Saturday, March 19, 2022

SURAH AL-RUM 14

 AYAT 14

 

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ يَتَفَرَّقُونَ (14)

Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan)

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 13

AYAT 14

 

Hari kiamat nanti, tidak ada tempat untuk nak bergantung.

 

 

Hari kiamat nanti, manusia akan bercerai berai.

 

PENJELASAN AYAT:

 

Orang musyrikin mekah perlu sedar bahawa mereka sombong sehingga melakukan jenayah kepercayaan (مجرمين), iaitu melakukan dua perkara; iaitu pendustaan terhadap ayat Allah (تكذيب) dan memperolok-olokkan kebenaran (إستهزاء); semua tindakan mereka itu akan diazab di akhirat kelak.

 

Pada hari akhirat kelak, mereka bukan sekadar tidak ada tempat bergantung, bahkan setiap satu akan focus kepada diri mereka masing-masing.

 

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ يَتَفَرَّقُونَ (14)

 

[1] Menurut Syaikh Sya’rawi, manusia yang bersatu atas kesesatan dan kejahatan semasa di dunia, tetapi akhirat nanti manusia akan dipisahkan yang al-Quran gunakan lafaz يتفرقون yang terjemah harfiannya adalah berpecah.

 

[2] Maksud dengan BERPECAH dalam ayat ini, ada dua maksud.

 

Pertama, ada maksudkan sebagai pemisahan antara mukmin dan kafir. Ini adalah tafsiran kebanyakkan ulama tafsir, seperti al-Qurtubi dan Usaimin.

 

Hujahnya adalah; (a) ayat ini diturunkan di Mekah, iaitu dalam konteks pertembungan antara kafir Quraish dengan orang islam. (b) Dalam sambungan ayat, Allah sebut berkenaan syurga bagi orang beriman, dan azab neraka bagi pelaku jenayah agama.

 

Kedua, ia lebih bermakna umum, iaitu pemisahan antara satu manusia dengan manusia lain; bapa dari anak, isteri dari suami dan sebagainya. Hal ini melihat kepada dhomir pada perkataanيتفرقون  itu kembali perkataan الخلق dalam ayat 11. Tambahan pula, Allah ada berfirman:

 

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ (34) وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ (35) وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ (36) لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ (37) – عبس

“Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya * Dan ibunya serta bapanya * Dan isterinya serta anak-anaknya * Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja”

 

Dalam hal ini, tafsiran pertama lebih dekat dengan konteks ayat. Sedangkan ayat 34 hingga 37 surah ‘Abasa pula, ia merujuk keadaan manusia sebelum ke syurga atau ke neraka, iaitu semasa di padang mahsyar.

 

[3] Ibn Kathir menukilkan kenyataan Qatadah yang berkata bahawa manusia di akhirat kelak, mereka berpecah itu sampai bila-bila; tidak akan berlaku kesatuan lagi. Penafsiran ini selaras dengan penggunaan فعل المضارع pada perkataan يتفرقون yang memberi maksud التجدد.

 

PENGAJARAN

 

Kita perlu hindari dari melakukan sebarang bentuk kejahatan, kerana akhirat nanti tidak ada lagi tempat untuk kita mahu bergantung kecuali kepada Allah sahaja.

 

kalau di dunia, kita boleh bergantung dengan ibu bapa kita, dengan suami kita, dengan pemimpin kita; tetapi akhirat kelak, kita benar-benar bergandung dengan apa yang ada pada diri kita.

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...