Friday, March 24, 2023

SURAH AL-RUM 41

  

SURAH AL-RUM 30:41

 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 40

AYAT 41

 

Allah yang mencipta, memberi rezeki, mematikan dan hidupkan balik. Justeru, tidak patut bahawa Allah itu disyirikkan.

 

 

Apabila manusia melakukan kerosakan termasuk syirik, kesannya pada diri mereka sendiri.

 

[1] Setelah Allah menyebut bahawa DIA yang mencipta manusia, bagi rezeki, mematikan dan menghidupkan semula. Semua sembahan Quraish tidak dapat buat seperti yang Allah buat.

 

[2] Dalam pada itu, Quraish tetap tidak percaya bahawa yang memberi kemenangan kepada Rom akan datang dari Allah;

بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5) وَعْدَ اللَّهِ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (6)

 

[3] makanya, Allah seperti mahu menjelaskan dalam ayat ini bahawa kemenangan dan kekalahan memang dari Allah, tetapi tidak bermakna manusia tidak bertindak langsung. Mereka harus bergerak ke arah kemenangan, makanya kemenangan itu diizinkan oleh Allah.

 

[4] Demikianlah juga kerosakan. Jika manusia bertindak ke arah kehancuran, pasti Allah akan izinkan kehancuran itu berlaku.

 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

 

[5] Maksud dengan kerosakan di daratan dan di lautan, SHIHAB kata; jika dinisbah kepada daratan seperti KERING, KEBULURAN, TIADA KEAMANAN dan sebagainya.

 

Kalau nisbah di lautan seperti kekurangan hasil laut dan sebagainya[1].

 

[6] Dari sudut konteks ayat, ASYUR kata, kemungkinan ayat ini merujuk kepada kerajaan Rom dan Farsi; iaitu kedua-dua kekuasaan mereka bakal hancur apabila mereka saling melakukan peperangan. Fasad itu adalah implikasi dari perang; iaitu akan berhadapan dengan masalah ekonomi dan pertumpahan darah. Ini perlu dielak dari berlaku di Mekah dan Madinah yang didominasi oleh arab[2].

 

[7] Perkataan yang digunakan dalam ayat adalah ظهر (zahir) yang lawannya adalah بطن (tersembunyi). Dengan itu, SHIHAB kata, perkataan ظهر merujuk kepada makna apa-apa sahaja yang berlaku di permukaan bumi, dan بطن pula bermaksud, apa yang berlaku dalam perut bumi[3].

 

[8] Pada perkataan الفساد yang diterjemah sebagai KEROSAKAN. Ia adalah lawan bagi perkataan الصلاح, iaitu KEMASLAHATAN. Menurut USAIMIN, maksud FASAD dalam ayat ini tidak dibataskan kepada HISSI sahaja, bahkan termasuk juga makna MAKNAWI.

A.                  HISSI adalah seperti kerosakan tumbuh-tumbuhan, banjir besar dan sebagainya.

B.                  MAKNAWI adalah seperti banyak kelakuan dosa, maksiat, fasiq, mungkar dianggap makruf dan ma’ruf dianggap mungkar[4].

 

Al-Asfahani kata, maksudnya dari sudut bahasa adalah KELUAR SESUATU DARI KESEIMBANGAN, SAMA ADA SEDIKIT ATAU BANYAK.

 

Dari sudut konteks ayat;

a.                  SHIHAB kata, ada ulama kata maksud adalah SYIRIK[5]. Ini adalah pendapat ZAID BIN ASLAM. Namun, pentafsiran ini dipertikaikan oleh Ibn kathir[6].

b.                  Ada sebilangan ulama tafsir contohkan dengan seperti pembunuhan Qabil terhadap Habil[7].

 

Dua pentafsiran ini dianggap tidak tepat dengan konteks ayat. Namun, jika dilihat dari sudut ayat-ayat lain, kelihatan lebih seragam dengan pemaknaan fasad dalam ayat ini, iaitu;

 

A.                  Kerosakan disebabkan pembunuhan, rompakan, gangguan keamanan dan sebagainya. Firman Allah;

 

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ (204) وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ (205) – البقرة

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). * Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

 

B.                  Kerosakan disebabkan pemberontakan. Firman Allah;

 

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (33) – المائدة

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar

 

C.                  Kerosakan kerana tipu dalam timbangan dalam jual beli. Firman Allah;

 

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (85) - الأعراف

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman

 

D.                 Kerosakan ekoran degil dari mengakui kebenaran. Firman Allah;

 

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ (61) إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا اللَّهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (62) فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ (63) – ال عمران

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". * Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.* Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

E.                  Kerosakan dengan sebab KEZALIMAN. Firman Allah;

 

فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ (116) وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ (117) – هود

Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa * Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

 

Dengan itu, AL-BIQAIE mentafsirkan bahawa fasad adalah kekurangan dalam segala yang diperlukan oleh makhluk[8].

