Saturday, July 30, 2022

SURAH AL-RUM 38

AYAT 38

 

فَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (38)

Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 37

AYAT 38

 

Perlu yakin bahawa yang memperluas dan menyempitkan rezeki adalah Allah.

 

 

Orang yang ada keluasan rezeki, perlu membantu orang yang kesempitan rezeki.

 

[1] Ayat sebelum Allah sebut bahawa penentuan luas dan sempit rezeki adalah Allah, makanya Allah menyebut tanggungjawab manusia apabila ada keluasan rezeki, iaitu membantu kepada mereka yang kesempitan rezeki.

 

[2] Allah mulakan pemberian kepada orang yang sempit rezeki adalah kaum kerabat terlebih dahulu, kemudian kepada orang miskin dan orang yang memerlukan di dalam perjalanan.

 

[3] Pemberian hendaklah berasaskan kepada keikhlasan kepada Allah. Tanpa keikhlasan, pemberian yang diberikan tidak membawa kepada kebahagiaan.

 

فَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ

 

 

[1] Hamka mengatakan bahawa tahap intelektual dalam satu keluarga tidak sama. Dengan sebab itu, adik beradik yang ada bintang yang cerah perlu membantu adik beradik yang susah yang lain.

 

[2] Imam Abu Hanifah berkata, apabila al-Quran guna perkataan فَـَٔاتِ yang menggunakan فعل الامر, ia adalah dalil bahawa memberikan bantuan kewangan kepada kaum kerabat terlebih dahulu adalah WAJIB (Hamka: 7/5525)

 

[3] Pada perkataan فَـَٔاتِ ia adalah فعل الأمر yang bersifat خطاب مفرد. Dalam hal ini ulama terbahagi kepada dua pendapat;

A. Dikhususkan kepada nabi sahaja.

B. Ditujukan kepada sesiapa sahaja iaitu merujuk kepada semua orang Islam. (Usaimin: 223)

 

[4] Dalam ayat menyebut perkataan قربى, ia memberi makna umum. Iaitu kaum kerabat yang perlu dibantu itu, tidak kira dia muslim atau pun bukan muslim. (Usaimin: 224)

 

[5] Imam Al-Qurtubi menukilkan pendapat (قيل) yang menyatakan bahawa memberi bantuan kepada kaum kerabat hukumnya adalah sunat. al-Hasan al-Basri pula berpendapat, memberi bantuan kepada kaum kerabat itu adalah wajib apabila mereka ditimpa keadaan yang memerlukan bantuan. (Qurtubi: 436)

 

[6] Tuhan mulakan memberi sedekah kepada ahli keluarga. Untuk mengetahui hikmahnya, mungkin boleh kita lihat di dalam satu hadis bahawa Nabi bersabda;

 

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ» - النسائي, 2582

“Sedekah kepada orang miskin adalah semata-mata sedekah. Tetapi kepada keluarga terdekat, dia ada dua; sedekah dan menghubungkan silaturrahim”

 

Demikian juga hadis berikut;

 

عَنْ زَيْنَبَ، امْرَأَةِ عَبْدِ اللهِ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَصَدَّقْنَ، يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ، وَلَوْ مِنْ حُلِيِّكُنَّ» قَالَتْ: فَرَجَعْتُ إِلَى عَبْدِ اللهِ فَقُلْتُ: إِنَّكَ رَجُلٌ خَفِيفُ ذَاتِ الْيَدِ، وَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَمَرَنَا بِالصَّدَقَةِ، فَأْتِهِ فَاسْأَلْهُ، فَإِنْ كَانَ ذَلِكَ يَجْزِي عَنِّي وَإِلَّا صَرَفْتُهَا إِلَى غَيْرِكُمْ، قَالَتْ: فَقَالَ لِي عَبْدُ اللهِ: بَلِ ائْتِيهِ أَنْتِ، قَالَتْ: فَانْطَلَقْتُ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ بِبَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتِي حَاجَتُهَا، قَالَتْ: وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أُلْقِيَتْ عَلَيْهِ الْمَهَابَةُ، قَالَتْ: فَخَرَجَ عَلَيْنَا بِلَالٌ فَقُلْنَا لَهُ: ائْتِ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخْبِرْهُ أَنَّ امْرَأَتَيْنِ بِالْبَابِ تَسْأَلَانِكَ: أَتُجْزِئُ الصَّدَقَةُ عَنْهُمَا، عَلَى أَزْوَاجِهِمَا، وَعَلَى أَيْتَامٍ فِي حُجُورِهِمَا؟ وَلَا تُخْبِرْهُ مَنْ نَحْنُ، قَالَتْ: فَدَخَلَ بِلَالٌ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ هُمَا؟» فَقَالَ: امْرَأَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ وَزَيْنَبُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّ الزَّيَانِبِ؟» قَالَ: امْرَأَةُ عَبْدِ اللهِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَهُمَا أَجْرَانِ: أَجْرُ الْقَرَابَةِ، وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ " – مسلم, 1000

