Friday, August 26, 2022

SURAH AL-RUM 40

 AYAT 40

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 39

AYAT 40

 

Ada manusia memberi bantuan kewangan, disebalik bantuan yang diberikan itu dia berharapkan supaya mendapat keuntungan. Semua ini tidak baik. Yang baik di sisi Allah adalah memberi bantuan kewangan semata-mata mahu mendapat keredhaan dari Allah.

 

 

Manusia perlu ingat bahawa Allah mencipta manusia dan memberikan rezeki kepada mereka. Selepas manusia hidup di atas muka bumi, manusia akan dimatikan oleh Allah. Kemudian mereka akan dihidupkan semula.

 

Semasa dihidupkan semula, jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas kepada Allah tanpa syirik, mereka akan mendapat banyak faedah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

 

 

[1] Manusia memberi bantuan kewangan, apabila dia berharap balasan di dunia, mereka tidak nampak kelebihan alam akhirat.

 

[2] Justeru, Allah menjelaskan bahawa perlunya kejujuran dalam memberi bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan. Walaupun dalam beberapa keadaan, tidak mendapat habuan di dunia, tetapi di akhirat pasti akan mendapat habuan.

 

[3] Hal ini kerana, Allah itu maha berkuasa; manusia dari tidak ada pun, Allah yang bagi ada. Bukan sekadar bagi ada, bahkan diberikan rezeki. Selepas itu, dimatikan semula dan dihidupkan kembali.

 

Jika ini Allah mampu, sudah pasti sekadar memberikan balasan pahala di alam akhirat nanti adalah mudah bagi Allah.

 

[4] Semua ini tidak dapat dilakukan berhala. Ekoran itu, dalam pada mereka menyembah Allah, mereka menyembah juga berhala adalah sesuatu yang sia-sia.

 

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ

 

[1] Mencipta manusia dalam ayat ini dilihat dari 2 sudut;

(a)                            Mencipta daripada tanah. Ini melibatkan penciptaan Adam.

(b)                           Mencipta manusia dari air mani. Ini berlaku pada semua manusia.

 

[2] Ibnu Katsir menyatakan, maksud menciptakan dalam ayat ini adalah, menciptakan manusia bermula daripada mereka berada dalam rahim ibu. Yang semasa di dalam rahim ibu itu pun, Allah telah menetapkan rezeki kepada manusia. Justeru makna ثُمَّ رَزَقَكُمۡ adalah Tuhan menetapkan rezeki manusia semasa berada dalam rahim ibu lagi. (Kathir:6/319)

 

[3] Dari sudut bahasa, perkataan رزق yang diterjemah sebagai rezeki, asal maknanya adalah pemberian. Dalam Al-Quran, Allah ada berfirman;

 

وَإِذَا حَضَرَ ٱلۡقِسۡمَةَ أُوْلُواْ ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينُ فَٱرۡزُقُوهُم مِّنۡهُ وَقُولُواْ لَهُمۡ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا (8) - النساء

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

Jika dilihat dari sudut konteks makna bahasa, manusia diciptakan itupun adalah satu rezeki dari Allah; manusia dihidupkan selepas dimatikan juga adalah satu rezeki dari Allah dan sebagainya.

 

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

 

[1] Kehidupan selepas daripada mati adalah kehidupan yang tidak ada sebarang kebinasaan selepas dari itu. Iaitu kehidupan yang kekal abadi.

 

[2] maksud يحييكم adalah bermula dari alam kubur, alam mahsyar sehingga ke alam syurga atau neraka.

 

هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ

 

[1] Seakan-akan Allah bertanya: apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat menghidupkan dan mematikan?  Apakah berhala-berhala yang kamu sembah itu dapat mencipta dan memberi rezeki kepada kamu? (Sya'rawi:18/11468)

 

Berkenaan dengan ke tidak mampu berhala itu mencipta sudah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Nahl;

 

 وَٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَخۡلُقُونَ شَيۡـٔٗا وَهُمۡ يُخۡلَقُونَ  (20) - النحل

Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan.

