Monday, April 11, 2022

SURAH AL-RUM 21

 AYAT 21

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (21)

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 21

AYAT 20

 

Dijelaskan cara manusia itu membiak adalah dengan proses perkahwinan.

 

Proses perkahwinan itu terjadi disebabkan PERASAAN.

 

PERASAAN yang boleh melahirkan perkahwinan adalah CINTA dan SAYANG serta MAHU MENCAPAI KETENANGAN

 

 

Dijelaskan bahawa manusia membiak di atas muka bumi setelah diciptakan dari tanah.

 

 

Dijelaskan bahawa wanita itu bermula tidak ada, ia dikeluarkan dari adam yang hidup.

 

Ayat 19, dijelaskan bahawa Allah yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup.

 

 

[1] Setelah tuhan sebut bahawa manusia tersebar atas muka bumi, maka tuhan menjelaskan pula bahawa tersebarnya itu itu berfaktorkan proses perkahwinan.

 

[2] Manusia tersebar dalam maksud membiak, iaitu dari hasil perkahwinan, melahirkan anak dan seterusnya membiak menjadi keturunan dan masyarakat.

 

[3] Manusia juga tersebar dengan perkahwinan dengan tujuan mencari rezeki, maka berlaku konsep hijrah dari satu tempat ke tempat yang lain.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

 

[1] Diulang perkataan وَمِنْ آيَاتِهِ banyak kali—kalau dalam ilmu retorika, ia  disebut sebagai “name calling”. Ia sengaja diulang banyak kali, agar meresap masuk ke dalam hati pendengar dengan mantap.

 

[2] Jika dilihat dari ayat 2 sampai ayat 6, tuhan menyebut pasangan antara Rom dan Farsi; kafir Quraish dan Muslim.

 

Dari ayat 15 dan 16 tuhan sebut pasangan antara syurga dan neraka.

 

Dalam ayat 17 dan 18, tuhan sebut pasangan antara siang dan malam serta langit dan bumi.

 

Justeru, dalam ayat ini tuhan sebut pasangan antara manusia—lelaki dan perempuan.

 

[3] Pada perkataan مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا—USAIMIN menyatakan bahawa ia memberi maksud wanita itu dari satu JENIS dengan lelaki. Sebagamana ADAM itu jenis manusia, maka perempuan juga dari jenis manusia, bukan jin, bukan malaikat dan sebagainya.

 

Ada pula menyatakan, ia bermaksud ZAT, iaitu Hawa diciptakan dari Adam, sedangkan semua manusia berasal dari air mani dan segala prosesnya.

 

Dalam kupasan HAMKA pula, dinyatakan bahawa ayat ini dilihat dalam dua sudut.

 

PERTAMA, melihat dari sudut asal kejadian manusia dari ADAM. yang kemudian ada pasangan hidupnya bernama HAWA.

 

KEDUA, dari suami yang ada isteri yang tidak terbatas kepada ADAM dan HAWA sahaja, bahkan berlaku pada semua manusia.

 

LUGHAH

 

Perkataan خَلَقَ لَكُمْ—perkataan لام di sini bukan bermakna ملك atau pemilikan, kerana perempuan bukan milik lelaki.

 

Dengan sebab itu, ada ulama tafsir kata لام di sini adalah للتعليل iaitu, perempuan diciptakan BERSEBABKAN KAMU.

  

لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا

 

[1] Tuhan jelaskan factor PERASAAN dalam kehidupan, iaitu MAHU MENCAPAI KETENANGAN, iaitu dengan perasaan MAWADDAH dan RAHMAH.

 

Dengan erti kata lain, induk bagi PERASAAN dalam hal melibatkan berpasangan, iaitu LELAKI mahu BERTENANG dengan WANITA.

 

[2] Pesanan yang sama, turut disebut oleh Allah dalam ayat lain;

 

{هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا} [الْأَعْرَافِ: 189]

Dia (Allah) yang mencipta kamu dari satu diri, dan Dia menjadikan dari diri itu pasangannya supaya dia dapat bertenang dengannya” (Surah al-Araf, ayat 189)

 

وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

 

[1] Manusia tidak akan dapat tenang tanpa MAWADDAH dan RAHMAH; cinta dan kasih. Dengan sebab itu, Tuhan gandingkan dua perkara ini sebagai cara untuk mendapat ketenangan tersebut.

 

[2] Perbezaan antara dua kata ini, USAIMIN menyatakan bahawa المودة adalah kasih cinta yang datang dari hati perempuan, sedangkan الرحمة adalah kasih cinta tang datang dari hati lelaki.

 

AL-RAZI pula membawakan satu pendapat yang menyatakan, perkataan مودة adalah hal yang melibatkan seks, sedangkan رحمة melibatkan penghasilan anak.

 

Pendapat ini diasaskan kepada firman Allah:

 

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا [مَرْيَمَ: 2]

Ingatilah RAHMAT tuhan kamu kepada hambaNya bernama Zakaria (Surah Maryam, ayat 2).

 

Dalam ayat ini, ada digunakan perkataan RAHMAT yang dikaitkan dengan Nabi Zakaria sedangkan konteks ayat berkenaan dengan keinginan Nabi Zakaria untuk mahu anak.

 

AL-RAZI turut menukilkan pendapat lain dengan menyatakan, maksud مودة adalah cinta yang dapat memberi ketenangan pada diri orang bercinta, sedangkan perkataan رحمة adalah cinta yang dapat memberi ketenangan kepada pasangan yang dicintai.