Daripada Zainab, isteri kepada Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: bersabda, "Bersedekahlah wahai kaum wanita! Bersedekahlah sekalipun dengan perhiasanmu".

 

Zainab berkata: Mendengar sabda Rasulullah saw itu, aku punpulang menemui Abdullah -suamiku- seraya berkata kepadanya: "kamu adalah seorang lelaki miskin. Rasulullah saw memerintahkan kepada kami (kaum wanita) agar bersedekah. Pergilah berjumpa baginda dan tanyakan bolehkah jika aku bersedekah kepada keluarga? Jika tidak, akan aku pindahkan kepada yang lain". Abdullah menjawab: "Sebaiknya kamu yang berjumpa baginda". Aku pun pergi.

 

Di pintu rumah Rasulullah saw, aku dapati wanita Ansar turut ada yang mereka mempunyai maksud sama denganku. Sebagaimana biasa, orang ramai yang ingin bertemu Rasulullah saw selalu diliputi rasa gentar. Kebetulan Bilal keluar berjumpa kami. Kata kami kepada Bilal: "Tolonglah kamu sampaikan kepada Rasulullah saw, bahawa dua wanita sedang berdiri di pintu hendak bertanya: “Apakah dianggap cukup, jikalau kami berdua bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam pemeliharaan kami? Dan sekali-kali jangan kamu beritahu siapa kami'"

 

Bilal pun masuk bertanya kepada Rasulullah saw, tetapi baginda bertanya balik: "Siapa kedua wanita itu?"

 

Bilal menjawab: "Seorang wanita Ansar bersama-sama dengan Zainab"

 

Baginda bertanya: "Zainab yang mana?" Bilal menjawab: "Zainab  isteri Abdullah".

 

Rasulullah pun bersabda: "Masing-masing mereka mendapat dua pahala; pahala hubungkan kerabat dan pahala kerana sedekah.

 

Kata al-qurtubi, dalam hadis nabi ada melebihkan memberi sedekah kepada kaum kerabat berbanding memerdekakan hamba. (436)

 

 

[7] IBN ASYUR menyatakan, ayat ini membatalkan adat kebiasaan masyarakat jahiliah yang mementingkan orang lain berbanding keluarga. Hal ini kerana mereka terdorong oleh keinginan memperoleh pujian dan populariti. (Shihab: 11/70)

 

[8] Apabila Allah menyuruh kita memberi sedekah kepada ahli keluarga, itu membuktikan bahawa pemberian sedekah kepada mereka bukan dari wang tambahan sahaja, bahkan ia perlu dijadikan salah satu kewajiban perbelanjaan dalam kehidupan.

 

وَالْمِسْكِينَ

 

[1] Miskin adalah orang yang pendapatannya sama dengan kadar keperluannya. Contohnya, seorang yang sehari memerlukan sebanyak RM10, tetapi pendapatannya adalah RM10 juga.

 

Ada satu lagi istilah yang digunakan di dalam perbahasan Al-Quran iaitu fakir, ia bermaksud seorang  keperluannya sehari sebanyak RM10, tetapi pendapatannya kurang dari kadar RM10.

 

Apabila seseorang itu fakir, sudah pasti dia adalah seorang yang miskin. Apabila seseorang itu miskin, tidak semestinya dia seorang yang fakir.

 

Dalam ayat ini menggunakan perkataan miskin, bukan fakir. Ia memberi makna, kalau orang miskin pun perlu diberikan bantuan kewangan, maka terlebih perlu diberikan bantuan kewangan kepada orang fakir.