 

Dan juga firman Allah dalam surah al-hajj;

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٞ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥٓۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخۡلُقُواْ ذُبَابٗا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُواْ لَهُۥۖ وَإِن يَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيۡـٔٗا لَّا يَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ (73) - الحج

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

 

[2] Kata Ibnu kathir, ayat ini sebagai bandingan yang Allah mahu lakukan dengan berhala-berhala yang disembah oleh manusia. Jika Allah boleh menghidupkan dan mematikan, serta menetapkan rezeki kepada manusia bermula dari alam Rahim lagi, apakah semua ini dapat dilaksanakan oleh segala berhala-berhala yang disembah oleh manusia itu? (Kathir:6/319

 

[3] Jika mereka menderma dan memberi bantuan kewangan kepada orang memerlukan dengan tujuan keduniaan, segala bantuan kewangan yang mereka lakukan itu tidak berfaedah untuk mereka di akhirat kelak.

 

Ada satu lagi penyebab kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia tidak berfaedah di akhirat kelak, iaitu mereka mati dalam keadaan melakukan syirik.

 

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ (40)

 

[1] Allah menyatakan bahawa Allah maha suci dari berhala yang mereka sembah. Ini menjadi dalil bahawa, mereka bukan tidak menyembah Allah, tetapi di samping mereka menyembah Allah mereka juga menyembah Tuhan yang lain.

 

[2] ungkapan سبحان yang dikaitkan dengan Allah memberi maksud Tanzih. Tanzih terhadap Allah adalah sesuatu yang dituntut dalam agama. Kandungan لا اله الا الله, secara tersirat mengandungi maksud tanzih. Semua muslim perlu tanzih Allah dari segala kekurangan.

 

PENGAJARAN

 

[1] Tidak syirik merupakan antara perkara utama untuk memastikan amal ibadat yang dilakukan semasa hidup mendapat manfaat di akhirat kelak.

 

[2] Apabila Allah yang telah memberikan rezeki kepada manusia, bermakna Allah adalah Tuhan yang telah berjasa. Justeru tidak layak bagi manusia tidak menyembah Allah.

Friday, August 5, 2022

SURAH AL-RUM 39

AYAT 39

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 38

AYAT 39

 

Diperintahkan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Disebut hanya  tiga, iaitu kaum kerabat, orang miskin dan ibnu Sabil. Pemberian itu dilakukan dengan ikhlas.

 

 

Ada satu jenis perangai manusia, apabila dia membantu, dia berharap supaya mendapat balasan di sebalik bantuan tersebut, iaitu dilakukan dengan tidak ikhlas.

 

[1] Masalah besar berlaku pada kafir Quraish sehingga mereka tidak boleh percaya dengan janji Allah yang bakal memberi kemenangan kepada Rum adalah mereka beragama secara tidak ikhlas dan tidak jujur. Kalau mereka jujur, sudah pasti mereka akan ikut ajaran Nabi Muhammad saw yang sama sepertimana yang diajar oleh Nabi Ibrahim. Apatah lagi, mereka selalu dakwa bahawa mereka adalah pengikut setia Nabi Ibrahim.

 

[2] Tidak jujur dalam beragama ini bukan sekadar berlaku kepada orang kafir, tetapi ada berlaku juga dalam kalangan orang islam. Antara bentuk tidak jujur itu adalah, apabila mereka memberi bantuan kepada orang susah dan memerlukan, mereka berharapkan sesuatu balasan balas. Jika diberikan bantuan kepada si miskin sebanyak RM10, mereka berharap akan di masa akan datang, si Miskin itu dapat membantu mereka dengan RM20.

 

[3] Allah memberitahu bahawa, perasaan dan sikap sebegini tidak baik. Bahkan ia tidak ada nilai di sisi Allah walaupun sedikit.

 

[4] Yang ada nilai di sisi Allah adalah memberikan bantuan harta kepada orang yang memerlukan dari hati yang murni, dari harta yang bersih dari sebarang unsur haram (kalimah al-Zakat).

 

[5] Jika mereka dapat memberi bantuan harta dari hati yang murni dan harta yang bersih dari unsur haram seperti menipu, rasuah, penyelewengan dan sebagianya; semua ini akan menjadikan mereka mendapat balasan pahala berganda-ganda.

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ

 

[1] Dalam terjemahan HAMKA:

 

“Dan apa yang kamu berikan dari riba, supaya dibungai pada harta benda manusia. Maka tidaklah dia berbunga di sisi Allah. (Hamka: 5527)

 

[2] Asal makna riba adalah, penambahan. (Usaimin:232). Firman Allah:

فَإِذَاۤ أَنزَلۡنَا عَلَیۡهَا ٱلۡمَاۤءَ ٱهۡتَزَّتۡ وَرَبَتۡ  (5) - الحج

 

BUYA HAMKA kata, riba adalah memberi pinjam harta benda dengan janji ketika membayar pinjaman itu diberikan bunganya. Riba yang sebegini adalah dilarang.

