Monday, July 4, 2022

SURAH AL-RUM 35

 AYAT 35

 

أَمْ أَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا بِهِ يُشْرِكُونَ (35)

Apakah pernah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 34

AYAT 35

 

Allah menampilkan meluat Allah kepada golongan yang kufur itu sehingga Allah menyuruh agar mereka itu bersenang-senang dengan kekufuran.

 

 

Allah menjelaskan, semua tanggapan kekufuran mereka itu berasaskan kepada khayalan mereka sahaja. Namun mereka seringkali menganggap bahawa kekufuran yang mereka amalkan ini berasaskan daripada ajaran Tuhan juga.

 

 

[1] Masalah besar berlaku kepada orang yang kufur itu adalah, agama mereka tidak mempunyai hujah dan sandaran. Hal ini kerana agama mereka berasaskan kepada hawa nafsu dan tidak berasaskan kepada ilmu.

 

[2] Apabila keadaan ini berlaku kepada agama mereka, mereka terpaksa mencari hujah untuk memastikan agama mereka kelihatan mempunyai kredibiliti.

 

[3] Antara cara yang dilakukan mereka untuk memastikan agama mereka seperti mempunyai kredibiliti, mereka menyedarkan bahawa agama mereka itu bersumberkan daripada Allah.

 

أَمْ أَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا

 

[1] Menurut Buya Hamka, Perkataan SULTAN dalam bahasa Arab mempunyai pelbagai makna;

 

A. Penguasa. Dalam hadis, nabi saw ada bersabda:

 

أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَدْ يَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ

Allah kadangkala memberi kuasa melarang dengan kuasa politik pada perkara yang tidak diberikan ruangan pada kuasa al-Quran.

 

B. Kepala negara. Dalam hadis nabi ada bersabda;

 

فَإِنْ تَشَاجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ – ابو داود, 2083

“Jika mereka berselisih, maka sultan adalah wali bagi mereka yang tidak ada wali”

 

C. Kekuatan

 

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ (33) فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (34) – الرحمن

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (Surah al-Rahman 55:33)

 

D. Alasan yang kuat (ini yang dipilih oleh al-Imam al-Qurthubi, Ibnu Abbas dan Al-Dhahhaq)

 

E. Keterangan yang cukup dan boleh diterima.

 

F. Kitab dari langit (tambahan dari kitab zad al-masir)

 

Dalam ayat ini, BUYA HAMKA memilih perkataan Sultan memberi maksud (D). Pentafsiran yang sama dipilih oleh Syeikh SYA'RAWI, dengan alasan bahawa asal perkataan Sultan adalah gambaran terhadap kekuatan. Ia juga boleh digunakan dalam maksud kekuatan hujah dan dalil.

 

 Justeru makna di sebalik ayat adalah:

 

"apakah Tuhan menurunkan kepada mereka alasan atau perintah yang dapat dipertanggungjawabkan bahawa Allah dapat dipersekutukan dengan lain?"

 

Atau: "apakah ada perintah dan keterangan dari Allah bahawa Allah telah melimpahkan segala kenikmatan atau membahagikan kuasa dengan makhluk-Nya dalam menguasai alam ini?"

 

Dalam kupasan SHIHAB, kandungan ayat ini adalah seakan-akan Allah berkata:

 

"Pernahkah ada bukti yang telah atau akan dapat ditampilkan bagi ketuhanan berhala-berhala itu atau kebenaran Persekutuan itu sehingga mereka demikian kukuh menyembah dan mengikutinya? Pasti tidak pernah dan tidak akan ada"

 

[2] Dalam kupasan IBN ASYUR, perkataan ام Dalam ilmu nahu Arab, ia disebut sebagai منقطعة. Fungsi penggunaan katanya seperti perkataan بل.

 

Dalam konteks ayat, perkataan ام adalah rentetan dari ayat sebelum:

فَتَمَتَّعُوا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ (34)

 

Namun Dari sudut yang lain pula, penggunaan perkataan ini dalam ayat berbentuk pertanyaan. Dalam ilmu nahu Arab yg dipanggil sebagai الاستفهام الانكاري, iaitu mempertanyakan dalam pada mengandungi maksud bantahan.

 

Taqdir ayat;

بل أأَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا

 

Dalam maksud, di sebalik Tuhan bertanya itu sebenarnya Tuhan membantah kepercayaan yang menganggap bahawa Allah mempunyai sekutu, serta membantah kepercayaan yang menganggap alam ini perintah oleh Allah bersama dengan pihak yang lain.

