Monday, March 7, 2022

SURAH AL-RUM 9

 AL-RUM 9

 

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (9)

“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 8

AYAT 9

 

Allah suruh mereka berfikir berkenaan cintaan langit dan bumi serta antara kedua-duanya; mereka perlu sedar bahawa hidup mereka sementara dan akhirnya, akan berjumpa dengan Allah.

 

Cara untuk nak bagi manusia berfikir adalah dengan interaksi pancainderanya.

 

Dalam ayat ini, tuhan suruh berjalan dan lihat serta ambil pengajaran dari apa yang telah tertimpa terhadap orang-orang dahulu.

 

 

[1] Tuhan memberitahu kehebatan tamadun dan kerajaan era dahulu, untuk memberi ingatan kepada kafir Quraish bahawa tamadun yang besar pun, semua itu akhirnya hancur dan binasa ekoran kesombongan mereka. Sudah pasti ia amat mudah untuk dihancurkan oleh Allah jika yang sombong itu adalah Quraish mekah yang tidak ada tamadun lagi ketika itu.

 

[2] Kehancuran yang berlaku kepada kaum dahulu, bukan Allah mahu hancurkan mereka, tetapi bersebabkan sikap dan perilaku mereka sendiri. Demikian juga Kafir Quraish—jika mereka ambil sikap zalim dan menindas terhadap orang Islam, mereka bakal hancur dan dikalahkan sepertimana Farsi bakal dikalahkan dengan rom nanti.

 

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ

 

KONTEKS AYAT

 

[1] apabila tuhan kata أَوَلَمْ—itu bermakna, masyarakat arab Quraish sudah berjalan dan menjelajah dunia dan beberapa negara.

 

IBN ASYUR kata, apabila ORANG QURAISH ke SYAM untuk berniaga mereka akan melintasi PENEMPATAN TSAMUD dan KAUM NABI LUT. Apabila mereka ke YAMAN, mereka akan melintasi PENEMPATAN KAUM ‘AD.

                                  

LUGHAH

 

[1] perkataan اولم adalah عطف bagi perkataan أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا فِي أَنْفُسِهِمْ

 

[2] perkataan يَسِيرُوا—menurut SOLEH USAIMIN ada dua:

 

Pertama, berjalan atau jelajah بالأقدام atau dinamakan juga sebagai السير الحسي iaitu jelajah dengan melakukan perjalanan dan permusafiran.

 

Kedua, jelajah بالأفهام atau nama lain السير المعنويiaitu jelajah pemahaman, iaitu berfikir dan terwujud perasaan setelah berfikir.

 

 Dalam konteks ayat, ia lebih kepada بالأفهام kerana arab Quraish sudah sedia suka menjelajah, tetapi mereka tidak faham. Mereka melihat kehancuran kaum-kaum terdahulu, mereka sekadar melihat tanpa mereka faham. Makanya, Allah jelaskan dalam ayat ini agar mereka LIHAT  adalah untuk mereka FAHAM terhadap semua kejadian yang telah menimpa kepada umat dahulu.

 

Atas asas perlu faham itu, tidak hairan dalam hadis bahawa Nabi saw berpesan kepada para sahabat agar menangis semasa masuk di tempat-tempat yang pernah dibinasakan oleh Allah. Dalam hadis—daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah saw ada bersabda:

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ المُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلاَ تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ، لاَ يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ»

“Jangan kamu masuk di tempat mereka yang telah diazab kecuali kamu dalam keadaan menangis. Jika tidak menangis, jangan kamu masuk kepada mereka; dibimbangi azab yang tertimpa kepada mereka tertimpa kepada kamu pula” (al-Bukhari, hadis no: 443)

 

[3] menurut SOLEH USAIMIN, perkataan فِي الْأَرْضِ  dengan makna علي الأرض –kalau kekalkan dengan makna في, sudah pasti ia melibatkan kandungan dalam bumi, walhal pemaknaan ayat lebih kepada memakmurkan atas muka bumi.