 

Dari konteks ayat, riba yang dimaksudkan adalah, orang memberi pertolongan, baik tenaga atau benda kepada orang lain, tetapi ada harapan tersembunyi, iaitu berharap dibalas terhadap pertolongan itu sebagai balas jasa dengan balasan yang lebih besar.

 

Justeru ayat ini memberitahu bahawa tidak perlu berharap balasan terhadap pertolongan yang diberikan, kerana orang yang menerima pertolongan, tidak semestinya ada kemampuan untuk membalas balik. Makanya, berilah bantuan secara ikhlas, kerana pertolongan itu ada nilai disisi Allah. (Hamka:5527)

 

[3] Ayat ini menyebut berkenaan orang yang tidak ikhlas, digunakan lafaz وَمَآ ءَاتَيۡتُم iaitu kata jamak yang merujuk kepada orang ramai, sedangkan ayat lepas menyebut berkenaan orang yang ikhlas, digunakan lafaz فَـَٔاتِ iaitu kata Mufrad yang merujuk kepada Nabi.

 

Menurut SHIHAB, apabila merujuk kepada tidak ikhlas, ia mengeluarkan Rasulullah dari kalangan mereka. Hal ini kerana keikhlasan itu wujud pada akhlak nabi. (Shihab:11/72)

 

[4] Perkataan riba dalam ayat ini berlaku kesilapan pentafsirannya oleh para ulama;

 

(A). Riba yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah riba yang haram, iaitu berkaitan dengan sesuatu pemberian hutang, tetapi berharap bahawa pulangan hasil bayaran hutang nanti mempunyai lebihan. Ini adalah pendapat IBN ASYUR.

 

Beliau menyatakan, amalan riba adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam masyarakat jahiliyah terutama di antara Saqif dan Quraish. (Asyur:21/105)

 

(B). Riba yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bukan riba dalam makna syariat, tetapi riba dalam maksud bahasa; iaitu memberi sesuatu pemberian, dan berharap mendapat pulangan. Ini adalah pandangan sebilangan besar ahli tafsir, seperti Al-Qurtubi, Ibnul Arabi, Al-Biqaie, Ibnu Katsir, Usaimin bahkan Syed Qutb. Semua mereka merujuk kepada TAKWIL yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas.

 

Menurut Syed Qutb, riba dalam pemaknaan ayat ini bukan sesuatu hal yang haram.

 

Dalam dua pendapat ini, mana pendapat yang paling tepat. Justeru dilihat kepada penghujahan berikut;

 

(1). TABTABAIE kata, ayat ini diturunkan di Mekah, sedangkan pengharaman riba adalah selepas nabi hijrah ke Madinah. (Shihab:11/73)

 

(2) Ayat ini menggunakan ejaan رِّبٗا, sedangkan dalam banyak ayat yang berkaitan dengan hukum haram riba, digunakan ejaan ٱلرِّبَوٰۤا۟

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰۤا۟ أَضۡعَـٰفࣰا مُّضَـٰعَفَةࣰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (130) - ال عمران

 

Menurut al-Zarkashi, perbezaan cara ejaan itu sebagai salah satu indikator tentang perbezaan makna. (Shihab:11/73)

 

(3) Sambungan ayat, disebut berkenaan dengan memberi zakat, iaitu sesuatu pemberian yang dilakukan ikhlas kerana Allah.

 

Dari ketiga-tiga hujan ini, didapati pentafsiran (B) lebih tepat dengan konteks ayat.

 

[5] Sesuatu perkara yang tidak elok apabila kita memberi bantuan kepada orang, di sebalik pemberian itu kita berharap mendapat pulangan yang lebih besar. Firman Allah;

 

وَلَا تَمۡنُن تَسۡتَكۡثِرُ (6) - المدثر

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

 

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ

 

[1] Asal perkataan زَكَوٰةٖ adalah bersih, kerana ia timbul dari hati yang bersih, membersihkan jiwa dari mengharapkan manusia, membersihkan harta dari hak yang wajib diterima oleh fakir miskin. (Hamka:5527)

 

Digunakan perkataan zakat yang asal maknanya adalah bersih adalah merujuk kepada harta yang tidak bercampur dengan yang haram. Dalam perkataan lain, mereka memberikan bantuan kewangan kepada yang memerlukan bukan dari hasil riba, hasil rompakan, hasil curian, hasil rasuah dan sebagainya.