 

[9] Dalam ayat, digunakan perkataan كسب bukan اكتسب. Ada perbezaan berikut;

a.                  Perkataan كسب merujuk kepada sesuatu perbuatan itu dilakukan secara mudah.

b.                  Perkataan اكتسب pula merujuk kepada sesuatu perbuatan dilakukan secara digagahi.

 

Dengan sebab itu, al-Quran ada menyebut bahawa ahli neraka itu dalam melakukan kejahatan berbentuk licin dengan digunakan perkataan كسب. Firman Allah;

 

بلى مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خطيائته فأولئك أَصْحَابُ النار ... } [البقرة: 81]

 

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka”

 

[10] Menurut IBN ASYUR, alam ini diciptakan tuhan dalam satu sistem yang sangat serasi dan sesuai dengan kehidupan manusia. Firman Allah;

 

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (29) – البقرة

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

 

contoh, keserasian antara lelaki dan perempuan, maka wujud pernikahan sesama mereka. Justeru, pernikahan sejenis adalah pelanggaran terhadap keserasian itu.

 

Namun, sistem yang serasi dengan manusia itu boleh dilakukan oleh manusia tertentu dalam bentuk yang menyanggahi sistem tersebut yang menyebabkan hilang keseimbangan. Dengan itu, berlaku kerosakan[9].

 

Justeru, maksud dengan FASAD (kerosakan) dalam ayat ini adalah pelanggaran terhadap keseimbangan di darat dan laut. Kalau dinisbahkan kepada anjuran perkahwinan sejenis, ia membawa kepada krisis moral dan merosakan sistem kekeluargaan. Apabila hutan ditebang sedemikian rupa, pasti akan membawa krisis alam seperti banjir besar dan sebagainya.

 

[11] Maksud dengan rosak di laut;

a.                   adalah makanan-makanan laut yang tidak dapat dimanfaatkan oleh manusia seperti ikan beracun dan sebagainya.

b.                  Ibn Abbas kata, kota dan kampung yang berada di tepi laut dan pantai[10].

c.                   Ada tafsirkan, maksud dengan البر adalah padang pasir, dan maksud bagi البحر adalah kota-kota yang ada bangunan[11].

 

[12] Apabila Allah menciptakan alam ini, maka ia jangan dirosakan. Itu adalah tugas khalifah, iaitu membaiki dan memperindahkan alam. Hal ini dikuatkan dengan firman Allah;

 

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ (105) – الأنبياء

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".

 

Dalam ayat lain;

 

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (54) ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (55) وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (56) – الأعراف

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. * Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas * Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

 

Begitujuga ayat;

 

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (85) – الأعراف

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman

 

Ayat 85 surah al-A’raf berkenaan nasihat Nabi Syuaib kepada kaum yang suka merosakan gantang dan ukuran[12].

 

بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

 

[13] Apabila disebut TANGAN-TANGAN MANUSIA, bukan bermakna maksiat dan dosa dari tangan sahaja, bahkan semua perilaku manusia kepada dosa termasuk juga dalam maksud ayat, seperti kaki yang berjalan kepada tempat maksiat, otak yang berfikir berbuat maksiat dan sebagainya. Justeru, perkataan TANGAN dalam ayat ini adalah majaz yang ditakwilkan maksud perilaku manusia dalam melakukan kerosakan.

 

لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا

 

[14] Perkataan يذيق (tuhan mahu jadikan mereka rasa). Ia berasal dari kata ذوق iaitu rasa. Ia salah satu jenis pencerapan secara hissi. Kalau pencerapan bagi lihat adalah nampak, pencerapan bagi mendengar adalah kedengaran, maka mencerap dari rasa di jiwa adalah ذوق.

