Wednesday, June 1, 2022

SURAH AL-RUM 25

AYAT 25

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ تَقُومَ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِنَ الْأَرْضِ إِذَا أَنْتُمْ تَخْرُجُونَ (25)

 

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 24

AYAT 25

 

Apabila manusia lihat ke langit, manusia nampak kilat yang menyebabkan manusia rasa takut.

 

 

Manusia patut lebih takut, apabila manusia akan mati dan kemudian dikeluarkan dari bumi untuk mengadap Allah.

 

 

[1] apabila manusia sedar kekuasaan Allah ketika mereka melihat kilat yang memanah, hari yang turun dari langit, manusia juga perlu sedar bahawa kekuasaan Allah itu antara lain adalah untuk memberi kemudahan kepada manusia dalam menjalani kehidupan secara sempurna. Dengan itu, Allah menjadikan bumi dan langit berada di tempatnya dengan begitu teguh.

 

[2] hidup manusia tidak dianggap sempurna hanya kerana berada di dunia sahaja, bahkan kesempurnaan itu akan dicapai selepas daripada mati, iaitu apabila dibangkitkan semula--bermula dari keluar dari lubang kubur, kemudian menuju kepada alam syurga dan neraka.

 

[3] apabila semua hal ini dilihat oleh manusia dengan kesedaran, manusia pasti tidak akan sanggup untuk menafikan kekuasaan Allah sepertimana yang dilakukan oleh kafir Quraisy--mereka menafikan Allah berkuasa untuk memberikan kemenangan kepada rom.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ تَقُومَ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ بِأَمْرِهِ

 

[1] penggunaan perkataan ومن اياته, digunakan untuk kali ke-6.

 

[2] Dalam ayat ini disebut أَنْ تَقُومَ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ yang perkataan تقوم berasal dari perkataan قام yang diterjemahkan sebagai BERDIRI. Menurut SHIHAB, dalam konteks ayat, ia juga boleh diterjemahkan sebagai kesiapan dan kesiagam serta kesungguhan dalam melakukan aktiviti dan kesempurnaannya.

 

Justeru, dalam maksud ayat, ia memberi makna kemantapan sesuatu dalam bentuknya yang sempurna. Dalam perkataan yang lain, langit dan bumi itu berada dalam keadaan baik apabila semua sistem yang berkaitan dengannya berjalan sempurna.

 

Tambahan pula, digambarkan tentang bagaimana langit berdiri di atas tanpa memerlukan kepada sebarang tiang. Itu sudah cukup menggambarkan tentang kekuasaan Allah.

 

Menurut IBN ASYUR, ini adalah bukti bagaimana tuhan menjaga sistem kehidupan makhluk agar makhluk berada dalam kesempurnaan.

 

[2] Maksud dengan بأمره, kata Soleh Usaimin, bermaksud بإرادته -- iaitu dengan kehendakNya. Hal ini selaras dengan maksud كن فيكون seperti Dalam surah yasin.

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (82) – يس

 

[3] Ayat ini selaras dengan firman allah berikut;

إِنَّ اللَّهَ يُمْسِكُ السَّماواتِ وَالْأَرْضَ أَنْ تَزُولا [فاطر: 41]

 

وَيُمْسِكُ السَّماءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ [الْحَج: 65]

 

[3] Menurut imam ibnu kathir, Saidina Umar apabila mahu bertugas dalam sesuatu hal, beliau akan bersumpah dengan perkataan;

وَكَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، إِذَا اجْتَهَدَ فِي الْيَمِينِ يَقُولُ: لَا وَالَّذِي تَقُومُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ بِأَمْرِهِ

 

[4] Cara Tuhan menyebut susunan nikmat pemberian Allah kepada manusia agar manusia dapat merasakan kebesarannya agak menarik.

