orang-orang yang melakukan syirik[11].



[1] Qurtubi:14/49.

[2] Syakrawi:18/ 11544

[3] Hamka:7/5548

[4] Asyur:21/132.

[5] Hamka:7/5548

[6] Hamka:7/5548

[7] Shihab:11/101.

[8] Razi:25/112.

[9] Asyur:21/133.

[10] Hamka:7/5548

[11] Zad:3/ 428

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...