 

[15] Ayat ini menjelaskan bahawa KESAN atau AKIBAT terhadap kerosakan yang manusia lakukan adalah, mereka akan MERASAI sendiri akibat dan kesannya itu.

 

Walaupun yang memberikan rasa azab itu adalah Allah, tetapi ia berpunca dari tindak tanduk dan perilaku mereka sendiri. Dalam hal ini, jelas bahawa Allah tidak zalim, tetapi manusia yang menzalimi diri mereka sendiri[13].

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)

 

[16] Allah memberikan pelbagai azab ekoran dari tangan mereka sendiri. Tujuannya, agar mereka kembali dan bertaubat dari berhenti dari melakukan kerosakan lagi.

 

Bermakna, jika mereka membuat projek pembangunan, bukan bermakna berhenti; tetapi teliti balik di mana silapnya projek pembangunan tersebut sehingga boleh mendatangkan banjir kilat dan sebagainya.

 

[17] Menurut HAMKA, maksud kembali di sini adalah menilik diri dari sudut niat, memperbaiki hubungan dengan tuhan, jangan hanya fikir berkenaan keuntungan diri sendiri sahaja sehingga merugikan oragng lain[14].



[1] Shihab:11/76.

[2] Tahir:21/109.

[3] Shihab:11/76.

[4] Usaimin:253

[5] Shihab:11/76.

[6] Kathir:6/320

[7] Shihab:11/76.

[8] Shihab:11/77.

[9] Shihab:11/77.

[10] Zad:3/425

[11] Kathir:6/316

[12] Hamka:7/5532,

[13] Usaimin:259.

[14] Hamka:7/5534.

Friday, August 26, 2022

SURAH AL-RUM 40

 AYAT 40

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 39

AYAT 40

 

Ada manusia memberi bantuan kewangan, disebalik bantuan yang diberikan itu dia berharapkan supaya mendapat keuntungan. Semua ini tidak baik. Yang baik di sisi Allah adalah memberi bantuan kewangan semata-mata mahu mendapat keredhaan dari Allah.

 

 

Manusia perlu ingat bahawa Allah mencipta manusia dan memberikan rezeki kepada mereka. Selepas manusia hidup di atas muka bumi, manusia akan dimatikan oleh Allah. Kemudian mereka akan dihidupkan semula.

 

Semasa dihidupkan semula, jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas kepada Allah tanpa syirik, mereka akan mendapat banyak faedah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

 

 

[1] Manusia memberi bantuan kewangan, apabila dia berharap balasan di dunia, mereka tidak nampak kelebihan alam akhirat.

 

[2] Justeru, Allah menjelaskan bahawa perlunya kejujuran dalam memberi bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan. Walaupun dalam beberapa keadaan, tidak mendapat habuan di dunia, tetapi di akhirat pasti akan mendapat habuan.

 

[3] Hal ini kerana, Allah itu maha berkuasa; manusia dari tidak ada pun, Allah yang bagi ada. Bukan sekadar bagi ada, bahkan diberikan rezeki. Selepas itu, dimatikan semula dan dihidupkan kembali.

 

Jika ini Allah mampu, sudah pasti sekadar memberikan balasan pahala di alam akhirat nanti adalah mudah bagi Allah.

 

[4] Semua ini tidak dapat dilakukan berhala. Ekoran itu, dalam pada mereka menyembah Allah, mereka menyembah juga berhala adalah sesuatu yang sia-sia.

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ

 

[1] Mencipta manusia dalam ayat ini dilihat dari 2 sudut;

(a)                            Mencipta daripada tanah. Ini melibatkan penciptaan Adam.

(b)                           Mencipta manusia dari air mani. Ini berlaku pada semua manusia.

 

[2] Ibnu Katsir menyatakan, maksud menciptakan dalam ayat ini adalah, menciptakan manusia bermula daripada mereka berada dalam rahim ibu. Yang semasa di dalam rahim ibu itu pun, Allah telah menetapkan rezeki kepada manusia. Justeru makna ثُمَّ رَزَقَكُمۡ adalah Tuhan menetapkan rezeki manusia semasa berada dalam rahim ibu lagi. (Kathir:6/319)

 

[3] Dari sudut bahasa, perkataan رزق yang diterjemah sebagai rezeki, asal maknanya adalah pemberian. Dalam Al-Quran, Allah ada berfirman;

 

وَإِذَا حَضَرَ ٱلۡقِسۡمَةَ أُوْلُواْ ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينُ فَٱرۡزُقُوهُم مِّنۡهُ وَقُولُواْ لَهُمۡ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا (8) - النساء

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

Jika dilihat dari sudut konteks makna bahasa, manusia diciptakan itupun adalah satu rezeki dari Allah; manusia dihidupkan selepas dimatikan juga adalah satu rezeki dari Allah dan sebagainya.