 

Pendapat ini berbeza dengan kupasan Usaimin yang menyatakan, fakir dan miskin adalah sama sahaja. (Usaimin: 224)

 

[2] Menurut ahli ilmu, memberi makan orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang tidak mempunyai pakaian, hukumnya adalah fardhu kifayah, yang jika ada sebilangan yang melakukannya, maka yang lain tergurur dari kewajipan. (Usaimin: 224)

 

[3] Apabila Allah menyebut golongan miskin selepas menyebut golongan ahli keluarga, ini membuktikan bahawa maksud ahli keluarga yang perlu diberikan bantuan kewangan itu bukan mereka yang miskin. Dalam perkataan yang baik, walaupun mereka bukan dari kalangan miskin, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka. (Al-Razi:25/127)

 

وَابْنَ السَّبِيلِ

 

[1] Perkataan السبيل bermakna jalan. Usaimin kata, sesuatu perkara yang dilarang ini, maka akan disandarkan dengan perkataan ابن. Dengan sebab itu orang yang sentiasa bermusafir dan selalu berada di dalam perjalanan dipanggil sebagai ابن السبيل. (Usaimin: 224)

 

[2] Ibn Sabil yang diterjemah oleh Hamka sebagai ANAK JALAN, yang rata-rata ahli tafsir memaknakan sebagai orang musafir Yang terputus belanja.

 

Buya Hamka perluaskan juga pemaknaannya kepada;

 

(A)                              Orang yang merantau untuk menuntut ilmu

 

(B)                              Orang yang jatuh miskin lalu lari ke kota-kota mencari kehidupan sehingga mereka disebut sebagai gelandangan. (7/5526)

 

(C)                              Ibn Kathir kata, orang yang musafir memerlukan kepada perbelanjaan di dalam permusafirannya. (Kathir: 6/318)

 

ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ

 

[1] Dalam menderma, antara perkara penting dan utama adalah soal keikhlasan dan kejujuran kepada Allah. Ibn Kathir kata, itu adalah kemuncak tujuan dalam melakukan kebaikan. (Kathir: 6/318)

 

Kalau tidak ikhlas, ada kemungkinan buruk bakal berlaku kepada mereka yang menderma seperti mengungkit. Dalam hadis, Nabi saw pernah mencela kalangan yang mengungkit atas pemberian.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ» قَالَ: فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا، قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ» - مسلم, 106

 

[2] Maksud خير dalam ayat ini bukan sebagai bandingan, tetapi menggambarkan kebaikan pada amalan itu sendiri. Hal ini kerana melihat kepada sambungan ayat لِّلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجۡهَ ٱللَّهِۖ(Al-Razi: 1126)

 

Dalam perkataan yang lain, yang dikatakan kebaikan itu adalah, melakukan infaq dalam keadaan hati mahu mencari redha Allah.

 

[2] Perkataan وجه الله, Usaimin mengatakan bahawa ini adalah sifat bagi Allah yang mempunyai wajah. Dengan itu beliau tafsirkan, orang yang ikhlas dalam melakukan infaq, dia bakal melihat Allah di akhirat nanti sepertimana manusia di dunia dapat melihat bulan. Beliau berhujah dengan merujuk kepada firman Allah yang lain;

 

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ (22) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23) - القيامة

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri * Melihat kepada Tuhannya”

 

Pendapat Usaimin ini berbeza dengan kupasan Ibn Jauzi yang menyatakan bahawa maksud dengan ayat ini adalah, mereka melakukan amalan infak itu dengan tujuan untuk mendapat balasan pahala dari Allah. (Masir: 1095)

يطلبون باعمالهم ثواب الله

 

وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (38)

 

[1] Kalau mereka dapat laksanakan derma dengan keikhlasan, Allah mengatakan bahawa inilah kalangan yang benar-benar berjaya.

 

[2] Asal perkataan مفلحون yang diterjemah sebagai ORANG BERJAYA berasal dari kata الفلح yang bermakna MEMBELAH.

 

Petani disebut sebagai الفلاح yang dia membelahkan tanah menggunakan cangkul untuk menanam tanaman. Apabila tanaman itu berhasil dan berjaya, maka mereka bergembira.

 

Justeru, مفلحون adalah orang yang berjaya berdasarkan kepada proses. Kalau seseorang itu berjaya bukan kerana usaha, maka itu bukan makna مفلحون.

