Tuesday, July 19, 2022

SURAH AL-RUM 37

 AYAT 37

 

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (37)

(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 36

AYAT 37

 

Dijelaskan berkenaan dengan manusia yang berputus asa apabila ditimpa sesuatu musibah.

 

 

Sewajarnya manusia tidak berputus asa apabila ditimpa musibah, kerana semua yang berlaku itu di bawah ketetapan Allah.

 

  

[1] Manusia mudah berputus asa dengan Allah, kerana mereka tidak tahu; ataupun tidak sedar; ataupun tidak melihat penentu dalam kehidupan mereka adalah Allah.

 

[2] Tuhan datangkan dengan persoalan rezeki, kerana ia adalah cara yang paling mudah untuk manusia memahami ketentuan Allah.

 

[3] Semua ini akan difahami jika manusia itu memulai dengan kepercayaan. Hal ini kerana, terdapat beberapa hal yang tidak dapat difahami dengan akal, tetapi dapat difahami dengan kepercayaan dan iman.

 

أَوَلَمْ يَرَوْا

 

[1] Terdapat ayat yang hampir sama dengan ayat ini, iaitu dalam surah Al-Zumar, ayat 52:

 أَوَلَمۡ یَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَیَقۡدِرُۚ إِنَّ فِی ذَ ٰلِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ  - الزمر 52

 

Cuma perbezaan ayat dalam surah Al-Zumar dengan ayat ini adalah, pada perkataan اولم يروا, sedangkan dalam surah al-Zumar, di gunakan perkataan اولم يعلموا.

 

Di sini terdapat dua pentafsiran dalam kalangan ulama;

 

Pentafsiran satu: ada ketika melihat Allah memperluaskan dan menyempitkan rezeki itu dengan mata kepala. Ada ketika yang lain, ia perlu dilihat dengan mata hati.

 

Pentafsiran dua: maksud dengan melihat dengan mata kepala (ayat ini) adalah melihat dengan mata hati (ayat al-Zumar). Dalam perkataan lain, ayat ini ditafsirkan dengan ayat dalam surah al-Zumar.

 

USAIMIN menyatakan, maksud dengan melihat dalam ayat ini adalah melihat secara ilmu, melihat dengan pengetahuan, bukan melihat dengan semberono. Iaitu melihat dengan mata hati--بصيرة (Usaimin: 219)

 

Hal yang sama dipertegaskan oleh Ibnu Asyur yang menyatakan, maksud dengan رؤية dalam ayat ini adalah بصرية, iaitu melihat dengan mata kepala sehingga membawa ke dalam mata hati. (Asyur: 1/101)

 

[2] Apabila Allah bertanya: "apakah mereka tidak nampak?"- ini adalah الاستفهام الانكاري, iaitu mereka sudah nampak, tetapi mereka tidak berfikir dengan apa yang mereka nampak. (Asyur: 21/101)

 

أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ

 

[1] Kata Buya Hamka, rezeki tidak dibataskan kepada kekayaan harta benda sahaja. Bahkan fikiran, cita-cita, kecerdasan dan seumpamanya juga dianggap sebagai rezeki pemberian Allah.

 

Kata SHIHAB pula, perolehan rezeki tidak hanya ditentukan oleh faktor kepada yang mencarinya, tetapi juga oleh banyak faktor yang saling berkait; semua itu tunduk di bawah peraturan Allah.

 

Dengan sebab itu, sekian banyak yang penghasilan banyak dari segi material tetapi hasil akhirnya sedikit. Dan sekian banyak yang penghasilannya rendah tetapi hasil akhirnya lebih banyak dari yang penghasilan banyak itu. (Shihab: 69)

 

[2] secara tidak langsung, seakan-akan Allah mahu bertanya: kenapa kamu boleh berputus asa dengan musibah yang tertimpa kepada kamu, bukankah kamu sudah nampak bahawa yang menentukan rezeki itu adalah Allah. Justeru, adalah satu sikap yang tidak betul jika kamu berputus asa. (Asyur: 1/101)

 

[3] Perkataan يقدر boleh diterjemah sebagai MENENTUKAN KADAR, tetapi SYA'RAWI tafsirkan sebagai MENYEMPITKAN. (Khawatir: 18/11446)

 

Dalam perkataan lain, seakan-akan Allah mahu memberitahu bahawa bukan sahaja keluasan rezeki, bahkan KESEMPITAN REZEKI juga adalah ketentuan dari Allah.

 

Dengan sebab itu, SYA'RAWI menyatakan, semua yang ditentukan oleh Allah mempunyai hikmah tersendiri.