 

Dalam perkataan yang lain, seakan-akan Allah berkata: apakah Allah telah menurunkan kepada mereka alasan yang kuat untuk mereka mempersekutukan Allah? Bahkan, sekali-kali tidak ada. Segala kepercayaan bahawa ada sesuatu selain Allah dalam hal penyembahan dan pentadbiran alam ini adalah khayalan yang datang dalam pemikiran manusia yang kufur sahaja.

 

[3] Dalam kupasan Syeikh SYA'RAWI, perkataan أم tidak datang di permulaan ayat. Ini kerana perkataan ini adalah alat untuk memberi pilihan diantara dua perkara. Contohnya seperti kita berkata:

أجاء زيد أم عمرو؟

 

Ayat ini mengandungi dua hal yang bertembung atau bercanggah, sama ada yang datang itu adalah Zaid ataupun Amru, bukan kedua-duanya sekali datang.

 

Justeru dalam ayat Al-Quran ini, ia juga mempunyai pilihan diantara dua hal yang bercanggah. Taqdir ayat;

أهم اتبعوا أهوائهم أم عندهم كتاب انزل اليهم؟

 

Apakah mereka mengikut hawa nafsu, atau sebenarnya wujud kitab yang diturunkan kepada mereka untuk mereka menjadikan sandaran hujah terhadap kepercayaan mereka?

 

فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا بِهِ يُشْرِكُونَ (35)

 

[1] Menurut USAIMIN, maksud perkataan يتكلم yang diterjemah sebagai bercakap di sini adalah bercakap dengan LISAN AL-HAL, bukan LISAN AL-MAQAL.

 

[2] Ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang sandaran hujah, hal ini kerana mereka beragama berasaskan kepada hawa nafsu. Seperti halnya yang telah disebut oleh Allah dalam ayat yang ke-29;

بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (29)

 

Namun untuk memastikan mereka seperti dari kalangan yang benar, mereka sandarkan agama mereka itu kepada Allah.

 

PENGAJARAN

  

[1] Aqidah keagamaan haruslah berdasar sesuatu yang sangat jelas lagi pasti. Ia tidak boleh berdasarkan dugaan dan sangkaan sahaja. Argumennya perlu dari sesuatu yang tidak timbul kecuali satu makna atau satu interpretasi sahaja.

 

[2] Kepercayaan yang menganggap ada sembahan selain daripada Allah adalah suatu kepercayaan yang tidak mempunyai asas serta dalil. Ia tidak lebih sekadar khayalan yang datang dari pemikiran manusia sahaja.

Thursday, June 30, 2022

SURAH AL-RUM 34

 AYAT 34

 

لِيَكْفُرُوا بِمَا آتَيْنَاهُمْ فَتَمَتَّعُوا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ (34)

Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 33

AYAT 34

 

Orang kafir ini, apabila mereka susah, mereka akan memohon dengan Allah.

 

Tetapi, apabila mereka sudah diberikan rahmat oleh Allah, mereka sembah berhala balik.

 

 

Mereka memilih untuk syirik itu, menyebabkan Allah memberikan nikmat lagi sebagai istidjraj. Bahkan, Allah sindir mereka dengan menyuruh mereka berseronok dengan kekufuran itu.

 

  

[1] Apabila mereka memilih menjadi musyrik setelah mereka mendapat rahmat dari Allah, Tuhan memberi tahu kepada kita bahawa itu merupakan istidraj dari tuhan.

 

[2] Mereka tidak sedar dengan istidraj dari Tuhan, itu menjadikan mereka rasa selesa dan seronok dengan kekufuran. Seronok mereka di dunia itu, pada hakikatnya mereka akan diberikan kemudaratan di akhirat yang lebih dahsyat daripada kemudaratan yang mereka dapat semasa di dunia.

 

[3] Kemudaratan di dunia, mereka dapat hindari dengan meminta bantuan doa dari Nabi Muhammad. Namun, kemudaratan di akhirat kelak, Tuhan akan berikan kepada mereka yang amat Tuhan murka yang menjadikan mereka dapat azab yang berkekalan.

 

لِيَكْفُرُوا بِمَا آتَيْنَاهُمْ

 

[1] Menurut SHIHAB, ada dua kemungkinan terhadap makna ل pada perkataan ليكفروا

A. Bermakna UNTUK

B. Bermakna SEHINGGA MENGAKIBATKAN.

 

Jika bermakna UNTUK, seakan-akan Allah mahu berkata: apabila mereka mendapat nikmat, maka ada dari kalangan mereka menjadi syirik. Itu UNTUK memastikan mereka semakin dan selesa dengan kufur. Hal ini kerana, mereka merasakan bahawa dengan kekufuran, mereka dapat apa sahaja kebahagian di dunia.