 

Menurut Ibnu Kathir, berjaya dalam ayat ini adalah di dunia dan akhirat (Kathir: 6/318)

 

[3] Perkataan وَأُوْلَٰٓئِكَ bermakna "mereka", lalu ditambah pula perkataan هم yang juga bermakna mereka, walhal kalau menyebut وَأُوْلَٰٓئِكَ ٱلۡمُفۡلِحُونَ pun sudah memadai. Namun, ditambah هم memberi maksud “sudah pasti” mendapat jaminan kebahagiaan.

 

PENGAJARAN

 

[1] SHIHAB kata, suruhan infaq dalam ayat ini bukan zakat wajib, tetapi infaq sunat. Hal ini kerana, ia hanya dibataskan kepada tiga kalangan, walhal kalangan yang layak terima zakat disebut dalam surah Al-Taubah (ayat 60)—disenaraikan sehingga (8) lapan asnaf. (11/70)

 إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ

 

[2] Orang yang benar-benar beriman, dia tidak akan rasa tenang andai dia nampak orang susah tanpa dia berusaha untuk membantunya.

 

[3] AL- RAZI kata, ayat ini mengajar kepada kita agar ada perasaan ehsan dan kasih sayang. Itu merupakan cara untuk kita mengatasi masalah berputus asa dalam agama.

 

[4] Dalam pada orang melakukan derma, tidak dapat dinafikan bahawa di sana terdapat ramai yang menderma bukan ikhlas kerana Allah. Mereka menderma mempunyai tujuan yang lain, seperti mahu menunjuk-nunjuk, mahu menampilkan diri seperti orang yang kuat menderma dan sebagainya. Justeru, Allah menyatakan bahawa semua itu tidak diterima. Hanya yang ikhlas sahaja berjaya di dunia di akhirat; mendapat ketengan jiwa di dunia dan mendapat balasan pahala di akhirat.


Tuesday, July 19, 2022

SURAH AL-RUM 37

 AYAT 37

 

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (37)

(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 36

AYAT 37

 

Dijelaskan berkenaan dengan manusia yang berputus asa apabila ditimpa sesuatu musibah.

 

 

Sewajarnya manusia tidak berputus asa apabila ditimpa musibah, kerana semua yang berlaku itu di bawah ketetapan Allah.

 

  

[1] Manusia mudah berputus asa dengan Allah, kerana mereka tidak tahu; ataupun tidak sedar; ataupun tidak melihat penentu dalam kehidupan mereka adalah Allah.

 

[2] Tuhan datangkan dengan persoalan rezeki, kerana ia adalah cara yang paling mudah untuk manusia memahami ketentuan Allah.

 

[3] Semua ini akan difahami jika manusia itu memulai dengan kepercayaan. Hal ini kerana, terdapat beberapa hal yang tidak dapat difahami dengan akal, tetapi dapat difahami dengan kepercayaan dan iman.

 

أَوَلَمْ يَرَوْا

 

[1] Terdapat ayat yang hampir sama dengan ayat ini, iaitu dalam surah Al-Zumar, ayat 52:

 أَوَلَمۡ یَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَیَقۡدِرُۚ إِنَّ فِی ذَ ٰلِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ  - الزمر 52

 

Cuma perbezaan ayat dalam surah Al-Zumar dengan ayat ini adalah, pada perkataan اولم يروا, sedangkan dalam surah al-Zumar, di gunakan perkataan اولم يعلموا.

 

Di sini terdapat dua pentafsiran dalam kalangan ulama;

 

Pentafsiran satu: ada ketika melihat Allah memperluaskan dan menyempitkan rezeki itu dengan mata kepala. Ada ketika yang lain, ia perlu dilihat dengan mata hati.

 

Pentafsiran dua: maksud dengan melihat dengan mata kepala (ayat ini) adalah melihat dengan mata hati (ayat al-Zumar). Dalam perkataan lain, ayat ini ditafsirkan dengan ayat dalam surah al-Zumar.

 

USAIMIN menyatakan, maksud dengan melihat dalam ayat ini adalah melihat secara ilmu, melihat dengan pengetahuan, bukan melihat dengan semberono. Iaitu melihat dengan mata hati--بصيرة (Usaimin: 219)

 

Hal yang sama dipertegaskan oleh Ibnu Asyur yang menyatakan, maksud dengan رؤية dalam ayat ini adalah بصرية, iaitu melihat dengan mata kepala sehingga membawa ke dalam mata hati. (Asyur: 1/101)

 

[2] Apabila Allah bertanya: "apakah mereka tidak nampak?"- ini adalah الاستفهام الانكاري, iaitu mereka sudah nampak, tetapi mereka tidak berfikir dengan apa yang mereka nampak. (Asyur: 21/101)

 

أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ

 

[1] Kata Buya Hamka, rezeki tidak dibataskan kepada kekayaan harta benda sahaja. Bahkan fikiran, cita-cita, kecerdasan dan seumpamanya juga dianggap sebagai rezeki pemberian Allah.