 

 Ada dalam kalangan manusia diberikan kekayaan, tetapi hidupnya sentiasa tidak cukup. Ada pula dalam kalangan manusia yang ditentukan sebagai miskin, tetapi hidupnya sentiasa berada dalam kecukupan.

 

Justeru, yang perlu kita lihat, bukan ditentukan kaya dan miskin; ditimpa musibah atau pun tidak, tetapi yang perlu dilihat adalah, apa keuntungan untuk kehidupan kita di akhirat dengan apa yang telah Allah tentukan semasa di dunia.

 

USAIMIN menyatakan pula, musibah itu bukan seseorang itu diberikan kekayaan atau diberi kemiskinan, kerana ada sahaja orang itu diberikan musibah dengan berbentuk kekayaan, dan terdapat juga orang yang diberikan musibah dalam bentuk kemiskinan. Cara manusia mendapat musibah itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Firman Allah;

 كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَیۡرِ فِتۡنَةࣰۖ وَإِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ – الأنبياء, 35

 

Tetapi di sebalik segala ujian yang ditimpakan kepada manusia, dia bermusibah apabila tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah, walaupun sedikit. Firman Allah bahawa Nabi Sulaiman berkata:

 قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ  - النمل, 40

 "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

 

Walaupun Nabi Sulaiman kaya, ia tidak menjadikan Nabi Sulaiman kufur. Dengan kekayaan menjadikan dia semakin bersyukur kepada Allah.

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (37)

 

[1] Salah satu perkara yang telah diajar dalam Al-Quran adalah, melihat apa kejadian yang berlaku pun, ia perlu dilihat bukan dengan mata kepala sahaja, tetapi perlu dilihat dengan mata hati sama.

 

Dalam konteks ayat ini, yang difokuskan kepada orang mukmin kerana mereka tidak akan melihat sesuatu kecuali pasti mereka akan merasakan kebesaran Allah. (Asyur: 1/102)

 

[2] Bagi orang yang beriman, kaya dan miskin bukan sesuatu musibah. Tetapi musibah itu apabila tidak dapat bersyukur dengan pemberian Allah walaupun sedikit. Ekoran itu ayat ini di tutup dengan لايات لقوم يؤمنون

 

[3] Di khusus menyebut orang mukmin, kerana mereka mempunyai kedalaman dalam melihat sesuatu hal. Semua ini bermula dari cara hati menilai sesuatu perkara.

 

Hal ini kerana, manusia itu menilai sesuatu bermula daripada hati. Jika hatinya ada kecenderungan kepada kepolitikan, dia melihat apa pun akan dibawa kepada pentafsiran politik; jika hatinya ada kecenderungan kepada business, dia melihat apa pun akan dibawa kepada pentafsiran bisnes. Begitulah dalam hal-hal yang lain.

 

Maka demikian bagi orang yang di dalam hatinya ada iman. Dia melihat apa pun, hatinya akan membawa pentafsiran Iman.

 

[4] Memandangkan ayat ini berbicara berkaitan dengan rezeki, maka tidak hairan tuhan kaitkan ayat ini dengan kaum yang beriman. Hal ini kerana, penentuan rezeki datang dari Allah diyakini oleh orang-orang beriman sahaja. (Khawatir: 18/11449)

 

PENGAJARAN

 

[1] Ayat ini menjadi dalil, semua kejadian yang berlaku di dalam ketentuan Allah. Setiap yang ditetapkan itu mempunyai hikmah dan keadilannya.

 

[2] Manusia dituntut agar berusaha. Namun, dalam usaha apa pun, segala keputusannya diserah kepada Allah. Dalam bahasa agama disebut TAWAKKAL.

 

Tuesday, July 12, 2022

SURAH AL-RUM 36

 AYAT 36

 

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ (36)

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 35

AYAT 36

 

Kafir Quraisy dakwa bahawa ajaran kekufuran yang mereka anuti itu hakikatnyanya datang dari Allah.

 

 

Ada manusia sudah beriman, tetapi syok sendiri. Dengan sebab itu mereka berputus asa apabila tertimpa dengan musibah.

 

 

[1] Ayat sebelum, Tuhan jelaskan berkenaan dengan orang-orang yang kufur yang berhujah, kononnya kekufuran mereka itu bersumberkan dari ajaran Allah. Walhal semua itu adalah pembohongan sahaja.

 

[2] Setelah Allah menyebut berkenaan dengan orang kafir yang tertipu dengan diri mereka sendiri, dalam ayat ini pula Tuhan menjelaskan berkenaan dengan mereka yang bergembira dengan keimanan, tetapi hakikatnya mereka syok sendiri, kerana Iman mereka luntur apabila mereka ditimpa sesuatu musibah.

