Monday, May 30, 2022

SURAH AL-RUM 24

 

AYAT 24

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 23

AYAT 24

 

Melihat kebesaran Allah pada diri sendiri serta alam sekeliling.

 

 

Melihat kebesaran Allah pada ruang angkasa pula.

 

[1] Setelah Allah sebutkan bukti kekuasaan Allah itu, manusia akan dapati jika mereka teliti pada diri mereka sendiri, iaitu mereka boleh tidur dan boleh bekerja mencari rezeki, makanya tuhan sebut pula bukti kekuasaannya yang luar dari diri manusia, tetapi masih ada kaitan lagi dengan mereka, iaitu hujan yang menjadikan bumi yang mati boleh hidup kembali.

 

[2] Tuhan nyatakan dalam ayat ini dua kekuasaanNya:

 

A.                  Kilat yang memanah.

B.                  Hujan yang turun untuk hidupkan bumi yang mati.

 

[3] Apabila kilat memanah, manusia merasa takut. Dalam pada manusia takut, perkara utama yang manusia perlu fikir, mereka wajar lebih takut kepada Tuhan yang mencipta kilat.

 

Demikian juga, jika manusia rasa takut dengan kilat, sudah pasti perlu lebih takut kepada azab neraka yang sifatnya lebih dahsyat dari kilat.

 

[4] Dalam pada manusia takut melihat kilat, apabila manusia melihat kilat, manusia ada pengharapan di situ; iaitu, berharap agar hujan turun, terutama bagi mereka yang sudah lama tidak diturunnkan hujan dan di musim kemarau.

 

[5] Lazim kilat, selalunya hujan akan turun. Turunnya hujan itu adalah kebaikan kepada manusia—suburkan bumi yang mati; hidupkan tanaman di tanah yang gersang.

 

[6] Setelah tuhan sebut segala nikmat ini, tuhan pun menyebut bahawa semua ini tidak berguna jika manusia tidak dapat memanfaatkan akal mereka sebaik mungkin.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا

 

[1] ini kali ke-5, dimulakan kepala ayat dengan ومن اياته. Iaitu, tuhan mahu menggambarkan kepada manusia yang pertikai kekuasannya bahawa perlu perhatikan semua ciptaan ini agar dapat rasakan bahawa hakikat Allah itu maha berkuasa.

 

[2] kali ini, tuhan sebut bahawa manusia dapat melihat kilat yang memancar; semua ini adalah Allah yang jadikan manusia dapat melihat.

 

Tuhan bagi manusia dapat lihat kilat bukan saja-saja, bahkan mempunyai maksud dan tujuannya; iaitu memudahkan untuk manusia mengetahui sesuatu yang bakal terjadi selepas dari kilat, iaitu hujan.

 

[3] Dalam ayat disebut خوفا, iaitu lazimnya manusia melihat dan mendengar kilat, mereka akan rasa takut. Hal ini kerana, banyak keadaan bahawa kilat yang memanah itu boleh membawa kepada kematian dan sebagainya.

 

Menurut Soleh Usaimin, perkataan TAKUT dalam ayat ini juga memberi maksud تخويف, iaitu tuhan jadikan kilat adalah untuk menjadikan manusia rasa takut. Apabila manusia sedar bahawa kilat itu menakutkan, sudah pasti mereka akan takut kepada Allah yang menjadikan kilat.

 

[4] Dalam ayat juga, ada perkataan طمعا yang bermaksud TAMAK atau PENGHARAPAN YANG AMAT TINGGI yang dikaitkan dengan hujan, menunjukkan manusia tidak ada kemampuan untuk memberi satu keputusan yang tetap berkenaan hujan itu turut atau tidak. Semata-mata kelihatan kilat, walaupun kebiasaannya merujuk kepada hujan, tetapi itu bukan satu kemestian.

 

وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

 

[1] Maksud dari langit ini adalah merujuk kepada di atas, kerana hujan bukan turun dari langit, tetapi dari awan.

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ (43) النور

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.

 

Justeru, perkataan langit dalam ayat ini sebagai maksud lughawi, iaitu memberi maksud di atas.

