Monday, May 30, 2022

SURAH AL-RUM 24

 

AYAT 24

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 23

AYAT 24

 

Melihat kebesaran Allah pada diri sendiri serta alam sekeliling.

 

 

Melihat kebesaran Allah pada ruang angkasa pula.

 

[1] Setelah Allah sebutkan bukti kekuasaan Allah itu, manusia akan dapati jika mereka teliti pada diri mereka sendiri, iaitu mereka boleh tidur dan boleh bekerja mencari rezeki, makanya tuhan sebut pula bukti kekuasaannya yang luar dari diri manusia, tetapi masih ada kaitan lagi dengan mereka, iaitu hujan yang menjadikan bumi yang mati boleh hidup kembali.

 

[2] Tuhan nyatakan dalam ayat ini dua kekuasaanNya:

 

A.                  Kilat yang memanah.

B.                  Hujan yang turun untuk hidupkan bumi yang mati.

 

[3] Apabila kilat memanah, manusia merasa takut. Dalam pada manusia takut, perkara utama yang manusia perlu fikir, mereka wajar lebih takut kepada Tuhan yang mencipta kilat.

 

Demikian juga, jika manusia rasa takut dengan kilat, sudah pasti perlu lebih takut kepada azab neraka yang sifatnya lebih dahsyat dari kilat.

 

[4] Dalam pada manusia takut melihat kilat, apabila manusia melihat kilat, manusia ada pengharapan di situ; iaitu, berharap agar hujan turun, terutama bagi mereka yang sudah lama tidak diturunnkan hujan dan di musim kemarau.

 

[5] Lazim kilat, selalunya hujan akan turun. Turunnya hujan itu adalah kebaikan kepada manusia—suburkan bumi yang mati; hidupkan tanaman di tanah yang gersang.

 

[6] Setelah tuhan sebut segala nikmat ini, tuhan pun menyebut bahawa semua ini tidak berguna jika manusia tidak dapat memanfaatkan akal mereka sebaik mungkin.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا

 

[1] ini kali ke-5, dimulakan kepala ayat dengan ومن اياته. Iaitu, tuhan mahu menggambarkan kepada manusia yang pertikai kekuasannya bahawa perlu perhatikan semua ciptaan ini agar dapat rasakan bahawa hakikat Allah itu maha berkuasa.

 

[2] kali ini, tuhan sebut bahawa manusia dapat melihat kilat yang memancar; semua ini adalah Allah yang jadikan manusia dapat melihat.

 

Tuhan bagi manusia dapat lihat kilat bukan saja-saja, bahkan mempunyai maksud dan tujuannya; iaitu memudahkan untuk manusia mengetahui sesuatu yang bakal terjadi selepas dari kilat, iaitu hujan.

 

[3] Dalam ayat disebut خوفا, iaitu lazimnya manusia melihat dan mendengar kilat, mereka akan rasa takut. Hal ini kerana, banyak keadaan bahawa kilat yang memanah itu boleh membawa kepada kematian dan sebagainya.

 

Menurut Soleh Usaimin, perkataan TAKUT dalam ayat ini juga memberi maksud تخويف, iaitu tuhan jadikan kilat adalah untuk menjadikan manusia rasa takut. Apabila manusia sedar bahawa kilat itu menakutkan, sudah pasti mereka akan takut kepada Allah yang menjadikan kilat.

 

[4] Dalam ayat juga, ada perkataan طمعا yang bermaksud TAMAK atau PENGHARAPAN YANG AMAT TINGGI yang dikaitkan dengan hujan, menunjukkan manusia tidak ada kemampuan untuk memberi satu keputusan yang tetap berkenaan hujan itu turut atau tidak. Semata-mata kelihatan kilat, walaupun kebiasaannya merujuk kepada hujan, tetapi itu bukan satu kemestian.

 

وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

 

[1] Maksud dari langit ini adalah merujuk kepada di atas, kerana hujan bukan turun dari langit, tetapi dari awan.

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ (43) النور

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.

 

Justeru, perkataan langit dalam ayat ini sebagai maksud lughawi, iaitu memberi maksud di atas.

 

[2] Air sebagai sumber kehidupan, hal ini ada disebut oleh Allah dalam ayat berikut;

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ (30) الأنبياء

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

[1] Pada ayat 21, digunakan pendekatan fikiran لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

 

Pada ayat 22, digunakan pendekatan ilmu pengetahuan. َ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

 

Pada ayat 23, digunakan pendekatan PENDENGARAN لِقَوْمٍ يَسْمَعُون

 

Pada ayat ke 24 ini, digunakan pendekatan GUNA AKAL. لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

 

Dengan susunan ini, seakan-akan Allah mahu ajar kepada kita bahawa perlu ada (1) KEBERANIAN BERFIKIR, kemudian keberanian berfikir itu perlu (2) diikat dengan factor ilmu. Dengan ilmu itu, (3) pancaindera seperti mendengar dapat menjadikan manusia (4) benar-benar berakal.

 

Dalam perkataan lain, manusia boleh sahaja berfikir, tetapi tidak semestinya berfikirnya itu betul. Hal ini kerana, orang kafir juga boleh berfikir.

 

Justeru, perlu kepada proses dalam memastikan berfikir itu menjadi betul, iaitu mesti dengan ilmu dan manfaatkan pancaindera dengan sebaik-baiknya.

 

[2] Akal diklasifikasikan kepada dua:

 

A.                  Akal idrak.

B.                  Akal rusyhd

 

Akal Idrak adalah punca ditaklifkan hukum. Adapun akal rushd adalah akal yang dapat memahami petunjuk dan hidayah.

 

Apabila Allah menafikan akal orang kafir, itu bermaksud tuhan nafikan akal rushd, bukan akal Idrak.

 

Justeru, maksud لقوم يعقلون dalam ayat ini merujuk kepada akal Rushd, iaitu orang kafir tidak menjadikan akal mereka tertutup dari mendapat hidayah.

 

PENGAJARAN

 

[1] Ayat menyebut bahawa dengan kilat, manusia ada dua sifat dalam diri mereka, iaitu TAKUT dan HARAP.

 

Ini membuktikan bahawa dua sifat ini perlu ada keseimbangan dalam diri manusia. Kalau dibuatkan perumpamaan dalam beribadat, keseimbangan sifat ini menjadikan ibadat manusia ada kualiti; iaitu, semasa dia beribadat, dia takut azab neraka dan serta berharap dengan syurga; semasa dia beribadat, dia takut kemurkaan Allah dan berharap kasih dan cinta Allah.

 

[2] Manusia melihat kekuasaan Allah terikat kepada akal mereka; apakah dengan akal idrak atau dengan disertai sama dengan akal rushd.

 

Islam mengajar bahawa melihat sesuatu perlu dilihat dengan akal Rushd—dengannya manusia akan berjumpa hidayah.

No comments:

Post a Comment

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...