 

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا

 

 

 

[1] Dalam ayat 33, Tuhan memberitahu bahawa ada manusia yang semakin mengingati Allah apabila mereka berada dalam kesusahan.

 

Dalam ayat ini pula, Tuhan memberitahu bahawa Ada pula manusia yang mengingati Allah apabila mereka berada dalam kenikmatan. Bahkan ketika mereka ditimpa kesusahan, mereka akan berputus asa. (Razi: 25/124)

 

[2] Dalam ayat 32, Tuhan sudah menjelaskan berkenaan orang yang bergembira dengan Kekufuran;

 مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32)

 

Dalam ayat ini pula menjelaskan berkenaan dengan mereka yang bergembira dengan keimanan. Mereka merasakan, dengan keimanan mereka sudah memadai untuk menjamin mereka masuk syurga. Dengan itu, mereka mudah untuk menuduh orang yang berbeza dengan mereka sebagai ahli neraka.

 

[3] USAIMIN mengatakan bahawa bergembira itu terbahagi kepada dua;

A. Bergembira dengan kekufuran. Ia di bawah maksud istidraj.

B.  Bergembira dengan keimanan. Dia adalah sesuatu yang terpuji. (Usaimin: /213)

 

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ (36)

 

[1] Walaupun ayat ini bersifat khabariyah, iaitu menjelaskan keadaan orang kafir yang berputus asa apabila ditimpa musibah. Namun, secara tersirat Tuhan melarang manusia menjadi seperti orang kafir. Seakan-akan tuhan mahu kata: jangan berputus asas ketika ditimpa musibah, sepertimana berlaku pada orang kafir.

 

[2] Dalam ayat ini, digunakan perkataan ما قدمت ايديهم;

 

A. Ia selaras dengan firman Allah;

 

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا (79) - النساء

 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41) – الروم

 

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَإِنَّ الْإِنْسَانَ كَفُورٌ (48) – الشوري

 

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ (30) - الشوري

 

B. Manusia mendapat kebaikan bukan kerana usaha mereka, tetapi kurniaan dari Allah. Firman Allah;

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58) – يونس

 

[3] Maksud قنوط, kata al-Hasan adalah meninggalkan kefarduan yang Allah wajibkan agar dia lakukan. Dia tinggalkan itu secara diam-diam. (Qurtubi: 16/434)

 

Dalam perkataan lain, apabila mereka ditimpa sesuatu musibah, mereka mula menyalahkan Allah. Dengan itu, secara diam-diam mereka berhenti dari melakukan ketaatan.

 

[3] Orang yang memilih untuk berputus asa, hakikatnya kesesatan sudah melekat di dalam hati mereka. Firman Allah:

قَالَ وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ (56) - الحجر

 

PENGAJARAN

 

[1] Buya Hamka umpamakan seperti orang yang mendapat keuntungan tetapi tidak menyimpan; iaitu ketika mereka ditimpa sesuatu musibah, mereka berada dalam kesusahan. Andai mereka menyimpan, sudah pasti musibah itu dapat dihadapi.

 

Memandangkan begitu pendekatan mereka, makanya mereka berputus asa ketika mereka tertimpa musibah.

 

Demikianlah manusia yang tidak beramal semasa hidup di dunia. Apabila mereka berada di alam akhirat, mereka akan berputus asa.

 

[2] Tuhan menggunakan perkataan اذا, ketika berbicara berkenaan dengan rahmat yang mereka kecapi, sedangkan menggunakan perkataan ان, ketika berbicara berkenaan dengan musibah yang menimpa mereka.

 

SHIHAB menjelaskan bahawa perkataan اذا yang diterjemah sebagai “apabila”, ia mengandungi maksud sesuatu kejadian yang pasti. Namun, perkataan ان yang diterjemah sebagai “Jika”, ia mengandungi makna keraguan atau jarang terjadi.

 

Seakan-akan Allah mahu memberitahu, kebaikan dan rahmat Allah adalah sesuatu yang pasti dikecapi manusia. Sedangkan musibah tidak bersifat pasti.

 

Realitinya memang sudah berlaku. Pada saat manusia mendapat nyawa, berhembus dan menyedut nafas, boleh makan dan minum dengan baik dan sebagainya, semua itu adalah nikmat dan rahmat yang sudah pasti telah dikecapi oleh manusia.