 

فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

 

KONTEKS AYAT

 

[1] Tuhan suruh kafir Quraish lihat akibat yang telah menimpa umat-umat dahulu agar Quraish dalam membandingkan diri mereka yang tidak ada tamadun dengan bangsa-bangsa yang pernah Tamadun dan bangsa yang masih ada tamadun seperti ROM dan FARSI, tetapi mereka pun boleh hancur dan binasa.

 

LUGHAH

 

[1] Menurut SHIHAB, menjadi kebiasaan masyarakat arab Quraish bahawa mereka sering berjalan, terutama mereka terkenal berniaga di negara luar seperti Syam dan Yaman. Mereka sering sampai di tempat-tempat peninggalan kaum terdahulu, tetapi semua itu tidak melahirkan rasa untuk mereka takut kepada Allah.

 

Dengan sebab itu, dalam sambungan ayat, Allah menyuruh kata فَيَنْظُرُوا yang mengandungi maksud “melihat dengan mata hati”; iaitu, Allah mencetuskan agar akal mereka berfikir terhadap semua kesan-kesan kehancuran yang mereka lihat itu.

 

[2] Menurut SHIHAB, perkataan عَاقِبَةُ memberi maksud AKIBAT yang bersifat umum, sama ada BAIK mahupun BURUK. Hal ini berbeza dengan perkataan عقبي yang hanya focus pada AKIBAT YANG BAIK SAHAJA.

 

كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ

 

KONTEKS AYAT

 

[1] Tuhan hendak bagitahu tahu kepada Quraish, bahawa Tamadun lalu jauh lebih hebat dan jauh lebih meninggalkan kesan kepada bumi berbanding mereka, seperti pyramid di mesir, Madyan Soleh, dan sebagainya.

 

LUGHAH

 

[1] apabila digunakan perkataan أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً, SHIHAB menyatakan bahawa kaum terdahulu itu bukan sekadar mampu membina tamadun, bahkan mereka mampu menghalang dari serangan musuh.

 

Sudah menjadi sesuatu lumrah bagi sesuatu kekuatan kerajaan bahawa bukan sekadar mampu membina, tetapi perlu ada kemampuan untuk hadapi serangan yang boleh meruntuh.

 

[2] Ayat وَأَثَارُوا الْأَرْضَ yang perkataan اثاروا itu berasal dari kata الإثارة yang memberi maksud ADA UPAYA UNTUK MENGERAKKAN SESUATU, SAMA ADA MATERIAL ATAUPUN IMMATERIAL.

 

Ia memberi maksud, kekuatan sesebuah tamadun itu apabila dorongan rakyatnya yang kuat dalam mendokong terhadap tamadun tersebut dalam membangun serta dalam mempertahankan tamadun dari dihancurkan.

 

Mungkin dalam zaman sekarang adalah konsep nasionalisme dan patriotikma; kerana factor-faktor ini umpama “jiwa” bagi tamadun; jika ia rosak, maka rosak tamadun tersebut.

 

[2] Apabila perkataan اثاروا dikaitkan dengan الأرض—ia ditafsirkan oleh ramai ulama tafsir seperti SOLEH USAIMIN dan SHIHAB sebagai pertanian. Al-Imam al-Qurtubi kata, hal ini kerana penduduk mekah bukan dari kalangan ahli pertanian.

أَيْ قَلَّبُوهَا لِلزِّرَاعَةِ، لِأَنَّ أَهْلَ مَكَّةَ لَمْ يَكُونُوا أَهْلَ حَرْثٍ – القرطبي

 

وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا

 

[1] Menurut SOLEH USAIMIN, perkataanفي الأرض  اثاروا melibatkan pertanian, sedangkan عمروها melibatkan perniagaan, pembangunan, pembuatan dan sebagainya.