 

Kata SHIHAB pula, perolehan rezeki tidak hanya ditentukan oleh faktor kepada yang mencarinya, tetapi juga oleh banyak faktor yang saling berkait; semua itu tunduk di bawah peraturan Allah.

 

Dengan sebab itu, sekian banyak yang penghasilan banyak dari segi material tetapi hasil akhirnya sedikit. Dan sekian banyak yang penghasilannya rendah tetapi hasil akhirnya lebih banyak dari yang penghasilan banyak itu. (Shihab: 69)

 

[2] secara tidak langsung, seakan-akan Allah mahu bertanya: kenapa kamu boleh berputus asa dengan musibah yang tertimpa kepada kamu, bukankah kamu sudah nampak bahawa yang menentukan rezeki itu adalah Allah. Justeru, adalah satu sikap yang tidak betul jika kamu berputus asa. (Asyur: 1/101)

 

[3] Perkataan يقدر boleh diterjemah sebagai MENENTUKAN KADAR, tetapi SYA'RAWI tafsirkan sebagai MENYEMPITKAN. (Khawatir: 18/11446)

 

Dalam perkataan lain, seakan-akan Allah mahu memberitahu bahawa bukan sahaja keluasan rezeki, bahkan KESEMPITAN REZEKI juga adalah ketentuan dari Allah.

 

Dengan sebab itu, SYA'RAWI menyatakan, semua yang ditentukan oleh Allah mempunyai hikmah tersendiri.

 

 Ada dalam kalangan manusia diberikan kekayaan, tetapi hidupnya sentiasa tidak cukup. Ada pula dalam kalangan manusia yang ditentukan sebagai miskin, tetapi hidupnya sentiasa berada dalam kecukupan.

 

Justeru, yang perlu kita lihat, bukan ditentukan kaya dan miskin; ditimpa musibah atau pun tidak, tetapi yang perlu dilihat adalah, apa keuntungan untuk kehidupan kita di akhirat dengan apa yang telah Allah tentukan semasa di dunia.

 

USAIMIN menyatakan pula, musibah itu bukan seseorang itu diberikan kekayaan atau diberi kemiskinan, kerana ada sahaja orang itu diberikan musibah dengan berbentuk kekayaan, dan terdapat juga orang yang diberikan musibah dalam bentuk kemiskinan. Cara manusia mendapat musibah itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Firman Allah;

 كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَیۡرِ فِتۡنَةࣰۖ وَإِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ – الأنبياء, 35

 

Tetapi di sebalik segala ujian yang ditimpakan kepada manusia, dia bermusibah apabila tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah, walaupun sedikit. Firman Allah bahawa Nabi Sulaiman berkata:

 قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ  - النمل, 40

 "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

 

Walaupun Nabi Sulaiman kaya, ia tidak menjadikan Nabi Sulaiman kufur. Dengan kekayaan menjadikan dia semakin bersyukur kepada Allah.

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (37)

 

[1] Salah satu perkara yang telah diajar dalam Al-Quran adalah, melihat apa kejadian yang berlaku pun, ia perlu dilihat bukan dengan mata kepala sahaja, tetapi perlu dilihat dengan mata hati sama.

 

Dalam konteks ayat ini, yang difokuskan kepada orang mukmin kerana mereka tidak akan melihat sesuatu kecuali pasti mereka akan merasakan kebesaran Allah. (Asyur: 1/102)

 

[2] Bagi orang yang beriman, kaya dan miskin bukan sesuatu musibah. Tetapi musibah itu apabila tidak dapat bersyukur dengan pemberian Allah walaupun sedikit. Ekoran itu ayat ini di tutup dengan لايات لقوم يؤمنون

 

[3] Di khusus menyebut orang mukmin, kerana mereka mempunyai kedalaman dalam melihat sesuatu hal. Semua ini bermula dari cara hati menilai sesuatu perkara.