 

Adapun musibah bukan sesuatu yang sering berlaku dalam sepanjang hidup manusia. Ia hanya hadir beberapa kali sahaja.

 

Justeru ia mengandungi maksud, tidak sewajarnya manusia berputus asa apabila ditimpa sesuatu musibah, kerana jika dibandingkan, rahmat dan nikmat yang dikecapi manusia itu jauh lebih banyak berbanding musibah.

 

[3] Tidak sedikit dari kalangan manusia melihat sesuatu musibah yang tertimpa kepada diri mereka, maka itu dianggap sebagai buruk. Walhal, Quran ada menyatakan bahawa sesuatu yang tidak disukai oleh manusia, kadang-kala ia baik bagi mereka:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (216) - البقرة

 

[4] Apabila manusia itu bergembira, perkara yang perlu ditanya kepada diri mereka adalah, apakah gembira ini berasaskan kepada keimanan atau berasaskan kepada kekufuran.

 

Jika berasaskan kepada keimanan, maka ia adalah sesuatu yang baik bagi diri manusia itu. Jika berasaskan kepada kekufuran, manusia itu perlu berhati-hati dengan kegembiraan tersebut.

 

[5] Hakikat baik dan buruk itu datang dari Allah. Firman Allah;

وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَذِهِ مِنْ عِنْدِكَ قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ فَمَالِ هَؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا (78) - النساء

 

Hal ini kelihatan seakan-akan bercanggah dengan ayat-ayat sebelum ini yang menggambarkan keburukan itu datang dari diri manusia sendiri.

 

Tuhan hanya mahu kebaikan berlaku kepada diri manusia. Tetapi, apabila manusia memilih untuk mengikut hawa nafsu mereka, iaitu dengan melakukan kejahatan, maka tuhan mengizinkan apa yang dipilih oleh manusia.

وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ (26) – البقرة

 

Dalam perkataan yang lain, apabila manusia memilih untuk menjadi fasiq, maka tuhan memberi keizinan terhadap apa yang dipilih oleh manusia itu.

Monday, July 4, 2022

SURAH AL-RUM 35

 AYAT 35

 

أَمْ أَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا بِهِ يُشْرِكُونَ (35)

Apakah pernah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 34

AYAT 35

 

Allah menampilkan meluat Allah kepada golongan yang kufur itu sehingga Allah menyuruh agar mereka itu bersenang-senang dengan kekufuran.

 

 

Allah menjelaskan, semua tanggapan kekufuran mereka itu berasaskan kepada khayalan mereka sahaja. Namun mereka seringkali menganggap bahawa kekufuran yang mereka amalkan ini berasaskan daripada ajaran Tuhan juga.

 

 

[1] Masalah besar berlaku kepada orang yang kufur itu adalah, agama mereka tidak mempunyai hujah dan sandaran. Hal ini kerana agama mereka berasaskan kepada hawa nafsu dan tidak berasaskan kepada ilmu.

 

[2] Apabila keadaan ini berlaku kepada agama mereka, mereka terpaksa mencari hujah untuk memastikan agama mereka kelihatan mempunyai kredibiliti.

 

[3] Antara cara yang dilakukan mereka untuk memastikan agama mereka seperti mempunyai kredibiliti, mereka menyedarkan bahawa agama mereka itu bersumberkan daripada Allah.

 

أَمْ أَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا

 

[1] Menurut Buya Hamka, Perkataan SULTAN dalam bahasa Arab mempunyai pelbagai makna;

 

A. Penguasa. Dalam hadis, nabi saw ada bersabda:

 

أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَدْ يَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ

Allah kadangkala memberi kuasa melarang dengan kuasa politik pada perkara yang tidak diberikan ruangan pada kuasa al-Quran.

 

B. Kepala negara. Dalam hadis nabi ada bersabda;

 

فَإِنْ تَشَاجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ – ابو داود, 2083

“Jika mereka berselisih, maka sultan adalah wali bagi mereka yang tidak ada wali”

 

C. Kekuatan

 

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ (33) فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (34) – الرحمن

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (Surah al-Rahman 55:33)

 

D. Alasan yang kuat (ini yang dipilih oleh al-Imam al-Qurthubi, Ibnu Abbas dan Al-Dhahhaq)

 

E. Keterangan yang cukup dan boleh diterima.

 

F. Kitab dari langit (tambahan dari kitab zad al-masir)

 

Dalam ayat ini, BUYA HAMKA memilih perkataan Sultan memberi maksud (D). Pentafsiran yang sama dipilih oleh Syeikh SYA'RAWI, dengan alasan bahawa asal perkataan Sultan adalah gambaran terhadap kekuatan. Ia juga boleh digunakan dalam maksud kekuatan hujah dan dalil.