 

Cuba lihat, bermula dari (ayat 20), disebut berkenaan dengan permulaan bagi penciptaan manusia, (ayat 21) disebut berkenaan adanya lelaki dan perempuan yang berpasangan, (ayat 22) disebut berkaitan langit dan bumi, serta manusia wujud dalam perbezaan bahasa dan bangsa, (ayat 23) disebut berkaitan dengan manusia dalam usaha mencari rezeki dan berehat dengan tidur, (ayat 24) disebut berkenaan dengan sumber rezeki itu melalui bumi yang hidup, asalnya ia mati sebelum turunnya hujan, (ayat 25) pula menyebut berkenaan dengan langit dan bumi itu bergerak secara sempurna, semuanya itu memudahkan manusia untuk hidup sehingga mereka mati, lalu dibangkitkan semula.

 

ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِنَ الْأَرْضِ

 

Perkataan دعاكم دعوة yang bermaksud ALLAH MEMANGGIL KAMU DENGAN SATU PANGGILAN, yang SHIHAB menyatakan bahawa ia digambarkan betapa berkuasanya Allah dalam menghidupkan kembali manusia setelah kematian. Ia merujuk kepada tiupan sangkakala yang kedua oleh malaikat Israfil.

 

إِذَا أَنْتُمْ تَخْرُجُونَ (25)

 

[1] Perkataan اذا dalam ayat ini memberi makna مفاجأة yang diterjemah sebagai TIBA-TIBA. Ia terkandung makna كن فيكون, itu apabila Tuhan mahu manusia itu keluar daripada bumi; apabila disuruh, pada ketika itu juga manusia keluar.

 

Dalam perkataan yang lain, kalau Allah mampu menyuruh manusia keluar dari kubur secara كن فيكون, maka itu adalah bukti bahawa Allah itu cukup maha berkuasa.

 

Hal ini kerana manusia tidak ada kemampuan, bukan sekadar untuk keluarkan manusia yang lain dari kubur, bahkan untuk keluar sendiri dari kubur pun tidak ada kemampuan.

 

[2] Ayat ini selaras dengan firman allah berikut;

{إِنْ كَانَتْ إِلا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ} [يس: 53]

 

PENGAJARAN

 

[1] Kalau Allah berkuasa untuk menjadikan langit dan bumi berada dalam sistem nya demi kemudahan manusia, sewajarnya manusia bersyukur dan berterima kasih kepada Allah, bukan mengkufuriNya.

 

[2] Apabila manusia nampak kekuasaan Allah, manusia perlu sedar bahawa manusia tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali dengan keizinan dari Allah.

 

 

 

 


Monday, May 30, 2022

SURAH AL-RUM 24

 

AYAT 24

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 23

AYAT 24

 

Melihat kebesaran Allah pada diri sendiri serta alam sekeliling.

 

 

Melihat kebesaran Allah pada ruang angkasa pula.

 

[1] Setelah Allah sebutkan bukti kekuasaan Allah itu, manusia akan dapati jika mereka teliti pada diri mereka sendiri, iaitu mereka boleh tidur dan boleh bekerja mencari rezeki, makanya tuhan sebut pula bukti kekuasaannya yang luar dari diri manusia, tetapi masih ada kaitan lagi dengan mereka, iaitu hujan yang menjadikan bumi yang mati boleh hidup kembali.

 

[2] Tuhan nyatakan dalam ayat ini dua kekuasaanNya:

 

A.                  Kilat yang memanah.

B.                  Hujan yang turun untuk hidupkan bumi yang mati.

 

[3] Apabila kilat memanah, manusia merasa takut. Dalam pada manusia takut, perkara utama yang manusia perlu fikir, mereka wajar lebih takut kepada Tuhan yang mencipta kilat.

 

Demikian juga, jika manusia rasa takut dengan kilat, sudah pasti perlu lebih takut kepada azab neraka yang sifatnya lebih dahsyat dari kilat.

 

[4] Dalam pada manusia takut melihat kilat, apabila manusia melihat kilat, manusia ada pengharapan di situ; iaitu, berharap agar hujan turun, terutama bagi mereka yang sudah lama tidak diturunnkan hujan dan di musim kemarau.