 

Al-Qurtubi menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa مودة adalah sayang lelaki terhadap isterinya, sedangkan رحمة adalah kasih sayangnya yang memberi maksud dia tidak mahu isterinya tertimpa sebarang musibah.

 

Ada pula menafsirkan bahawa maksud dengan مودة adalah kecintaan yang mempunyai unsur syahwat, sedangkan رحمة adalah kecintaan yang mempunyai pertalian dengan tuhan.

 

Dalam erti kata lain, perkataan مودة tidak boleh berlaku sesame lelaki atau sesame perempuan, antara anak dan ibu bapa, tetapi semua ini  boleh berlaku dalam kerangka رحمة, iaitu cintakan seseorang kerana Allah.

 

Dalam hubungan suami isteri juga begitu, iaitu cinta diikat factor syahwat, maka lahir amalan jimak; dalam masa yang sama, ada unsur keterikatan dengan Allah menyebabkan suami bertanggungjawab tidak akan redha dengan isteri yang terjebak dengan dosa.

 

Hal ini terkandung dalam maksud hadis nabi berikut;

 

تُنكح المرأة لأربع: لمالها، ولحسبها، ولجمالها - وهذه كلها أغيار - ولدينها، فاظفر بذات الدين تربت يداك

“Dinikahi perempuan itu dengan empat factor; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana cantiknya dan kerana agamanya. Pilihlah agamanya, ia akan memudahkan kamu”

 

Begitujuga hadis:

 

إذا جاءكم مَنْ ترضون دينه وخُلقه فزوِّجوه، ألا تفعلوا تكُنْ فتنة في الأرض وفساد كبير

“Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redha pada agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Jika kamu tidak lakukan, kamu akan menempah fitnah di bumi serta kerosakan besar”

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (21)

 

[1] Setelah Allah sebut KEKUASAANNYA menciptakan lelaki dan perempuan; semua ini untuk memberitahu agar kafir Quraish sedar apa yang mereka pertikaikan sebelum ini sebagai tidak betul, maka Allah pun nyatakan ayat ini; untuk mengerakkan akal kafir Quraish untuk berfikir disebalik kejadian ini ada yang maha BERKUASA, iaitu ALLAH.

 

[2] Banyak hal yang Allah suruh manusia lihat, dengar dan rasa, tujuannya untuk manusia dapat berfikir dengan jernih bahawa disebalik semua yang terjadi ini ada satu satu kuasa yang maha esa.

 

[2] kalau manusia berfikir, manusia akan rasakan semua ciptaan tuhan ini amat ternilai; pasti mereka akan dapat rasakan kebesaran Ilahi.

 

LUGHAH

 

Menurut SHIHAB, tuhan menyebut berkenaan alam ciptaannya, lalu Tuhan sebut يَتَفَكَّرُونَ—Ia bukti bahawa maksud فكر dalam faham al-Quran ada kaitan dengan komunikasi pancaindera terhadap alam; dengan komunikasi itu, menyebabkan akal berfikir.

 

PERBAHASAN

 

[1] Dalam menafsirkan ayat ini, kebanyakkan ulama tafsir termasuk USAIMIN membawakan hadis bahawa Hawa diciptakan dari tulang rusuk Adam. Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Nabi saw bersabda:

 

«اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ، فَإِنَّ المَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ»

“Memberikan wasiat kepada Wanita. Hal ini kerana, perempuan itu diciptakan dari tulang rusuk. Tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika kamu mahu betulkannya, kamu akan patahkannya. Jika kamu biarkan, dia akan sentiasa bengkok. Maka sentiasalah memberi wasiat kepada Wanita” (al-Bukhari, Hadis no: 3331(

 

Berlaku perbahasan dalam kalangan ulama berkenaan maksud wanita diciptakan “dari tulang rusuk lelaki”.

 

Hal ini dianggap tidak munasabah, kerana perempuan juga mempunyai tulang rusuk. Jika tulang rusuk lelaki menciptakan perempuan, bagaimana pula dengan tulang rusuk wanita?

 

Dengan sebab itu, ada ulama seperti Al-Imam al-Qurtubi menyatakan, ia bukan hakikat wanita itu dari tulang rusuk, tetapi ia menggambarkan majaz, iaitu merujuk kepada makna bengkok serta di bawah naungan lelaki. Dengan kata lain, ia menggambarkan betapa bengkoknya perempuan sepertimana tulang rusuk; betapa perlunya perempuan mendapat naungan lelaki sepertimana tulang rusuk yang berada di bahagian rusuk lelaki.

 

Dengan sebab itu, al-Imam al-Qurtubi mengatakan, maksud خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ—diciptakan dari tulang rusuk, iaitu ia diciptakan فَهِيَ كَالضِّلَعِ—ia SEPERTIMANA TULANG RUSUK.

 

[2] Ayat ini menjelaskan MAQASID SYARIAH bagi perkahwinan, iaitu mawaddah dan rahmah. Dengan erti kata lain, apabila dalam rumah tangga bahawa kehidupan berada dalam kebencian dan permusuhan, maka Islam menyediakan konsep talak sebagai jalan untuk manusia terhindar dari itu.

 

 

PENGAJARAN

 

Kalau manusia dapat berfikir terhadap dirinya sendiri, itupun sudah cukup untuk manusia dapat rasakan kebesaran Allah.

 

 

 


No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...