 

[2] Air sebagai sumber kehidupan, hal ini ada disebut oleh Allah dalam ayat berikut;

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ (30) الأنبياء

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24)

 

[1] Pada ayat 21, digunakan pendekatan fikiran لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

 

Pada ayat 22, digunakan pendekatan ilmu pengetahuan. َ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

 

Pada ayat 23, digunakan pendekatan PENDENGARAN لِقَوْمٍ يَسْمَعُون

 

Pada ayat ke 24 ini, digunakan pendekatan GUNA AKAL. لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

 

Dengan susunan ini, seakan-akan Allah mahu ajar kepada kita bahawa perlu ada (1) KEBERANIAN BERFIKIR, kemudian keberanian berfikir itu perlu (2) diikat dengan factor ilmu. Dengan ilmu itu, (3) pancaindera seperti mendengar dapat menjadikan manusia (4) benar-benar berakal.

 

Dalam perkataan lain, manusia boleh sahaja berfikir, tetapi tidak semestinya berfikirnya itu betul. Hal ini kerana, orang kafir juga boleh berfikir.

 

Justeru, perlu kepada proses dalam memastikan berfikir itu menjadi betul, iaitu mesti dengan ilmu dan manfaatkan pancaindera dengan sebaik-baiknya.

 

[2] Akal diklasifikasikan kepada dua:

 

A.                  Akal idrak.

B.                  Akal rusyhd

 

Akal Idrak adalah punca ditaklifkan hukum. Adapun akal rushd adalah akal yang dapat memahami petunjuk dan hidayah.

 

Apabila Allah menafikan akal orang kafir, itu bermaksud tuhan nafikan akal rushd, bukan akal Idrak.

 

Justeru, maksud لقوم يعقلون dalam ayat ini merujuk kepada akal Rushd, iaitu orang kafir tidak menjadikan akal mereka tertutup dari mendapat hidayah.

 

PENGAJARAN

 

[1] Ayat menyebut bahawa dengan kilat, manusia ada dua sifat dalam diri mereka, iaitu TAKUT dan HARAP.

 

Ini membuktikan bahawa dua sifat ini perlu ada keseimbangan dalam diri manusia. Kalau dibuatkan perumpamaan dalam beribadat, keseimbangan sifat ini menjadikan ibadat manusia ada kualiti; iaitu, semasa dia beribadat, dia takut azab neraka dan serta berharap dengan syurga; semasa dia beribadat, dia takut kemurkaan Allah dan berharap kasih dan cinta Allah.

 

[2] Manusia melihat kekuasaan Allah terikat kepada akal mereka; apakah dengan akal idrak atau dengan disertai sama dengan akal rushd.

 

Islam mengajar bahawa melihat sesuatu perlu dilihat dengan akal Rushd—dengannya manusia akan berjumpa hidayah.

Sunday, May 29, 2022

SURAH AL-RUM 23

AYAT 23

 

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ (23)

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran)

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 22

AYAT 23

 

Disebut berkenaan tanda-tanda kebesaran Allah itu adalah tuhan menciptakan siang dan malam, serta ciptaan manusia yang mempunyai pelbagai bahasa dan bangsa

 

Disebut bahawa dengan kewujudan siang dan malam, manusia tidur dan bekerja mencari rezeki.

 

[1] Apabila tuhan susah sebut berkenaan ciptaan langit dan bumi dan kepelbagaian bahasa dan bangsa bagi manusia, maka tuhan sebut pula perkara penting bagi manusia adalah macam mana manusia nak menjalani kehidupan seharian.

 

[2] Dalam ayat ini, tuhan sebut dua perkara:

 

A.                  Tidur pada waktu malam

B.                  Berusaha mencari rezeki pada waktu siang

 

Dua perkara ini, sejalan dengan firman Allah dalam surah al-Naba’;

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا (10) وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا (11) - النباء

 

[3] Ini disebut oleh Allah sebagai mahu menggambarkan kekuasaan Allah yang tidak dapat dilihat oleh kafir quraish—mereka menafikan kekuasaan Allah yang bakal memberi kemenangan kepada Rum selepas mereka dikalahkan oleh Farsi.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ والنهار

 

[1] Tuhan mulakan sekali lagi dengan ومن اياته—sebahagian dari tanda-tanda kebesaranNya.

 

[2] Dalam ayat ini, dimulakan dengan menyebut kematian berbanding mencari rezeki. Menurut al-Qurtubi, maksud tidur adalah manusia itu bermula dengan mati, dan maksud dengan mencari rezeki pula adalah kehidupan selepas dari mati.