 

[5] Lazim kilat, selalunya hujan akan turun. Turunnya hujan itu adalah kebaikan kepada manusia—suburkan bumi yang mati; hidupkan tanaman di tanah yang gersang.

 

[6] Setelah tuhan sebut segala nikmat ini, tuhan pun menyebut bahawa semua ini tidak berguna jika manusia tidak dapat memanfaatkan akal mereka sebaik mungkin.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا

 

[1] ini kali ke-5, dimulakan kepala ayat dengan ومن اياته. Iaitu, tuhan mahu menggambarkan kepada manusia yang pertikai kekuasannya bahawa perlu perhatikan semua ciptaan ini agar dapat rasakan bahawa hakikat Allah itu maha berkuasa.

 

[2] kali ini, tuhan sebut bahawa manusia dapat melihat kilat yang memancar; semua ini adalah Allah yang jadikan manusia dapat melihat.

 

Tuhan bagi manusia dapat lihat kilat bukan saja-saja, bahkan mempunyai maksud dan tujuannya; iaitu memudahkan untuk manusia mengetahui sesuatu yang bakal terjadi selepas dari kilat, iaitu hujan.

 

[3] Dalam ayat disebut خوفا, iaitu lazimnya manusia melihat dan mendengar kilat, mereka akan rasa takut. Hal ini kerana, banyak keadaan bahawa kilat yang memanah itu boleh membawa kepada kematian dan sebagainya.

 

Menurut Soleh Usaimin, perkataan TAKUT dalam ayat ini juga memberi maksud تخويف, iaitu tuhan jadikan kilat adalah untuk menjadikan manusia rasa takut. Apabila manusia sedar bahawa kilat itu menakutkan, sudah pasti mereka akan takut kepada Allah yang menjadikan kilat.

 

[4] Dalam ayat juga, ada perkataan طمعا yang bermaksud TAMAK atau PENGHARAPAN YANG AMAT TINGGI yang dikaitkan dengan hujan, menunjukkan manusia tidak ada kemampuan untuk memberi satu keputusan yang tetap berkenaan hujan itu turut atau tidak. Semata-mata kelihatan kilat, walaupun kebiasaannya merujuk kepada hujan, tetapi itu bukan satu kemestian.

 

وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

 

[1] Maksud dari langit ini adalah merujuk kepada di atas, kerana hujan bukan turun dari langit, tetapi dari awan.

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ (43) النور

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.

 

Justeru, perkataan langit dalam ayat ini sebagai maksud lughawi, iaitu memberi maksud di atas.

 

[2] Air sebagai sumber kehidupan, hal ini ada disebut oleh Allah dalam ayat berikut;

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ (30) الأنبياء

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

[1] Pada ayat 21, digunakan pendekatan fikiran لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

 

Pada ayat 22, digunakan pendekatan ilmu pengetahuan. َ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

 

Pada ayat 23, digunakan pendekatan PENDENGARAN لِقَوْمٍ يَسْمَعُون

 

Pada ayat ke 24 ini, digunakan pendekatan GUNA AKAL. لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

 

Dengan susunan ini, seakan-akan Allah mahu ajar kepada kita bahawa perlu ada (1) KEBERANIAN BERFIKIR, kemudian keberanian berfikir itu perlu (2) diikat dengan factor ilmu. Dengan ilmu itu, (3) pancaindera seperti mendengar dapat menjadikan manusia (4) benar-benar berakal.

 

Dalam perkataan lain, manusia boleh sahaja berfikir, tetapi tidak semestinya berfikirnya itu betul. Hal ini kerana, orang kafir juga boleh berfikir.

 

Justeru, perlu kepada proses dalam memastikan berfikir itu menjadi betul, iaitu mesti dengan ilmu dan manfaatkan pancaindera dengan sebaik-baiknya.

 

[2] Akal diklasifikasikan kepada dua:

 

A.                  Akal idrak.

B.                  Akal rusyhd

 

Akal Idrak adalah punca ditaklifkan hukum. Adapun akal rushd adalah akal yang dapat memahami petunjuk dan hidayah.