 

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

 

[1] Kehidupan selepas daripada mati adalah kehidupan yang tidak ada sebarang kebinasaan selepas dari itu. Iaitu kehidupan yang kekal abadi.

 

[2] maksud يحييكم adalah bermula dari alam kubur, alam mahsyar sehingga ke alam syurga atau neraka.

 

هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ

 

[1] Seakan-akan Allah bertanya: apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat menghidupkan dan mematikan?  Apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat mencipta dan memberi rezeki kepada kamu? (Sya'rawi:18/11468)

 

Berkenaan dengan ke tidak mampu berhala itu mencipta sudah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Nahl;

 

 وَٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَخۡلُقُونَ شَيۡـٔٗا وَهُمۡ يُخۡلَقُونَ  (20) - النحل

Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan.

 

Dan juga firman Allah dalam surah al-hajj;

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٞ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥٓۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخۡلُقُواْ ذُبَابٗا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُواْ لَهُۥۖ وَإِن يَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيۡـٔٗا لَّا يَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ (73) - الحج

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

 

[2] Kata Ibnu kathir, ayat ini sebagai bandingan yang Allah mahu lakukan dengan berhala-berhala yang disembah oleh manusia. Jika Allah boleh menghidupkan dan mematikan, serta menetapkan rezeki kepada manusia bermula dari alam Rahim lagi, apakah semua ini dapat dilaksanakan oleh segala berhala-berhala yang disembah oleh manusia itu? (Kathir:6/319

 

[3] Jika mereka menderma dan memberi bantuan kewangan kepada orang memerlukan dengan tujuan keduniaan, segala bantuan kewangan yang mereka lakukan itu tidak berfaedah untuk mereka di akhirat kelak.

 

Ada satu lagi penyebab kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia tidak berfaedah di akhirat kelak, iaitu mereka mati dalam keadaan melakukan syirik.

 

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

 

[1] Allah menyatakan bahawa Allah maha suci dari berhala yang mereka sembah. Ini menjadi dalil bahawa, mereka bukan tidak menyembah Allah, tetapi di samping mereka menyembah Allah mereka juga menyembah Tuhan yang lain.

 

[2] ungkapan سبحان yang dikaitkan dengan Allah memberi maksud Tanzih. Tanzih terhadap Allah adalah sesuatu yang dituntut dalam agama. Kandungan لا اله الا الله, secara tersirat mengandungi maksud tanzih. Semua muslim perlu tanzih Allah dari segala kekurangan.

 

PENGAJARAN

 

[1] Tidak syirik merupakan antara perkara utama untuk memastikan amal ibadat yang dilakukan semasa hidup mendapat manfaat di akhirat kelak.

 

[2] Apabila Allah yang telah memberikan rezeki kepada manusia, bermakna Allah adalah Tuhan yang telah berjasa. Justeru tidak layak bagi manusia tidak menyembah Allah.

Friday, August 5, 2022

SURAH AL-RUM 39

AYAT 39

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 38

AYAT 39

 

Diperintahkan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Disebut hanya  tiga, iaitu kaum kerabat, orang miskin dan ibnu Sabil. Pemberian itu dilakukan dengan ikhlas.

 

 

Ada satu jenis perangai manusia, apabila dia membantu, dia berharap supaya mendapat balasan di sebalik bantuan tersebut, iaitu dilakukan dengan tidak ikhlas.

 

[1] Masalah besar berlaku pada kafir Quraish sehingga mereka tidak boleh percaya dengan janji Allah yang bakal memberi kemenangan kepada Rum adalah mereka beragama secara tidak ikhlas dan tidak jujur. Kalau mereka jujur, sudah pasti mereka akan ikut ajaran Nabi Muhammad saw yang sama sepertimana yang diajar oleh Nabi Ibrahim. Apatah lagi, mereka selalu dakwa bahawa mereka adalah pengikut setia Nabi Ibrahim.