 

Jika bermakna SEHINGGA MENGAKIBATKAN, seakan-akan Allah mahu berkata: mereka melakukan kemusyrikan sehingga mengakibatkan mereka kufur nikmat serta kepada berpoya-poya dan bersenang-senang dalam kekufuran tersebut.

 

Dari pemaknaan ini, kita akan dapati bahawa mereka mendapat nikmat ketika berada dalam kekufuran, itu merupakan istidraj dari Allah.

 

Menurut Wahbah Al-Zuhaily, perkataan ل dalam ayat ليكفروا adalah لام للعاقبة او للصيرورة. Iaitu memberi maksud, apabila mereka mendapat nikmat, mereka menjadi syirik. AKIBATNYA mereka menjadi kufur ekoran daripada nikmat pemberian Allah.

 

al-Imam al-Qurthubi pula menyatakan, ada pendapat mengatakan ل pada ليكفروا adalah لام الأمر, iaitu mengandungi makna تهديد.

 

Dalam perkataan yang lain, seakan-akan Allah menyuruh mereka menjadi kufur dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Hal ini kerana Allah sudah meluat dengan mereka, iaitu apabila mereka memilih menjadi musyrik setelah mendapat nikmat, walhal sebelum itu mereka memohon pertolongan Allah ketika mereka mendapat musibah.

 

Gambaran meluat Allah itu juga ada disebut di dalam ayat yang lain.

فمن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر (الكهف، ٢٩)

 

TAHIR IBN ASYUR pula kata, ل pada ليكفروا memberi maksud لام التعليل yang memberi maksud punca dan tujuan.

 

Dalam erti kata lain, mereka memilih untuk menjadi musyrik setelah mendapat nikmat, semua ini BERPUNCA daripada mereka terlalai dengan nikmat pemberian dari Allah.

 

[2] kufur mempunyai dua maksud;

A. Kufur yang menyebabkan keluar dari agama.

B. Mengkufuri nikmat pemberian Allah.

 

Kufur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kufur nikmat.

 

فَتَمَتَّعُوا

 

[1] Asal makna تمتع adalah mendapat sesuatu manfaat atau nikmat.

 

Dalam ayat ini Tuhan menyuruh mereka berada dalam nikmat dalam kekufuran.

 

Hal ini bermakna, Tuhan menganjing mereka. Seakan-akan Tuhan berkata: kalau kamu nak kufur sangat, seronok je lah dengan kekufuran tu.

 

[2] Kalau Tuhan menyuruh manusia berseronok dengan kekufuran, bermakna Tuhan berada pada kemuncak kemurkaan.

 

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ (34)

 

[1] Apabila mereka berseronok dengan kekufuran, akan datang mereka akan tahu akibat buruk yang bakal menimpa kepada mereka.

 

Iaitu; kalau semasa di dunia mereka mendapat mudarat, mereka meminta bantuan dari Nabi Muhammad agar mendoakan kepada Allah supaya terhindar mudarat tersebut, dan ternyata mudarat tersebut pun terhindar.

 

Namun apabila mereka kufur, dan berseronok dengan kekufuran tersebut, di akhirat mereka akan menimpa mudarat yang lebih berat berbanding mudarat yang mereka dapat semasa di dunia.

 

[2] Dalam ayat sebelum ini, dinyatakan bahawa mereka tertimpa musibah, ayat menggunakan perkataan مس yang diterjemah sebagai BERSENTUH.

 

Dalam ayat ini, Tuhan menggunakan perkataan فسوف تعلمون, seakan-akan Allah mahu memberitahu bahawa mudarat akhirat yang mereka dapat bukan sekadar BERSENTUHAN tetapi Sudah sampai tahap ذوق iaitu MERASAI.

 

Azab yang tertimpa di akhirat digunakan perkataan RASA, ada disebut di dalam Al-Quran;

 

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى رَبِّهِمْ قَالَ أَلَيْسَ هَذَا بِالْحَقِّ قَالُوا بَلَى وَرَبِّنَا قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ (30) – الأنعام

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”. (Surah al-An’am 6:30)

 

PENGAJARAN

 

[1] Hati-hati dengan Istidraj. Hal ini kerana, tuhan memberikan nikmat dengan agar kita terleka dari mengingatiNya; hakikatnya memanjangkan kita berada dalam azab di akhirat kelak.