 

[2] Maksud zakat dalam ayat ini bukan kewajipan zakat yang difardukan, tetapi ayat ini memberitahu prinsip umum, iaitu sesuatu pemberian, sama ada berbentuk wajib ataupun sunat. Hal ini kerana, ayat ini diturunkan di Mekah, sedangkan kewajipan zakat diturunkan semasa nabi sudah berhijrah ke Madinah. (Usaimin:235)

 

فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

 

[1] Dalam ayat yang lain, gandaan juga diberikan kepada mereka yang memberi infaq kepada orang yang memerlukan bantuan kewangan. Firman Allah;

 

مَّن ذَا ٱلَّذِي يُقۡرِضُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنٗا فَيُضَٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضۡعَافٗا كَثِيرَةٗۚ وَٱللَّهُ يَقۡبِضُ وَيَبۡصُۜطُ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ (245) - البقرة

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

 

[2] Gandaan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah:

(A). Gandaan pahala di akhirat.

(B). Gandaan harta di dunia.

 

ASYUR menyatakan bahawa, ayat ini merujuk kepada pemaknaan yang (A) (Asyur:21/106)

 

PENGAJARAN

 

[1] Imam Al-Qurtubi menukilkan perkataan Ali bin Abi Thalib, bahawa sesuatu pemberian itu dilihat kepada tiga jenis;

(a) bertujuan untuk mendapat pahala di sisi Allah.

(b) bertujuan untuk mendapat pujian dari manusia.

(c) bertujuan untuk mendapat balasan dari orang yang memberi.

 

Ayat ini menggambarkan bahawa pahala besar dan rahmat akan diberikan kepada jenis yang (1). (Qurtubi:439)

 

[2] Ayat ini seakan-akan mahu menyatakan, sesiapa yang menafkahkan hartanya demi kerana Allah, maka ia akan memperoleh kebahagiaan. Sedangkan mereka yang menafkahkan dengan riya', serta mahu popular, maka ia akan kecewa bahkan rugi. Adapun yang memberi hartanya sebagai hadiah untuk memperoleh dibalik pemberiannya keuntungan materi, maka itu bukanlah sesuatu yang baik walaupun tidak terlarang. (Shihab:11/72)

 

[3] Antara perkara yang perlu difikirkan oleh setiap manusia, bagaimana kekayaan anugerah Allah boleh menjadi bekalan untuk akhirat.

 

Saturday, July 30, 2022

SURAH AL-RUM 38

AYAT 38

 

فَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (38)

Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 37

AYAT 38

 

Perlu yakin bahawa yang memperluas dan menyempitkan rezeki adalah Allah.

 

 

Orang yang ada keluasan rezeki, perlu membantu orang yang kesempitan rezeki.

 

[1] Ayat sebelum Allah sebut bahawa penentuan luas dan sempit rezeki adalah Allah, makanya Allah menyebut tanggungjawab manusia apabila ada keluasan rezeki, iaitu membantu kepada mereka yang kesempitan rezeki.

 

[2] Allah mulakan pemberian kepada orang yang sempit rezeki adalah kaum kerabat terlebih dahulu, kemudian kepada orang miskin dan orang yang memerlukan di dalam perjalanan.

 

[3] Pemberian hendaklah berasaskan kepada keikhlasan kepada Allah. Tanpa keikhlasan, pemberian yang diberikan tidak membawa kepada kebahagiaan.

 

فَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ

 

 

[1] Hamka mengatakan bahawa tahap intelektual dalam satu keluarga tidak sama. Dengan sebab itu, adik beradik yang ada bintang yang cerah perlu membantu adik beradik yang susah yang lain.