 

[2] Tidak jujur dalam beragama ini bukan sekadar berlaku kepada orang kafir, tetapi ada berlaku juga dalam kalangan orang islam. Antara bentuk tidak jujur itu adalah, apabila mereka memberi bantuan kepada orang susah dan memerlukan, mereka berharapkan sesuatu balasan balas. Jika diberikan bantuan kepada si miskin sebanyak RM10, mereka berharap akan di masa akan datang, si Miskin itu dapat membantu mereka dengan RM20.

 

[3] Allah memberitahu bahawa, perasaan dan sikap sebegini tidak baik. Bahkan ia tidak ada nilai di sisi Allah walaupun sedikit.

 

[4] Yang ada nilai di sisi Allah adalah memberikan bantuan harta kepada orang yang memerlukan dari hati yang murni, dari harta yang bersih dari sebarang unsur haram (kalimah al-Zakat).

 

[5] Jika mereka dapat memberi bantuan harta dari hati yang murni dan harta yang bersih dari unsur haram seperti menipu, rasuah, penyelewengan dan sebagianya; semua ini akan menjadikan mereka mendapat balasan pahala berganda-ganda.

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ

 

[1] Dalam terjemahan HAMKA:

 

“Dan apa yang kamu berikan dari riba, supaya dibungai pada harta benda manusia. Maka tidaklah dia berbunga di sisi Allah. (Hamka: 5527)

 

[2] Asal makna riba adalah, penambahan. (Usaimin:232). Firman Allah:

فَإِذَاۤ أَنزَلۡنَا عَلَیۡهَا ٱلۡمَاۤءَ ٱهۡتَزَّتۡ وَرَبَتۡ  (5) - الحج

 

BUYA HAMKA kata, riba adalah memberi pinjam harta benda dengan janji ketika membayar pinjaman itu diberikan bunganya. Riba yang sebegini adalah dilarang.

 

Dari konteks ayat, riba yang dimaksudkan adalah, orang memberi pertolongan, baik tenaga atau benda kepada orang lain, tetapi ada harapan tersembunyi, iaitu berharap dibalas terhadap pertolongan itu sebagai balas jasa dengan balasan yang lebih besar.

 

Justeru ayat ini memberitahu bahawa tidak perlu berharap balasan terhadap pertolongan yang diberikan, kerana orang yang menerima pertolongan, tidak semestinya ada kemampuan untuk membalas balik. Makanya, berilah bantuan secara ikhlas, kerana pertolongan itu ada nilai disisi Allah. (Hamka:5527)

 

[3] Ayat ini menyebut berkenaan orang yang tidak ikhlas, digunakan lafaz وَمَآ ءَاتَيۡتُم iaitu kata jamak yang merujuk kepada orang ramai, sedangkan ayat lepas menyebut berkenaan orang yang ikhlas, digunakan lafaz فَـَٔاتِ iaitu kata Mufrad yang merujuk kepada Nabi.

 

Menurut SHIHAB, apabila merujuk kepada tidak ikhlas, ia mengeluarkan Rasulullah dari kalangan mereka. Hal ini kerana keikhlasan itu wujud pada akhlak nabi. (Shihab:11/72)

 

[4] Perkataan riba dalam ayat ini berlaku kesilapan pentafsirannya oleh para ulama;

 

(A). Riba yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah riba yang haram, iaitu berkaitan dengan sesuatu pemberian hutang, tetapi berharap bahawa pulangan hasil bayaran hutang nanti mempunyai lebihan. Ini adalah pendapat IBN ASYUR.

 

Beliau menyatakan, amalan riba adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam masyarakat jahiliyah terutama di antara Saqif dan Quraish. (Asyur:21/105)

 

(B). Riba yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bukan riba dalam makna syariat, tetapi riba dalam maksud bahasa; iaitu memberi sesuatu pemberian, dan berharap mendapat pulangan. Ini adalah pandangan sebilangan besar ahli tafsir, seperti Al-Qurtubi, Ibnul Arabi, Al-Biqaie, Ibnu Katsir, Usaimin bahkan Syed Qutb. Semua mereka merujuk kepada TAKWIL yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas.

 

Menurut Syed Qutb, riba dalam pemaknaan ayat ini bukan sesuatu hal yang haram.

