Thursday, June 9, 2022

SURAH AL-RUM 29

 

AYAT 29

 

بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (29)

 

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 28

AYAT 29

 

Pentingnya cara berfikir yang betul dalam melihat agama.

 

 

Untuk mendapat cara berfikir yang betul, perlu kepada ilmu dan bukan mengikut kehendak hawa nafsu.

 

 

[1] Dalam ayat lepas, ditutup dengan perkataan لقوم يعقلون, maka ayat ini menjelaskan di sana ada manusia yang tidak dapat menggunakan akal dengan betul, iaitu apabila berfikir tidak berasaskan kepada ilmu tetapi berasaskan kepada hawa nafsu.

 

[2] Apabila manusia tidak menggunakan ilmu, bahkan mengikut hawa nafsu semata-mata, Allah meletakkan mereka sebagai kategori manusia melakukan kezaliman.

 

[3] Disebabkan mereka memilih untuk tidak mencari ilmu, maka Allah memberikan “cop pengesahan” atas kesesatan yang dipilih oleh mereka.

 

[4] Apabila mereka sudah disahkan oleh Allah sebagai sesat, tidak ada sesiapa lagi dapat menyelamatkan mereka daripada azab.

 

بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ

 

[1] Asal perkataan zalim bermaksud, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

 

Antara tindakan zalim adalah apabila kita melakukan sesuatu perkara tanpa berasaskan kepada ilmu. Apatah lagi, dalam hal yang melibatkan kepada amalan agama. Dengan sebab itu, orang yang syirik juga disebut oleh al-Quran sebagai zalim:

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ [لُقْمَان: 13]

 

[2] Dalam ayat 28, jelaskan bahawa kesyirikan berlaku berpunca daripada cara berfikir yang salah.

 

Dalam ayat ini pula dijelaskan, syirik juga berlaku ekoran daripada mengikut hawa nafsu, serta berfikir yang tidak berasaskan kepada ilmu.

 

[3] Maksud mengikut hawa nafsu tanpa ilmu, al-Razi maksudkan adalah melakukan kesyirikan ekoran daripada beragama secara tidak berdalil.

وَأَثْبَتُوا شُرَكَاءَ مِنْ غَيْرِ دَلِيلٍ

 

[4] Apabila Allah mengatakan اهوائهم بغير علم, bermaksud di sana ada اهوائهم بعلم.

 

Hawa yang berasaskan kepada ilmu adalah, hawa yang mengikut aturan agama, seperti bersetubuh dengan isteri, makan makanan yang halal, tidak berbelanja kecuali berasaskan kepada harta yang diperolehi melalui jalan yang dibenarkan agama dan sebagainya.

 

فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ

 

Apabila seseorang itu rela dengan kejahilan, dan beramal sesuatu hal agama dalam keadaan tanpa ilmu, ketika itu dia berada dalam kesesatan.

 

Justeru tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya, kerana dia telah dianggap sesat oleh Allah.

 

Dalam perkataan yang lain, manusia menjadi sesat adalah pilihan dari dirinya sendiri, iaitu apabila dia mengikut kehendak hawa nafsu serta tidak mahu menuntut ilmu.

 

Apabila itu pilihannya, aku Allah "bagi cop" pengesahan terhadap kesesatan yang dipilih itu. Itulah yang dimaksudkan dalam ayat من اضل الله.

 

وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (29)

 

[1] Tidak ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia daripada kesesatan, kerana dia sendiri telah memilih jalan kesesatan itu.

 

Justeru, tidak ada sesiapa dapat menyelamatkan dia dari kesesatan kecuali dirinya sendiri, iaitu apabila dia bersedia untuk mencari ilmu serta memanfaatkan akal dengan cara yang betul.

 

[2] Ibn al-Jawzi menafsirkan maksud dengan ayat ini adalah tidak ada sesiapa pun dapat melarang mereka daripada mendapat azab Allah.

 

PENGAJARAN

 

[1] Betapa pentingnya ilmu yang benar dalam menjalani kehidupan, terutama dalam mengamalkan agama.

 

Kalau manusia mengamalkan sesuatu perkara agama bukan berasaskan kepada ilmu yang benar, dibimbangi amalan tersebut dianggap sebagai benar serta sebati dalam amalan seharian, maka dia akan merasakan dia berada dalam kebenaran walhal hakikatnya dia berada dalam kesesatan.

 

[2] Ayat ini dan ayat sebelum membuktikan kepada kita bahawa kesesatan berlaku ekoran daripada hawa nafsu. Kita akan selamat dari kesesatan apabila kita memanfaatkan akal dengan disulami ilmu.

 

Sya'rawi kata, hindarilah dari mendahulukan hawa nafsu berbanding akal. Hal ini kerana, jika dahulukan hawa nafsu berbanding akal, akal jadi penghalal kepada kehendak hawa nafsu.

إياك أن تُقدِّم الهوى على العقل؛ لأنك حين تُقدِّم الهوى يصير العقل عقلاً تبريرياً

 

Dengan akal, manusia boleh tahu kebenaran agama. Dengan agama, manusia dapat mengawal akal dari tersesat.

 

 

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...