 

[2] Imam Abu Hanifah berkata, apabila al-Quran guna perkataan فَـَٔاتِ yang menggunakan فعل الامر, ia adalah dalil bahawa memberikan bantuan kewangan kepada kaum kerabat terlebih dahulu adalah WAJIB (Hamka: 7/5525)

 

[3] Pada perkataan فَـَٔاتِ ia adalah فعل الأمر yang bersifat خطاب مفرد. Dalam hal ini ulama terbahagi kepada dua pendapat;

A. Dikhususkan kepada nabi sahaja.

B. Ditujukan kepada sesiapa sahaja iaitu merujuk kepada semua orang Islam. (Usaimin: 223)

 

[4] Dalam ayat menyebut perkataan قربى, ia memberi makna umum. Iaitu kaum kerabat yang perlu dibantu itu, tidak kira dia muslim atau pun bukan muslim. (Usaimin: 224)

 

[5] Imam Al-Qurtubi menukilkan pendapat (قيل) yang menyatakan bahawa memberi bantuan kepada kaum kerabat hukumnya adalah sunat. al-Hasan al-Basri pula berpendapat, memberi bantuan kepada kaum kerabat itu adalah wajib apabila mereka ditimpa keadaan yang memerlukan bantuan. (Qurtubi: 436)

 

[6] Tuhan mulakan memberi sedekah kepada ahli keluarga. Untuk mengetahui hikmahnya, mungkin boleh kita lihat di dalam satu hadis bahawa Nabi bersabda;

 

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ» - النسائي, 2582

“Sedekah kepada orang miskin adalah semata-mata sedekah. Tetapi kepada keluarga terdekat, dia ada dua; sedekah dan menghubungkan silaturrahim”

 

Demikian juga hadis berikut;

 

عَنْ زَيْنَبَ، امْرَأَةِ عَبْدِ اللهِ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَصَدَّقْنَ، يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ، وَلَوْ مِنْ حُلِيِّكُنَّ» قَالَتْ: فَرَجَعْتُ إِلَى عَبْدِ اللهِ فَقُلْتُ: إِنَّكَ رَجُلٌ خَفِيفُ ذَاتِ الْيَدِ، وَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَمَرَنَا بِالصَّدَقَةِ، فَأْتِهِ فَاسْأَلْهُ، فَإِنْ كَانَ ذَلِكَ يَجْزِي عَنِّي وَإِلَّا صَرَفْتُهَا إِلَى غَيْرِكُمْ، قَالَتْ: فَقَالَ لِي عَبْدُ اللهِ: بَلِ ائْتِيهِ أَنْتِ، قَالَتْ: فَانْطَلَقْتُ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ بِبَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتِي حَاجَتُهَا، قَالَتْ: وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أُلْقِيَتْ عَلَيْهِ الْمَهَابَةُ، قَالَتْ: فَخَرَجَ عَلَيْنَا بِلَالٌ فَقُلْنَا لَهُ: ائْتِ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخْبِرْهُ أَنَّ امْرَأَتَيْنِ بِالْبَابِ تَسْأَلَانِكَ: أَتُجْزِئُ الصَّدَقَةُ عَنْهُمَا، عَلَى أَزْوَاجِهِمَا، وَعَلَى أَيْتَامٍ فِي حُجُورِهِمَا؟ وَلَا تُخْبِرْهُ مَنْ نَحْنُ، قَالَتْ: فَدَخَلَ بِلَالٌ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ هُمَا؟» فَقَالَ: امْرَأَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ وَزَيْنَبُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّ الزَّيَانِبِ؟» قَالَ: امْرَأَةُ عَبْدِ اللهِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَهُمَا أَجْرَانِ: أَجْرُ الْقَرَابَةِ، وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ " – مسلم, 1000

Daripada Zainab, isteri kepada Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: bersabda, "Bersedekahlah wahai kaum wanita! Bersedekahlah sekalipun dengan perhiasanmu".

 

Zainab berkata: Mendengar sabda Rasulullah saw itu, aku punpulang menemui Abdullah -suamiku- seraya berkata kepadanya: "kamu adalah seorang lelaki miskin. Rasulullah saw memerintahkan kepada kami (kaum wanita) agar bersedekah. Pergilah berjumpa baginda dan tanyakan bolehkah jika aku bersedekah kepada keluarga? Jika tidak, akan aku pindahkan kepada yang lain". Abdullah menjawab: "Sebaiknya kamu yang berjumpa baginda". Aku pun pergi.