 

[2] Hati-hati dengan merasai keselesaan dengan kekufuran. Hal ini kerana, itu sudah mencapai kemurkaan kemuncak dari Allah.

Monday, June 20, 2022

SURAH AL-RUM 33

 AYAT 33

 

وَإِذَا مَسَّ النَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا رَبَّهُمْ مُنِيبِينَ إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا أَذَاقَهُمْ مِنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ (33)

 

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 33

AYAT 32

 

Ketika mereka susah, mereka akan mentauhidkan Allah.

 

Tetapi, ketika mereka dalam kesenangan, mereka mula syirikkan Allah.

 

 

Implikasi ikut hawa nafsu, mereka rasa tidak bersalah buat bid’ah. Implikasi buat bid’ah, mereka berpecah-pecah berdasarkan anutan agama.

 

 

Mereka tidak konsisten dalam mengambil sikap. Apabila tidak ada sikap yang konsisten, tidak hairan mereka sanggup buat bid’ah. Tidak konsisten sikap itu juga berlaku dalam hal tauhid dan syirik.

 

 

[1] Orang kafir Quraish itu, mereka jenis manusia yang tidak konsisten. Hal ini kerana, iman mereka berasaskan kepada RASA UNTUNG yang mereka dapat. Dengan sebab rasa untung itu, mereka boleh berpecah-pecah. Apabila untungnya berada pada agama A, mereka akan pergi kepada agama A. jika rugi, mereka boleh sahaja beralih kepada agama B.

 

[2] Tidak konsisten yang berlaku ekoran RASA UNTUNG, menyebabkan mereka akan mengaku iman ketika mereka ditimpa masalah. Namun, apabila masalah itu sudah hilang dari diri mereka, mereka akan kembali kepada kekufuran dan kesyirikkan.

 

وَإِذَا مَسَّ النَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا رَبَّهُمْ مُنِيبِينَ إِلَيْهِ

 

[1] Dari sudut konteks ayat, maksud الناس dalam ayat ini adalah orang-orang musyrik mekah.

 

[2] keadaan mereka ini, telah diceritakan oleh Allah dalam surah al-Ankabut;

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ (65) – العنكبوت

 

[3] Perkataan ضر yang diterjemah sebagai MUDHARAT. Tahir Ibn Asyur definisikan sebagai buruk keadaan pada badan atau pada kehidupan atau pada harta.

 

Menurut Tahir Ibn Asyur lagi, bentuk mudharat yang pernah tertimpa kepada Quraish adalah mereka diserang dengan udara yang berasap sehingga mereka terpaksa makan tulang dan bangkai. Hal ini turut terkena kepada muslim, tetapi tertimpa kepada orang musyrik itu lebih parah.

 

Dikatakan bahawa ada sebilangan musyrik telah hantar orang berjumpa dengan Nabi agar baginda doa dengan Allah agar terangkat mudharat tersebut.

 

Apabila diminta begitu, baginda berdoa kepada Allah sehingga turun hujan. Apabila mereka kembali pulih, mereka lawan pula Nabi saw. Dengan itu, turun firman Allah:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّماءُ بِدُخانٍ مُبِينٍ [الدُّخان: 10]

 

 

[4] Dalam ayat dalam menyebut bahawa mereka ditimpa mudharat, digunakan perkataan مس yang bermakna MENYENTUH. Tahir ibn Asyur kata, maksud مس adalah meletak tangan atas sesuatu untuk mengetahui kewujudannya ataupun untuk nak uji keadaannya.

 

Kalau dilihat pada sambungan ayat; apabila tuhan menyebut bahawa mereka mendapat rahmat, digunakan perkataan اذاقهم yang bermakna RASA, sedangkan apabila disebut mudharat dan musibah, digunakan perkataan مس yang bermaksud SENTUH.

 

Walaupun sentuhan ada kaitan dengan rasa, tetapi tidak semestinya sentuh memberi makna rasa. Contohnya, orang yang demam, kesedapan makanan tidak dirasa, walaupun makanan itu bersentuhan dengan lidahnya.

 

Bersentuhan lelaki dan perempuan, ada yang mendatangkan rasa syahwat; dan ada yang tidak mendatangkan rasa syahwat.

 

Menarik ditadabburkan—apabila tuhan sebut mudharat, digunakan perkataan SENTUH, tetapi apabila disebut RAHMAT, digunakan perkataan RASA.