 

Apabila Allah menafikan akal orang kafir, itu bermaksud tuhan nafikan akal rushd, bukan akal Idrak.

 

Justeru, maksud لقوم يعقلون dalam ayat ini merujuk kepada akal Rushd, iaitu orang kafir tidak menjadikan akal mereka tertutup dari mendapat hidayah.

 

PENGAJARAN

 

[1] Ayat menyebut bahawa dengan kilat, manusia ada dua sifat dalam diri mereka, iaitu TAKUT dan HARAP.

 

Ini membuktikan bahawa dua sifat ini perlu ada keseimbangan dalam diri manusia. Kalau dibuatkan perumpamaan dalam beribadat, keseimbangan sifat ini menjadikan ibadat manusia ada kualiti; iaitu, semasa dia beribadat, dia takut azab neraka dan serta berharap dengan syurga; semasa dia beribadat, dia takut kemurkaan Allah dan berharap kasih dan cinta Allah.

 

[2] Manusia melihat kekuasaan Allah terikat kepada akal mereka; apakah dengan akal idrak atau dengan disertai sama dengan akal rushd.

 

Islam mengajar bahawa melihat sesuatu perlu dilihat dengan akal Rushd—dengannya manusia akan berjumpa hidayah.

Sunday, May 29, 2022

SURAH AL-RUM 23

AYAT 23

 

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ (23)

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran)

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 22

AYAT 23

 

Disebut berkenaan tanda-tanda kebesaran Allah itu adalah tuhan menciptakan siang dan malam, serta ciptaan manusia yang mempunyai pelbagai bahasa dan bangsa

 

Disebut bahawa dengan kewujudan siang dan malam, manusia tidur dan bekerja mencari rezeki.

 

[1] Apabila tuhan susah sebut berkenaan ciptaan langit dan bumi dan kepelbagaian bahasa dan bangsa bagi manusia, maka tuhan sebut pula perkara penting bagi manusia adalah macam mana manusia nak menjalani kehidupan seharian.

 

[2] Dalam ayat ini, tuhan sebut dua perkara:

 

A.                  Tidur pada waktu malam

B.                  Berusaha mencari rezeki pada waktu siang

 

Dua perkara ini, sejalan dengan firman Allah dalam surah al-Naba’;

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا (10) وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا (11) - النباء

 

[3] Ini disebut oleh Allah sebagai mahu menggambarkan kekuasaan Allah yang tidak dapat dilihat oleh kafir quraish—mereka menafikan kekuasaan Allah yang bakal memberi kemenangan kepada Rum selepas mereka dikalahkan oleh Farsi.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ والنهار

 

[1] Tuhan mulakan sekali lagi dengan ومن اياته—sebahagian dari tanda-tanda kebesaranNya.

 

[2] Dalam ayat ini, dimulakan dengan menyebut kematian berbanding mencari rezeki. Menurut al-Qurtubi, maksud tidur adalah manusia itu bermula dengan mati, dan maksud dengan mencari rezeki pula adalah kehidupan selepas dari mati.

 

[3] menurut al-Razi, Tuhan sebut bahawa tidur itu dikaitkan malam dan siang; disebutkan malam dahulu, kerana malam adalah waktu yang sesuai dengan tidur. Kemudian disebut siang, kerana di waktu siang juga boleh tidur, tetapi sekadar sampingan sahaja, seperti qaylulah. Hal ini selaras dengan firman Allah:

{وَمِن رَّحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اليل والنهار لِتَسْكُنُواْ فِيهِ} [القصص: 73]

 

وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ

 

[1] maksud dengan فضله yang diterjemahkan sebagai KURNIAANNYA, SHIHAB jelaskan bahawa maksudnya adalah KELEBIHAN DARI KADAR KEPERLUAN. Ia bukan sekadar mendapat keperluan, bahkan mendapat perkara lebihan dari keperluan, seperti bukan sekadar dapat makan, tetapi makan yang sedap; bukan sekadar dapat makan, bahkan dapat makan yang mewah dan sebagainya.