 

Di pintu rumah Rasulullah saw, aku dapati wanita Ansar turut ada yang mereka mempunyai maksud sama denganku. Sebagaimana biasa, orang ramai yang ingin bertemu Rasulullah saw selalu diliputi rasa gentar. Kebetulan Bilal keluar berjumpa kami. Kata kami kepada Bilal: "Tolonglah kamu sampaikan kepada Rasulullah saw, bahawa dua wanita sedang berdiri di pintu hendak bertanya: “Apakah dianggap cukup, jikalau kami berdua bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam pemeliharaan kami? Dan sekali-kali jangan kamu beritahu siapa kami'"

 

Bilal pun masuk bertanya kepada Rasulullah saw, tetapi baginda bertanya balik: "Siapa kedua wanita itu?"

 

Bilal menjawab: "Seorang wanita Ansar bersama-sama dengan Zainab"

 

Baginda bertanya: "Zainab yang mana?" Bilal menjawab: "Zainab  isteri Abdullah".

 

Rasulullah pun bersabda: "Masing-masing mereka mendapat dua pahala; pahala hubungkan kerabat dan pahala kerana sedekah.

 

Kata al-qurtubi, dalam hadis nabi ada melebihkan memberi sedekah kepada kaum kerabat berbanding memerdekakan hamba. (436)

 

 

[7] IBN ASYUR menyatakan, ayat ini membatalkan adat kebiasaan masyarakat jahiliah yang mementingkan orang lain berbanding keluarga. Hal ini kerana mereka terdorong oleh keinginan memperoleh pujian dan populariti. (Shihab: 11/70)

 

[8] Apabila Allah menyuruh kita memberi sedekah kepada ahli keluarga, itu membuktikan bahawa pemberian sedekah kepada mereka bukan dari wang tambahan sahaja, bahkan ia perlu dijadikan salah satu kewajiban perbelanjaan dalam kehidupan.

 

وَالْمِسْكِينَ

 

[1] Miskin adalah orang yang pendapatannya sama dengan kadar keperluannya. Contohnya, seorang yang sehari memerlukan sebanyak RM10, tetapi pendapatannya adalah RM10 juga.

 

Ada satu lagi istilah yang digunakan di dalam perbahasan Al-Quran iaitu fakir, ia bermaksud seorang  keperluannya sehari sebanyak RM10, tetapi pendapatannya kurang dari kadar RM10.

 

Apabila seseorang itu fakir, sudah pasti dia adalah seorang yang miskin. Apabila seseorang itu miskin, tidak semestinya dia seorang yang fakir.

 

Dalam ayat ini menggunakan perkataan miskin, bukan fakir. Ia memberi makna, kalau orang miskin pun perlu diberikan bantuan kewangan, maka terlebih perlu diberikan bantuan kewangan kepada orang fakir.

 

Pendapat ini berbeza dengan kupasan Usaimin yang menyatakan, fakir dan miskin adalah sama sahaja. (Usaimin: 224)

 

[2] Menurut ahli ilmu, memberi makan orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang tidak mempunyai pakaian, hukumnya adalah fardhu kifayah, yang jika ada sebilangan yang melakukannya, maka yang lain tergurur dari kewajipan. (Usaimin: 224)

 

[3] Apabila Allah menyebut golongan miskin selepas menyebut golongan ahli keluarga, ini membuktikan bahawa maksud ahli keluarga yang perlu diberikan bantuan kewangan itu bukan mereka yang miskin. Dalam perkataan yang baik, walaupun mereka bukan dari kalangan miskin, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka. (Al-Razi:25/127)

 

وَابْنَ السَّبِيلِ

 

[1] Perkataan السبيل bermakna jalan. Usaimin kata, sesuatu perkara yang dilarang ini, maka akan disandarkan dengan perkataan ابن. Dengan sebab itu orang yang sentiasa bermusafir dan selalu berada di dalam perjalanan dipanggil sebagai ابن السبيل. (Usaimin: 224)

 

[2] Ibn Sabil yang diterjemah oleh Hamka sebagai ANAK JALAN, yang rata-rata ahli tafsir memaknakan sebagai orang musafir Yang terputus belanja.