 

 Justeru makna di sebalik ayat adalah:

 

"apakah Tuhan menurunkan kepada mereka alasan atau perintah yang dapat dipertanggungjawabkan bahawa Allah dapat dipersekutukan dengan lain?"

 

Atau: "apakah ada perintah dan keterangan dari Allah bahawa Allah telah melimpahkan segala kenikmatan atau membahagikan kuasa dengan makhluk-Nya dalam menguasai alam ini?"

 

Dalam kupasan SHIHAB, kandungan ayat ini adalah seakan-akan Allah berkata:

 

"Pernahkah ada bukti yang telah atau akan dapat ditampilkan bagi ketuhanan berhala-berhala itu atau kebenaran Persekutuan itu sehingga mereka demikian kukuh menyembah dan mengikutinya? Pasti tidak pernah dan tidak akan ada"

 

[2] Dalam kupasan IBN ASYUR, perkataan ام Dalam ilmu nahu Arab, ia disebut sebagai منقطعة. Fungsi penggunaan katanya seperti perkataan بل.

 

Dalam konteks ayat, perkataan ام adalah rentetan dari ayat sebelum:

فَتَمَتَّعُوا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ (34)

 

Namun Dari sudut yang lain pula, penggunaan perkataan ini dalam ayat berbentuk pertanyaan. Dalam ilmu nahu Arab yg dipanggil sebagai الاستفهام الانكاري, iaitu mempertanyakan dalam pada mengandungi maksud bantahan.

 

Taqdir ayat;

بل أأَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا

 

Dalam maksud, di sebalik Tuhan bertanya itu sebenarnya Tuhan membantah kepercayaan yang menganggap bahawa Allah mempunyai sekutu, serta membantah kepercayaan yang menganggap alam ini perintah oleh Allah bersama dengan pihak yang lain.

 

Dalam perkataan yang lain, seakan-akan Allah berkata: apakah Allah telah menurunkan kepada mereka alasan yang kuat untuk mereka mempersekutukan Allah? Bahkan, sekali-kali tidak ada. Segala kepercayaan bahawa ada sesuatu selain Allah dalam hal penyembahan dan pentadbiran alam ini adalah khayalan yang datang dalam pemikiran manusia yang kufur sahaja.

 

[3] Dalam kupasan Syeikh SYA'RAWI, perkataan أم tidak datang di permulaan ayat. Ini kerana perkataan ini adalah alat untuk memberi pilihan diantara dua perkara. Contohnya seperti kita berkata:

أجاء زيد أم عمرو؟

 

Ayat ini mengandungi dua hal yang bertembung atau bercanggah, sama ada yang datang itu adalah Zaid ataupun Amru, bukan kedua-duanya sekali datang.

 

Justeru dalam ayat Al-Quran ini, ia juga mempunyai pilihan diantara dua hal yang bercanggah. Taqdir ayat;

أهم اتبعوا أهوائهم أم عندهم كتاب انزل اليهم؟

 

Apakah mereka mengikut hawa nafsu, atau sebenarnya wujud kitab yang diturunkan kepada mereka untuk mereka menjadikan sandaran hujah terhadap kepercayaan mereka?

 

فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا بِهِ يُشْرِكُونَ (35)

 

[1] Menurut USAIMIN, maksud perkataan يتكلم yang diterjemah sebagai bercakap di sini adalah bercakap dengan LISAN AL-HAL, bukan LISAN AL-MAQAL.

 

[2] Ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang sandaran hujah, hal ini kerana mereka beragama berasaskan kepada hawa nafsu. Seperti halnya yang telah disebut oleh Allah dalam ayat yang ke-29;

بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (29)

 

Namun untuk memastikan mereka seperti dari kalangan yang benar, mereka sandarkan agama mereka itu kepada Allah.

 

PENGAJARAN

  

[1] Aqidah keagamaan haruslah berdasar sesuatu yang sangat jelas lagi pasti. Ia tidak boleh berdasarkan dugaan dan sangkaan sahaja. Argumennya perlu dari sesuatu yang tidak timbul kecuali satu makna atau satu interpretasi sahaja.

 

[2] Kepercayaan yang menganggap ada sembahan selain daripada Allah adalah suatu kepercayaan yang tidak mempunyai asas serta dalil. Ia tidak lebih sekadar khayalan yang datang dari pemikiran manusia sahaja.

SURAH LUQMAN 10

  SURAH LUQMAN 31:10   خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ ب...