 

[2] asal siang adalah mencari rezeki Allah. Hal ini disebut dalam firman Allah;

وَجَعَلْنا آيَةَ النَّهارِ مُبْصِرَةً لِتَبْتَغُوا فَضْلًا [الْإِسْرَاءِ: 12]

 

Namun, dalam ayat ini disebut mencari kurniaan Allah itu tanpa dibataskan siang dan malam. Menurut Tahir ibn Asyur, ia dalil bahawa mendapat rezeki boleh sahaja dapat pada waktu malam, walaupun induk dalam usaha mencari rezeki adalah waktu siang.

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ (23)

 

[1] Tuhan khususnya menyebut, nikmat tidur di waktu malam dan bekerja mencari rezeki pada waktu siang, ia merupakan tanda-tanda kebesaran Allah—ia dapat dirasai oleh orang yang mendengar.

 

Dikaitkan dengan MENDENGAR kerana dalam tubuh jasad manusia, mendengar adalah pancaindera yang paling banyak dapat cerap ilmu, berbanding yang lain.

 

Orang buta dapat ilmu lebih kuat berbanding orang pekak.

 

Menurut Buya Hamka, dengan pendengaran, manusia dapat kecapi nikmat yang paling kecil, seperti bunyi ciapan burung, bunyi keindahan tiupan angin, bunyi ombak lautan, bunyi hujan lebat dan sebagainya.

 

Dalam Kupasan SHIHAB, dinukilkan pendapat TAHIR IBN ASYUR bahawa tidur dan bekerja adalah pekerja harian manusia yang dilakukan sehingga ia berlaku dalam alam tanpa sedar. Justeru, untuk dianggap bahawa ia adalah TANDA KEBESARAN ALLAH, perlu ada TAZKIRAH yang berbentuk ucapan yang perlu disampaikan kepada manusia. untuk nak sampaikan tazkirah itu, perlu ada penyampaian berbentuk kata-kata yang DIDENGARI.

 

Tambahan pula, soal tidur adalah salah satu rahsia yang amat besar berlaku dalam hidup manusia. dengan tidur, ada isu mimpi; semua ini, rahsianya tidak diketahui kecuali perlu ada kajian ilmiah yang perlu diberikan penjelasan dari pakar—ia perlu berbentuk memberitahu dan mendengar penjelasan tersebut.

 

[2] al-Qurtubi ada membawakan satu riwayat doif bahawa dikatakan terdapat sebilangan kafir Quraish yang tidak mahu mendengar al-Quran, maka dengan sebab itu disebut لقوم يسمعون untuk memberitahu bahawa jika mereka tidak mahu mendengar al-Quran pun, paling tidak mereka mendengar kupasan berkenaan mati dan kehidupan selepas mati—hal ini, jika didengari akan menyebabkan manusia boleh berfikir berkenaan kehidupan mereka selepas mati.

 

PENGAJARAN

 

[1] Walaupun ayat menyebut bahawa siang adalah waktu bekerja—mencari rezeki, dan malam adalah waktu tidur, Quraish Shihab kata, ia bukan bermakna bahawa haram manusia bekerja—mencari rezeki pada waktu malam. Hal ini kerana, konteks ayat bukan menjelaskan hukum, tetapi menjelaskan proses kehidupan manusia yang lumrahnya manusia hadapi sejak dahulu.

 

[2] Tuhan menyebut berkenaan tidur, kerana ia adalah sesuatu lumrah bagi kehidupan makhluk, sama ada manusia dan binatang. Ada sifat tidur adalah lambang kekurangan dan kelemahan. Dengan sebab itu, al-Quran secara khusus ada menyebut bahawa antara sifat tuhan itu adalah tidak tidur, malah tidak mengantuk pun.

لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ فِي سُورَةِ الْبَقَرَةِ [255] .

 

 


SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...