 

Buya Hamka perluaskan juga pemaknaannya kepada;

 

(A)                              Orang yang merantau untuk menuntut ilmu

 

(B)                              Orang yang jatuh miskin lalu lari ke kota-kota mencari kehidupan sehingga mereka disebut sebagai gelandangan. (7/5526)

 

(C)                              Ibn Kathir kata, orang yang musafir memerlukan kepada perbelanjaan di dalam permusafirannya. (Kathir: 6/318)

 

ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ

 

[1] Dalam menderma, antara perkara penting dan utama adalah soal keikhlasan dan kejujuran kepada Allah. Ibn Kathir kata, itu adalah kemuncak tujuan dalam melakukan kebaikan. (Kathir: 6/318)

 

Kalau tidak ikhlas, ada kemungkinan buruk bakal berlaku kepada mereka yang menderma seperti mengungkit. Dalam hadis, Nabi saw pernah mencela kalangan yang mengungkit atas pemberian.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ» قَالَ: فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا، قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ» - مسلم, 106

 

[2] Maksud خير dalam ayat ini bukan sebagai bandingan, tetapi menggambarkan kebaikan pada amalan itu sendiri. Hal ini kerana melihat kepada sambungan ayat لِّلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجۡهَ ٱللَّهِۖ(Al-Razi: 1126)

 

Dalam perkataan yang lain, yang dikatakan kebaikan itu adalah, melakukan infaq dalam keadaan hati mahu mencari redha Allah.

 

[2] Perkataan وجه الله, Usaimin mengatakan bahawa ini adalah sifat bagi Allah yang mempunyai wajah. Dengan itu beliau tafsirkan, orang yang ikhlas dalam melakukan infaq, dia bakal melihat Allah di akhirat nanti sepertimana manusia di dunia dapat melihat bulan. Beliau berhujah dengan merujuk kepada firman Allah yang lain;

 

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ (22) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23) - القيامة

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri * Melihat kepada Tuhannya”

 

Pendapat Usaimin ini berbeza dengan kupasan Ibn Jauzi yang menyatakan bahawa maksud dengan ayat ini adalah, mereka melakukan amalan infak itu dengan tujuan untuk mendapat balasan pahala dari Allah. (Masir: 1095)

يطلبون باعمالهم ثواب الله

 

وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (38)

 

[1] Kalau mereka dapat laksanakan derma dengan keikhlasan, Allah mengatakan bahawa inilah kalangan yang benar-benar berjaya.

 

[2] Asal perkataan مفلحون yang diterjemah sebagai ORANG BERJAYA berasal dari kata الفلح yang bermakna MEMBELAH.

 

Petani disebut sebagai الفلاح yang dia membelahkan tanah menggunakan cangkul untuk menanam tanaman. Apabila tanaman itu berhasil dan berjaya, maka mereka bergembira.

 

Justeru, مفلحون adalah orang yang berjaya berdasarkan kepada proses. Kalau seseorang itu berjaya bukan kerana usaha, maka itu bukan makna مفلحون.

 

Menurut Ibnu Kathir, berjaya dalam ayat ini adalah di dunia dan akhirat (Kathir: 6/318)

 

[3] Perkataan وَأُوْلَٰٓئِكَ bermakna "mereka", lalu ditambah pula perkataan هم yang juga bermakna mereka, walhal kalau menyebut وَأُوْلَٰٓئِكَ ٱلۡمُفۡلِحُونَ pun sudah memadai. Namun, ditambah هم memberi maksud “sudah pasti” mendapat jaminan kebahagiaan.

 

PENGAJARAN

 

[1] SHIHAB kata, suruhan infaq dalam ayat ini bukan zakat wajib, tetapi infaq sunat. Hal ini kerana, ia hanya dibataskan kepada tiga kalangan, walhal kalangan yang layak terima zakat disebut dalam surah Al-Taubah (ayat 60)—disenaraikan sehingga (8) lapan asnaf. (11/70)

 إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ

 

[2] Orang yang benar-benar beriman, dia tidak akan rasa tenang andai dia nampak orang susah tanpa dia berusaha untuk membantunya.

 

[3] AL- RAZI kata, ayat ini mengajar kepada kita agar ada perasaan ehsan dan kasih sayang. Itu merupakan cara untuk kita mengatasi masalah berputus asa dalam agama.

 

[4] Dalam pada orang melakukan derma, tidak dapat dinafikan bahawa di sana terdapat ramai yang menderma bukan ikhlas kerana Allah. Mereka menderma mempunyai tujuan yang lain, seperti mahu menunjuk-nunjuk, mahu menampilkan diri seperti orang yang kuat menderma dan sebagainya. Justeru, Allah menyatakan bahawa semua itu tidak diterima. Hanya yang ikhlas sahaja berjaya di dunia di akhirat; mendapat ketengan jiwa di dunia dan mendapat balasan pahala di akhirat.


SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...