 

Dalam dua pendapat ini, mana pendapat yang paling tepat. Justeru dilihat kepada penghujahan berikut;

 

(1). TABTABAIE kata, ayat ini diturunkan di Mekah, sedangkan pengharaman riba adalah selepas nabi hijrah ke Madinah. (Shihab:11/73)

 

(2) Ayat ini menggunakan ejaan رِّبٗا, sedangkan dalam banyak ayat yang berkaitan dengan hukum haram riba, digunakan ejaan ٱلرِّبَوٰۤا۟

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰۤا۟ أَضۡعَـٰفࣰا مُّضَـٰعَفَةࣰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (130) - ال عمران

 

Menurut al-Zarkashi, perbezaan cara ejaan itu sebagai salah satu indikator tentang perbezaan makna. (Shihab:11/73)

 

(3) Sambungan ayat, disebut berkenaan dengan memberi zakat, iaitu sesuatu pemberian yang dilakukan ikhlas kerana Allah.

 

Dari ketiga-tiga hujan ini, didapati pentafsiran (B) lebih tepat dengan konteks ayat.

 

[5] Sesuatu perkara yang tidak elok apabila kita memberi bantuan kepada orang, di sebalik pemberian itu kita berharap mendapat pulangan yang lebih besar. Firman Allah;

 

وَلَا تَمۡنُن تَسۡتَكۡثِرُ (6) - المدثر

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ

 

[1] Asal perkataan زَكَوٰةٖ adalah bersih, kerana ia timbul dari hati yang bersih, membersihkan jiwa dari mengharapkan manusia, membersihkan harta dari hak yang wajib diterima oleh fakir miskin. (Hamka:5527)

 

Digunakan perkataan zakat yang asal maknanya adalah bersih adalah merujuk kepada harta yang tidak bercampur dengan yang haram. Dalam perkataan lain, mereka memberikan bantuan kewangan kepada yang memerlukan bukan dari hasil riba, hasil rompakan, hasil curian, hasil rasuah dan sebagainya.

 

[2] Maksud zakat dalam ayat ini bukan kewajipan zakat yang difardukan, tetapi ayat ini memberitahu prinsip umum, iaitu sesuatu pemberian, sama ada berbentuk wajib ataupun sunat. Hal ini kerana, ayat ini diturunkan di Mekah, sedangkan kewajipan zakat diturunkan semasa nabi sudah berhijrah ke Madinah. (Usaimin:235)

 

فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

 

[1] Dalam ayat yang lain, gandaan juga diberikan kepada mereka yang memberi infaq kepada orang yang memerlukan bantuan kewangan. Firman Allah;

 

مَّن ذَا ٱلَّذِي يُقۡرِضُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنٗا فَيُضَٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضۡعَافٗا كَثِيرَةٗۚ وَٱللَّهُ يَقۡبِضُ وَيَبۡصُۜطُ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ (245) - البقرة

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

 

[2] Gandaan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah:

(A). Gandaan pahala di akhirat.

(B). Gandaan harta di dunia.

 

ASYUR menyatakan bahawa, ayat ini merujuk kepada pemaknaan yang (A) (Asyur:21/106)

 

PENGAJARAN

 

[1] Imam Al-Qurtubi menukilkan perkataan Ali bin Abi Thalib, bahawa sesuatu pemberian itu dilihat kepada tiga jenis;

(a) bertujuan untuk mendapat pahala di sisi Allah.

(b) bertujuan untuk mendapat pujian dari manusia.

(c) bertujuan untuk mendapat balasan dari orang yang memberi.

 

Ayat ini menggambarkan bahawa pahala besar dan rahmat akan diberikan kepada jenis yang (1). (Qurtubi:439)

 

[2] Ayat ini seakan-akan mahu menyatakan, sesiapa yang menafkahkan hartanya demi kerana Allah, maka ia akan memperoleh kebahagiaan. Sedangkan mereka yang menafkahkan dengan riya', serta mahu popular, maka ia akan kecewa bahkan rugi. Adapun yang memberi hartanya sebagai hadiah untuk memperoleh dibalik pemberiannya keuntungan materi, maka itu bukanlah sesuatu yang baik walaupun tidak terlarang. (Shihab:11/72)

 

[3] Antara perkara yang perlu difikirkan oleh setiap manusia, bagaimana kekayaan anugerah Allah boleh menjadi bekalan untuk akhirat.

 

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...