 

Contoh yang dibawa oleh SOLEH USAIMIN adalah proses memakmurkan bumi yang berlaku pada kerajaan Nabi Sulaiman;

 

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ وَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَمَنْ يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ (12) يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ (13)  - السباء

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka * Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur”

 

وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ

 

[1] Hurufب  pada  بِالْبَيِّنَاتِ memberi makna المصاحبة  iaitu memberi maksud: tuhan datangkan utusan dan Rasul pasti disertakan dengan hujah dan memberikan bukti kepada manusia atas kebenaran Allah dan ajaran islam.

 

Ayat ini dikuatkan dengan firman Allah yang lain:

 

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ (25) – الحديد

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”

 

Ayat ini membuktikan bahawa Rasul datang, mereka diberikan wahyu dan disuruh menyampaikan. Demikian juga Nabi. Firman Allah:

 

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ (213) – البقرة

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan”

 

فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (9)

 

KONTEKS AYAT

 

[1] Allah memberi manusia infrastruktur untuk memakmurkan bumi menjadi baik, iaitu melalui JASMANI dan ROHANI.

 

Infrastruktur bagi JASMANI adalah kekuatan sehingga mampu memakmurkan bumi. Infrastruktur ROHANI pula dengan diutuskan Nabi.

 

JASMANI tanpa ROHANI menyebabkan manusia bertindak zalim dan menindas. Kesannya, berlaku perlawanan dari mangsa yang ditindas yang menjadikan kehancuran terhadap tamadun.

 

[2] setelah diberikan infrastruktur ROHANI, mereka tidak patuh, ia menjadi punca kehancuran. Jelas, kehancuran itu bermula dari tangan mereka sendiri.

 

[3] Atas asas ini juga, Allah tidak akan memberikan azab kepada orang yang tuhan tidak datangkan Nabi dan Rasul terlebih dahulu. Firman Allah:

 

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا (15) – الإسراء

“Kami tidak akan mengazabkan hingga kamu bangkitkan rasul”

 

[4] Tuhan juga tuhan tidak akan memberikan kehancuran kepada sesuatu umat kecuali tuhan hantar Rasul kepada mereka terlebih dahulu. Firman Allah:

 

وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ (59) – القصص

“Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim”

  

LUGHAH

 

[1] Dari sudut Bahasa arab, makna الظلم adalah KURANG. Firman Allah;

 

كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِمْ مِنْهُ شَيْئًا (33) – الكهف

“kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu”

 

Namun, dari sudut syara’, zalim bermaksud KURANG dalam melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan Allah. Orang yang tidak solat, orang yang KURANG dalam melaksanakan tanggungjawab kepada tuhan. Demikian juga, orang yang berbuat haram seperti mencuri, berzina dan sebagainya.

 

PENGAJARAN

 

[1] Sifat berfikir manusia ini reaktif. Dengan sebab itu, manusia dapat berfikir apabila pancainderanya berinteraksi dengan alam terlebih dahulu.

 

[2] tuhan suruh manusia berjalan atas muka bumi, antaranya adalah untuk memastikan manusia dapat BERFIKIR—AMBIL PENGAJARAN terhadap kehancuran orang dahulu.

 

[3] secara tersirat, Tuhan memberi ingatan kepada Nabi saw agar tidak angkuh dan sombong apabila terbina Tamadun Islam kelak. Ayat ini sebagai persiapan bagi orang islam yang bakal membina tamadun—mereka bakal membina kerajaan di Madinah – bahawa  perlu ada beberapa hal yang perlu diambil perhatian agar kehancuran tamadun lalu tidak berulang pada orang Islam.

 

[4] Tuhan sediakan infrastruktur, justeru manusia perlu bertanggungjawab. Jika mereka sesat, bukan salah tuhan lagi, tetapi salah mereka tidak bertanggungjawab dengan infra yang telah disediakan tuhan.

 

Contohnya, apabila Allah kata:

وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ (26) - البقرة

“Tuhan tidak menyesatkan dengannya kecuali mereka adalah orang fasiq”

 

Dalam kata lain, manusia sesat itu bukan sebab tuhan yang sesatkan mereka. Tetapi tuhan izinkan, jika manusia memilih mahu sesat.

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...