 

[3] menurut al-Razi, Tuhan sebut bahawa tidur itu dikaitkan malam dan siang; disebutkan malam dahulu, kerana malam adalah waktu yang sesuai dengan tidur. Kemudian disebut siang, kerana di waktu siang juga boleh tidur, tetapi sekadar sampingan sahaja, seperti qaylulah. Hal ini selaras dengan firman Allah:

{وَمِن رَّحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اليل والنهار لِتَسْكُنُواْ فِيهِ} [القصص: 73]

 

وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ

 

[1] maksud dengan فضله yang diterjemahkan sebagai KURNIAANNYA, SHIHAB jelaskan bahawa maksudnya adalah KELEBIHAN DARI KADAR KEPERLUAN. Ia bukan sekadar mendapat keperluan, bahkan mendapat perkara lebihan dari keperluan, seperti bukan sekadar dapat makan, tetapi makan yang sedap; bukan sekadar dapat makan, bahkan dapat makan yang mewah dan sebagainya.

 

[2] asal siang adalah mencari rezeki Allah. Hal ini disebut dalam firman Allah;

وَجَعَلْنا آيَةَ النَّهارِ مُبْصِرَةً لِتَبْتَغُوا فَضْلًا [الْإِسْرَاءِ: 12]

 

Namun, dalam ayat ini disebut mencari kurniaan Allah itu tanpa dibataskan siang dan malam. Menurut Tahir ibn Asyur, ia dalil bahawa mendapat rezeki boleh sahaja dapat pada waktu malam, walaupun induk dalam usaha mencari rezeki adalah waktu siang.

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ (23)

 

[1] Tuhan khususnya menyebut, nikmat tidur di waktu malam dan bekerja mencari rezeki pada waktu siang, ia merupakan tanda-tanda kebesaran Allah—ia dapat dirasai oleh orang yang mendengar.

 

Dikaitkan dengan MENDENGAR kerana dalam tubuh jasad manusia, mendengar adalah pancaindera yang paling banyak dapat cerap ilmu, berbanding yang lain.

 

Orang buta dapat ilmu lebih kuat berbanding orang pekak.

 

Menurut Buya Hamka, dengan pendengaran, manusia dapat kecapi nikmat yang paling kecil, seperti bunyi ciapan burung, bunyi keindahan tiupan angin, bunyi ombak lautan, bunyi hujan lebat dan sebagainya.

 

Dalam Kupasan SHIHAB, dinukilkan pendapat TAHIR IBN ASYUR bahawa tidur dan bekerja adalah pekerja harian manusia yang dilakukan sehingga ia berlaku dalam alam tanpa sedar. Justeru, untuk dianggap bahawa ia adalah TANDA KEBESARAN ALLAH, perlu ada TAZKIRAH yang berbentuk ucapan yang perlu disampaikan kepada manusia. untuk nak sampaikan tazkirah itu, perlu ada penyampaian berbentuk kata-kata yang DIDENGARI.

 

Tambahan pula, soal tidur adalah salah satu rahsia yang amat besar berlaku dalam hidup manusia. dengan tidur, ada isu mimpi; semua ini, rahsianya tidak diketahui kecuali perlu ada kajian ilmiah yang perlu diberikan penjelasan dari pakar—ia perlu berbentuk memberitahu dan mendengar penjelasan tersebut.

 

[2] al-Qurtubi ada membawakan satu riwayat doif bahawa dikatakan terdapat sebilangan kafir Quraish yang tidak mahu mendengar al-Quran, maka dengan sebab itu disebut لقوم يسمعون untuk memberitahu bahawa jika mereka tidak mahu mendengar al-Quran pun, paling tidak mereka mendengar kupasan berkenaan mati dan kehidupan selepas mati—hal ini, jika didengari akan menyebabkan manusia boleh berfikir berkenaan kehidupan mereka selepas mati.

 

PENGAJARAN

 

[1] Walaupun ayat menyebut bahawa siang adalah waktu bekerja—mencari rezeki, dan malam adalah waktu tidur, Quraish Shihab kata, ia bukan bermakna bahawa haram manusia bekerja—mencari rezeki pada waktu malam. Hal ini kerana, konteks ayat bukan menjelaskan hukum, tetapi menjelaskan proses kehidupan manusia yang lumrahnya manusia hadapi sejak dahulu.

 

[2] Tuhan menyebut berkenaan tidur, kerana ia adalah sesuatu lumrah bagi kehidupan makhluk, sama ada manusia dan binatang. Ada sifat tidur adalah lambang kekurangan dan kelemahan. Dengan sebab itu, al-Quran secara khusus ada menyebut bahawa antara sifat tuhan itu adalah tidak tidur, malah tidak mengantuk pun.

لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ فِي سُورَةِ الْبَقَرَةِ [255] .

 

 


SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...