 

Menurut TAHIR, ia memberi maksud, musibah dan mudharat yang tertimpa pada orang kafir itu, ia amat sedikit kerana perkataan مس tidak lebih sekadar luaran bagi manusia sahaja, sedangkan perkataan اذاق dari kata ذوق, itu adalah rasa yang berbentuk dalaman diri manusia. kupasan yang sama turut diberikan oleh SYA’RAWI.

 

ثُمَّ إِذَا أَذَاقَهُمْ مِنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ (33)

 

[1] Kata al-Razi, apabila mereka mendapat rahmat, mereka mengatakan segala rahmat yang mereka dapat adalah hasil pemberian dari patung berhala yang mereka sembah, bintang-bintang dan sebagainya—dalam pada mereka lupa akan Allah swt.

 

Contoh yang dibuat oleh al-Razi adalah seperti seseorang lelaki yang kelemasan dalam laut. Semasa dia lemas, dia ingat akan Allah dan memohon bantuan dari Allah. Tiba-tiba ada kayu yang terapung melintas, dan dia pun berpaut dari kayu terbabit sehingga dia selamat. Ketika itu, dia anggap bahawa yang menyelamatkan dia adalah kayu itu—ketika itu, dia lupa berkenaan doa dia terhadap Allah swt.

 

Menurut USAIMIN, perkataan RAHMAT dalam ayat merujuk kepada hujan.  Hal ini kerana, melihat kepada konteks ayat bahawa kafir Quraish ditimpa mudharat adalah musibah kemarau panjang. Justeru, makna rahmat dalam ayat ini adalah hilang kemarau, iaitu dengan turunnya hujan.

 

[2] Digunakan perkataan ذوق pada ayat إِذَا أَذَاقَهُمْ مِنْهُ رَحْمَةً, iaitu dikaitkan dengan rahmat. Asal perkataan ذوق adalah “rasa”. Hal ini kerana, apabila melibatkan rasa, ia melebihi dari rasional. Sesuatu yang difahami secara rasa, belum tentu lagi difahami secara rasional dan logic. Sebab itu, tidak ada capaian logic dan rasional dalam menjelaskan tentang makna manis. Ia tidak difahami kecuali orang yang rasa sahaja.

 

Apatah lagi, “rasa” adalah sesuatu yang cukup halus. Rasa di lidah tidak sama dengan rasa di kulit. Gula akan dirasakan manis, jika dilihat pada lidah, tetapi tidak difahami manis gun ajika diletak pada kulit tangan.

 

[3] Perkataan اذا pada ayat إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ, USAIMIN kata, ia bermakna فجائية bukan bermakna شرطية yang bukan diterjemahkan sebagai “apabila”, tetapi diterjemahkan sebagai “tiba-tiba”.

 

[4] Dalam ayat menyebut فَرِيقٌ مِنْهُمْ, bermakna bukan semua mereka yang setelah mendapat nikmat bahawa mereka musyrik. Di sana, terdapat dari kalangan mereka yang kekal dengan iman.

 

PENGAJARAN

 

[1] Sudah menjadi kebiasaan manusia bahawa mereka tidak merasakan sesuatu nikmat itu berharga, semasa mereka ada perkara tersebut. Namun, dirasakan berharga, apabila nikmat itu sudah hilang dari dirinya.

 

Contohnya, orang yang ada gigi tidak merasakan gigi itu sebagai nikmat yang berharga. Namun, apabila sudah tidak ada gigi, ketika itu baru merasakan gigi itu berharga.

 

Demikian juga, manusia ketika berada dalam kesenangan, mereka tidak anggap Allah itu berharga. Justeru, mereka rasa tidak bersalah pun ketika mereka syirikkan Allah. namun, apabila mereka dalam kesusahan dan bahaya, mereka pun mula ingat Allah.

 

[2] Di sini dapat difahami bahawa manusia dalam beribadat kepada Allah itu ada dua jenis:

A. dia beribadat ikhlas dan tulus kerana Allah.

B. dia beribadat kerana habuan dunia.

 

[3] Soal iman dan kufur adalah soal hati. Hati merupakan punca untuk manusia menjadi baik atau buruk. Jika hati manusia itu kufur, dia mungkin menyembah Allah ketika mereka susah sahaja. Apabila susah itu sudah hilang, dia akan kembali kepada kekufuran. Justeru, perkara utama yang perlu dididik dalam diri manusia adalah hatinya.

 

 

 

 

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...