 

Hal ini kerana, manusia itu menilai sesuatu bermula daripada hati. Jika hatinya ada kecenderungan kepada kepolitikan, dia melihat apa pun akan dibawa kepada pentafsiran politik; jika hatinya ada kecenderungan kepada business, dia melihat apa pun akan dibawa kepada pentafsiran bisnes. Begitulah dalam hal-hal yang lain.

 

Maka demikian bagi orang yang di dalam hatinya ada iman. Dia melihat apa pun, hatinya akan membawa pentafsiran Iman.

 

[4] Memandangkan ayat ini berbicara berkaitan dengan rezeki, maka tidak hairan tuhan kaitkan ayat ini dengan kaum yang beriman. Hal ini kerana, penentuan rezeki datang dari Allah diyakini oleh orang-orang beriman sahaja. (Khawatir: 18/11449)

 

PENGAJARAN

 

[1] Ayat ini menjadi dalil, semua kejadian yang berlaku di dalam ketentuan Allah. Setiap yang ditetapkan itu mempunyai hikmah dan keadilannya.

 

[2] Manusia dituntut agar berusaha. Namun, dalam usaha apa pun, segala keputusannya diserah kepada Allah. Dalam bahasa agama disebut TAWAKKAL.

 

Tuesday, July 12, 2022

SURAH AL-RUM 36

 AYAT 36

 

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ (36)

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 35

AYAT 36

 

Kafir Quraisy dakwa bahawa ajaran kekufuran yang mereka anuti itu hakikatnyanya datang dari Allah.

 

 

Ada manusia sudah beriman, tetapi syok sendiri. Dengan sebab itu mereka berputus asa apabila tertimpa dengan musibah.

 

 

[1] Ayat sebelum, Tuhan jelaskan berkenaan dengan orang-orang yang kufur yang berhujah, kononnya kekufuran mereka itu bersumberkan dari ajaran Allah. Walhal semua itu adalah pembohongan sahaja.

 

[2] Setelah Allah menyebut berkenaan dengan orang kafir yang tertipu dengan diri mereka sendiri, dalam ayat ini pula Tuhan menjelaskan berkenaan dengan mereka yang bergembira dengan keimanan, tetapi hakikatnya mereka syok sendiri, kerana Iman mereka luntur apabila mereka ditimpa sesuatu musibah.

 

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا

 

 

 

[1] Dalam ayat 33, Tuhan memberitahu bahawa ada manusia yang semakin mengingati Allah apabila mereka berada dalam kesusahan.

 

Dalam ayat ini pula, Tuhan memberitahu bahawa Ada pula manusia yang mengingati Allah apabila mereka berada dalam kenikmatan. Bahkan ketika mereka ditimpa kesusahan, mereka akan berputus asa. (Razi: 25/124)

 

[2] Dalam ayat 32, Tuhan sudah menjelaskan berkenaan orang yang bergembira dengan Kekufuran;

 مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32)

 

Dalam ayat ini pula menjelaskan berkenaan dengan mereka yang bergembira dengan keimanan. Mereka merasakan, dengan keimanan mereka sudah memadai untuk menjamin mereka masuk syurga. Dengan itu, mereka mudah untuk menuduh orang yang berbeza dengan mereka sebagai ahli neraka.

 

[3] USAIMIN mengatakan bahawa bergembira itu terbahagi kepada dua;

A. Bergembira dengan kekufuran. Ia di bawah maksud istidraj.

B.  Bergembira dengan keimanan. Dia adalah sesuatu yang terpuji. (Usaimin: /213)

 

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ (36)

 

[1] Walaupun ayat ini bersifat khabariyah, iaitu menjelaskan keadaan orang kafir yang berputus asa apabila ditimpa musibah. Namun, secara tersirat Tuhan melarang manusia menjadi seperti orang kafir. Seakan-akan tuhan mahu kata: jangan berputus asas ketika ditimpa musibah, sepertimana berlaku pada orang kafir.

