Monday, April 11, 2022

SURAH AL-RUM 20

 AYAT 20

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنْتَشِرُونَ (20)

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 19

AYAT 20

 

Dijelaskan bahawa manusia yang mati bakal dikeluarkan dari kubur.

 

 

Kalau ayat sebelum sebut  manusia boleh dikeluarkan dari kubur, maka ayat ini dijelaskan asal ciptaan manusia dari tanah. Kemudian tersebar di atas muka bumi.

 

 

Dijelaskan secara umum bahawa ALLAH yang keluarkan sesuatu yang hidup dari yang mati; mengeluarkan sesuatu yang mati dari sesuatu yang hidup.

 

 

Dijelaskan perincian terhadap maksud keluarkan yang hidup dari yang mati, iaitu manusia yang hidup di keluarkan dari tanah yang mati.

 

[1] Orang kafir Quraish yang memperolokkan al-Quran, hakikatnya mereka tidak sedar bahawa Allah itu maha berkuasa.

 

[2] Apakah mereka tidak melihat bahawa antara bukti kekuasaan Allah adalah, apabila Allah mengeluarkan manusia yang hidup dari tanah yang mati. Jika mereka sedar, sudah pasti mereka tidak akan memperolokkan berita-berita yang disampaikan oleh Allah menerusi al-Quran, seperti berita berkenaan Rom bakal mengalahkan Farsi; seperti berita kehidupan lepas dari mati.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ

 

[1] Bermula dari ayat ini sampai ayat 25 (bermakna 6 ayat), tuhan mulakan dengan kataNya: “ANTARA TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH”.

 

Persoalannya, kenapa Tuhan menggunakan pendekatan ini?

 

PERTAMA: ramai manusia rasa angkuh dan ego dengan tuhan, kerana dia tidak berfikir semasa melihat alam ciptaan tuhan. Justeru, perlu menggerakkan akal mereka agar mereka berfikir.

 

KEDUA: Pelbagai cara untuk nak menjadikan akal manusia boleh berfikir. Antaranya adalah menggerakan pancaindera agar berkomunikasi dengan alam.

 

Semata-mata berkomunikasi sahaja, ia tidak memberi kesan. Justeru, komunikasi itu perlu dalam bentuk dan kerangka yang boleh melahirkan fikir.

 

Justeru, tuhan berkata begini bukan semata-mata mahu mendesak agar pancaindera (khususnya mata) dapat berkomunikasi dengan alam, bahkan menarik perhatian manusia agar mereka boleh berfikir terhadap kekuasaan Allah disebalik ciptaan alam ini.

 

KETIGA: Apabila manusia berfikir dengan betul, maka dia akan merasai kebesaran Allah. Apabila dia merasai kebesaran Allah, dia tidak akan angkuh dengan Allah.

 

[2] Walaupun manusia diberikan akal oleh Allah, tidak bermakna semua manusia dapat berfikir semaksima mungkin. Boleh sahaja manusia berfikir, tetapi mempunyai tahap yang pelbagai.

 

Untuk memastikan tahap akal mereka berfikir semakin meninggi, maka perlu ada proses. Ada proses melalui belajar; membaca; melihat dan pelbagai cara lagi.

 

Antara cara untuk menggerakkan akal agar lebih berfikir adalah tuhan cetuskan agar pancaindera berkomunikasi dengan alam dengan ilmu; iaitu melihat alam, lalu disuruh berfikir disebalik alam itu ada kekuasaanNya.

 

[3] Dalam ayat disebut أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ—Allah ciptakan KAMU dari tanah; Allah tidak kata, Allah mencipta ADAM dari tanah?!!!??

 

Hal ini dilihat dari dua sudut;

 

PERTAMA, asal kejadian Adam yang merupakan asal manusia itu dari tanah. Dalam kata lain, ia boleh ditakwilkan dengan kata خلقكم bermaksud خلق اصلكم.

 

KEDUA: kehidupan manusia tidak boleh lepas dari tanah. Contoh yang dibuat oleh HAMKA, seperti manusia makan sayur-sayuran yang ada kaitan dengan tanah, binatang yang menjadi lauk pauk yang ada kaitan dengan tanah dan sebagainya.

 

Jika dilihat pada penafsiran kedua ini, ada yang tidak tepat. Hal ini kerana, bukan manusia sahaja yang terlibat dengan tanah, bahkan berlaku juga pada binatang; iaitu, binatang juga makan tumbuh-tumbuhan yang terlibat dengan tanah.

 

Justeru, antara kedua-dua penafsiran ini, penafsiran pertama lebih tepat dengan maksud ayat.

 

[3] Apabila Tuhan sebut bahawa Allah menciptakan manusia dari tanah, ini membuktikan bahawa asal manusia adalah dari tanah. Dengan ini, sudah menolak kepercayaan yang kata manusia berasal dari beruk dan sebagainya. Hal ini dikuatkan lagi dengan banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis yang lain.

 

LUGHAH

 

Tuhan sebut dengan perkataan من اياته—perkataan من dalam ayat adalah لتبعيضية, iaitu ciptaan manusia dari tanah, itu hanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah. Di sana terdapat banyak lagi bukti kebesaran Allah.

 

ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنْتَشِرُونَ (20)

 

[1] Manusia apabila sudah diciptakan, mereka tersebar atas muka bumi untuk memakmurkan bumi.

 

Apabila difikirkan balik, bukan sekadar manusia sahaja yang TERSEBAR atas muka bumi, bahkan binatang juga begitu. Persoalannya, kenapa Tuhan sebut “TERSEBAR” ini dikhususkan kepada manusia?

 

Kalau TERSEBAR bermaksud MENJADI KHALIFAH, kenapa tuhan tidak sebut terus MENJADI KHALIFAH?

 

JAWAB: bukan sekadar manusia, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan juga TERSEBAR atas muka bumi. Namun, cara TERSEBARNYA manusia tidak sama dengan makhluk lain—manusia tersebar atas muka dengan cara mereka duduk di satu tempat, boleh sahaja mereka mahu berpindah ke tempat lain dengan ikhtiyar mereka. Keadaan ini tidak berlaku pada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

 

LUGHAH

 

[1] Perkataan اذا ini disebut الفجائية, iaitu ia berlaku secara automatic atau secara cepat atau diterjemahkan dalam bahasa melayu sebagai TIBA-TIBA. Dengan makna, ayat ini memberitahu bahawa setelah manusia diciptakan dari tanah. TIBA-TIBA (iaitu secara cepat dan pantas), manusia membiak atas muka bumi ini.

 

[2] Perkataan تَنْتَشِرُونَ bermaksud TERSEBAR atau BERTEBARAN. Hal ini merujuk kepada firman Allah:

 

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ (10) – الجمعة

“apabila kamu selesai menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu atas muka bumi”

 

Namun, HAMKA terjemahkan sebagai MEMBIAK. Hal ini melihat kepada konteks ayat yang lebih memfokuskan tentang asal usul kejadian manusia, serta dalam sambungan ayat yang menyebut berkenaan manusia hidup berpasang-pasangan yang ada kaitan dengan hal perkahwinan.

 

PENGAJARAN

 

Manusia hebat macam mana pun, hakikat mereka berasal dari tidak ada yang diciptakan Allah menjadi ada. Justeru, tidak ada gunanya mereka angkuh dan sombong dengan Allah.

 

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...