 

[2] Dalam ayat ini, digunakan perkataan ما قدمت ايديهم;

 

A. Ia selaras dengan firman Allah;

 

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا (79) - النساء

 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41) – الروم

 

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَإِنَّ الْإِنْسَانَ كَفُورٌ (48) – الشوري

 

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ (30) - الشوري

 

B. Manusia mendapat kebaikan bukan kerana usaha mereka, tetapi kurniaan dari Allah. Firman Allah;

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58) – يونس

 

[3] Maksud قنوط, kata al-Hasan adalah meninggalkan kefarduan yang Allah wajibkan agar dia lakukan. Dia tinggalkan itu secara diam-diam. (Qurtubi: 16/434)

 

Dalam perkataan lain, apabila mereka ditimpa sesuatu musibah, mereka mula menyalahkan Allah. Dengan itu, secara diam-diam mereka berhenti dari melakukan ketaatan.

 

[3] Orang yang memilih untuk berputus asa, hakikatnya kesesatan sudah melekat di dalam hati mereka. Firman Allah:

قَالَ وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ (56) - الحجر

 

PENGAJARAN

 

[1] Buya Hamka umpamakan seperti orang yang mendapat keuntungan tetapi tidak menyimpan; iaitu ketika mereka ditimpa sesuatu musibah, mereka berada dalam kesusahan. Andai mereka menyimpan, sudah pasti musibah itu dapat dihadapi.

 

Memandangkan begitu pendekatan mereka, makanya mereka berputus asa ketika mereka tertimpa musibah.

 

Demikianlah manusia yang tidak beramal semasa hidup di dunia. Apabila mereka berada di alam akhirat, mereka akan berputus asa.

 

[2] Tuhan menggunakan perkataan اذا, ketika berbicara berkenaan dengan rahmat yang mereka kecapi, sedangkan menggunakan perkataan ان, ketika berbicara berkenaan dengan musibah yang menimpa mereka.

 

SHIHAB menjelaskan bahawa perkataan اذا yang diterjemah sebagai “apabila”, ia mengandungi maksud sesuatu kejadian yang pasti. Namun, perkataan ان yang diterjemah sebagai “Jika”, ia mengandungi makna keraguan atau jarang terjadi.

 

Seakan-akan Allah mahu memberitahu, kebaikan dan rahmat Allah adalah sesuatu yang pasti dikecapi manusia. Sedangkan musibah tidak bersifat pasti.

 

Realitinya memang sudah berlaku. Pada saat manusia mendapat nyawa, berhembus dan menyedut nafas, boleh makan dan minum dengan baik dan sebagainya, semua itu adalah nikmat dan rahmat yang sudah pasti telah dikecapi oleh manusia.

 

Adapun musibah bukan sesuatu yang sering berlaku dalam sepanjang hidup manusia. Ia hanya hadir beberapa kali sahaja.

 

Justeru ia mengandungi maksud, tidak sewajarnya manusia berputus asa apabila ditimpa sesuatu musibah, kerana jika dibandingkan, rahmat dan nikmat yang dikecapi manusia itu jauh lebih banyak berbanding musibah.

 

[3] Tidak sedikit dari kalangan manusia melihat sesuatu musibah yang tertimpa kepada diri mereka, maka itu dianggap sebagai buruk. Walhal, Quran ada menyatakan bahawa sesuatu yang tidak disukai oleh manusia, kadang-kala ia baik bagi mereka:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (216) - البقرة

 

[4] Apabila manusia itu bergembira, perkara yang perlu ditanya kepada diri mereka adalah, apakah gembira ini berasaskan kepada keimanan atau berasaskan kepada kekufuran.

 

Jika berasaskan kepada keimanan, maka ia adalah sesuatu yang baik bagi diri manusia itu. Jika berasaskan kepada kekufuran, manusia itu perlu berhati-hati dengan kegembiraan tersebut.

 

[5] Hakikat baik dan buruk itu datang dari Allah. Firman Allah;

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَذِهِ مِنْ عِنْدِكَ قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ فَمَالِ هَؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا (78) - النساء

 

Hal ini kelihatan seakan-akan bercanggah dengan ayat-ayat sebelum ini yang menggambarkan keburukan itu datang dari diri manusia sendiri.

 

Tuhan hanya mahu kebaikan berlaku kepada diri manusia. Tetapi, apabila manusia memilih untuk mengikut hawa nafsu mereka, iaitu dengan melakukan kejahatan, maka tuhan mengizinkan apa yang dipilih oleh manusia.

وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ (26) – البقرة

 

Dalam perkataan yang lain, apabila manusia memilih untuk menjadi fasiq, maka tuhan memberi keizinan terhadap apa yang dipilih oleh manusia itu.

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...